NIAT – 7 Tahun Dahulu

Niat kerana Allah SWT.

1- Di KUSZA dulu, aku tak sangka dipilih untuk diselia oleh seorang pensyarah yang bukan popular dikalangan pelajar. Maksud aku, pensyarah ini memang hebat & bijak cuma nampak ‘garang’ dalam penilaian. Mana tidak, hari pertama kelas je pensyarah ini dah tunjuk graf pelajar yang lulus & gagal. Memang banyak gagal daripada yang lulus. Sungguh menakutkan!

2- Kuasa Tuhan. Aku & kawan-kawan sekelas lulus. Tiada yang gagal seperti rekod sebelum ini. Jawapan ringkas pensyarah itu,”rezeki kamu belajar dengan saya di bulan ramadhan. Mungkin saya murah hati…”. Aku & yang lain mengiyakan sahaja.

3- Di semester terakhir, pemilihan ‘supervisor’ dibuat oleh pihak kuliah. Kuliah memilih berdasarkan salah satu subjek ‘core’. Takdirnya, entah macam mana aku boleh dapat gred B. Jadi, memang menggelabahlah sebab gred B ke atas akan diletak dibawah seliaan ‘supervisor’ yang tahap sifu termasuk pensyarah tadi. Memang betul, aku diselia oleh pensyarah ‘garang’.

4- Sepanjang di bawah seliaan beliau, tak lah ‘segarang’ yang disangka-sangkakan. Malah, lebih baik & diluar jangkaan. Lagi-lagi fikrah & cara beliau berfikir. Aku suka & boleh jadi geng. Alhamdulillah, projek pun berjalan dengan baik. Banyak teguran, nasihat & tunjuk ajar beliau yang dapat aku manfaatkan.

5- Di saat akhir menyiapkan projek bersama beliau, aku adalah tanya hal masa depan seperti hal akademik ini. Bidang apa yang patut aku buat. Pengajian Islam pun ada, IT pun ada. Dengan ringkas tapi membekas, beliau menasihati aku, “tak kisah mana-mana bidang pun, kalau kamu sambung IT, kamu boleh bawa Islam dalam tu… Sama juga, sambung Pengajian Islam, IT juga membantu Islam & orang Islam…”.

Setelah 7 tahun berlalu, kini aku di bidang IT atau lebih tepat “Library & Information Science”. Semoga sepanjang ini perjalanan pengajian, ada manfaat untuk umat & diri. Pastinya, aku tak akan tinggal pengajian Islam! Pensyarah itu ialah Encik Nazari. Aku doakan beliau sentiasa sihat & terus memberi untuk umat, ameen.

Better MUSLIM. Terus Berjuang!

WABAK – Uzlah

UZLAH – Diizinkan oleh Allah SWT

1- Uzlah atau sikap & perasan mengasingkan diri. Ia merupakan satu wabak atau penyakit yang kebiasaannya menjangkiti individu yang terlibat di dalam kerja amal ma’ruf wa al-mungkar. Alasan ber-uzlah kebiasaanya disebabkan sikap berteori yang hanya semata-mata mahu membina kebaikan melalui individu, bukan secara berkumpulan.

2- Lumrahnya, amalan kebaikan sangat sukar dijangkiti. Berbeza dengan keburukan. Contohnya, jika seorang sahaja di kampong bergelar ‘kaki judi’, nescaya dalam beberapa minggu sahaja, terkumpullah ‘ahli judi’. Kalau ahli surau, dari dulu, kini dan selamanya tidak berubah. Bilangannya tetap minoriti.

3- Suatu hari, Saidina Umar al-Khattab melihat sikap seorang sahabat di dalam masjid yang hanya solat & membaca al-Quran, kemudian menangis. Lalu Saidina Umar al-Khattab memukul belakang (menegur) dengan menyatakan, “Nabi Muhammad SAW tidak mengajar ini sahaja (solat & membaca al-Quran)…”. Jelas uzlah seperti itu tidak diizini kerana tidak peduli tentang hal luar seperti kezaliman pemerintah & gejala maksiat dikalangan rakyat. Lagi menyedihkan, uzlah sampai tak nak buat kerja Islam.

4- Jadi, apakah bentuk uzlah yang dibenarkan oleh Allah SWT? Sebelum itu, uzlah juga boleh dikatakan pengasingan diri untuk bermuhasabah dengan iltizam melakukan perubahan & diterjemah dilapangan. Allah SWT mengizinkan maksud uzlah seperti itu. Contohnya, disebabkan kerja dilapangan gangguan & ujian sangatlah hebat, marilah kita contohi sikap alim ulama’ dengan beruzlah di hari jumaat bermula waktu pagi hingga selesai solat jumaat; penuhi bacaan al-Quran, berzikir, bermuhasabah, solat-solat sunat, mendengar kuliah, membaca kitab & sebagainya. Semua ini untuk MEMBINA KEKUATAN.

5- Selesai ‘sesi uzlah hari jumaat’ itu, bertebaran di dunia yang luas ini. Uzlah seperti inilah menepati syarak; menjaga hubungan dengan Allah SWT & hubungan sesama manusia. Ada juga yang berpandangan bahawa uzlah ini mengasingkan diri daripada bergaul dengan orang lain. Sebabnya diri adalah punca orang lain menjadi lagha & dosa. Ada benarnya.

Pengasingan ini biasanya melibatkan hal tasawuf & tidak salah mempelajari tasawuf. Ingatlah, “mempelajari tasawuf tanpa feqah, zindiq & mempelajari feqah tanpa tasawuf, fasiq…”.

Better MUSLIM. Terus berjuang!

SYIRIA – Tergigit Buah Zaitun

Kami dah bersedia untuk ke bumi Syam.

1- Izzat, Fareed & aku dah ready nak ke sana. Kurus bahasa Arab selama hampir 4 bulan di Damascus University. Di balai berlepas, peluang terakhir menghantar SMS kepada kenalan & keluarga. Paling melucukan, kalau tak tutup handphone dalam kapal terbang, nanti kapal terbang terhempas. Biar betul!

2-Sepanjang separuh hari di dalam kapal terbang Emirate, kami dilayan dengan mesra. Makanan pun boleh tahan, ala-ala Arab food. Siap tergigit buah zaitun. Ingatkan rasa zaitun macam anggur. Tersasar sama sekali. Pahit! Kisah buah zaitun ini, Dr. Zahazan pernah menceritakan tentang buah zaitun ini. Abang senior di Jordan menguji adik-adik junior, “siapa nak tahu tingginya iman sesorang, makan buah ini (zaitun). Kalau manis, itulah tandanya.” Sabar je la.

3- Setiba kami di Dubai, waktu subuh. Aku dah mula keliru. Terutamanya tentang masa. Memang berbeza. Cuaca diwaktu subuh yang sejuk di Malaysia, berbeza di Dubai. Bahang kepanasan terasa. Air di toilet pun panas macam air baharu mendidih. Seksa juga untuk berwuduk. Tiba-tiba Izzat sakit perut, aku senyum je la. Pandai-pandailah nanti.

4- Hampir setengah hari kami di Dubai. Macam-macam ragam. Orang kata Dubai ialah syurga orang Arab. Macam-macam ada! Suasana di airport, sangat meriah. Selamba je tidur di kaki-kaki lima airport,seperti tidur di rumah. Kalau KLIA macam ini, memang dah kena halau.

5- “Bila kita nak praktis cakap Arab ni?”, tegur si Izzat. “Ye la, dari Malaysia ke Dubai, cakap Inggeris je…”, aku menyapa. Sampai di Syiria kot baharu kami mula bercakap bahasa Arab. Itu pun sangat basic. Tak jadi beli bawang untuk memasak di sana sebab tak ingat bawang dalam bahasa Arab. Seminggu pertama di sana, aku dah boleh adapt & berbahasa Arab.

Pesan cikgu di Damascus University, “bahasa (Arab) ini, al-Istiqlaqiyah (kena guna/praktis)”.

SYIRIA – Pesan Ustazah

SYIRIA – Pesan Ustazah

1- Aku masih ingat & mengamalkannya. Segalanya bermula dengan niat. Seawal tahun di tingkatan 4, aku mengalami sedikit kepelikan (perubahan). Terutama di dalam pengajian. Antaranya, subjek Bahasa Arab yang sebelum ini seperti tiada harapan untuk cemerlang, berlaku sebaliknya. Pada awalnya, aku disyaki meniru. Tidak! Aku tak meniru pun.

2- Pesan Ustazah Hafilah, “enta hafal je dulu semua perkataan (Bahasa Arab) & wazan-wazan (Nahn wa al-Sorof) ini, satu hari nanti, enta akan tahu sebab apa. Lagi satu, kalau nak ke Mesir (Universiti al-Azhar as-Syarif), enta niat daripada sekarang…”. Aku menuruti nasihat beliau.

3- Niat ke Mesir ketika usia masih nakal, akhirnya aku berjaya memperolehi peluang ke Mesir itu. Ia tercapai setelah 5 tahun lamanya. Ketika itu, aku baharu tamat pengajian Diploma di KUSZA. Subhanallah! Hebatnya nasihat Ustazah Hafilah dan lintasan niat.

4- Usaha tangga segala-galanya. Dalam pertimbangan ke Universiti al-Azhar as-Syarif, aku ditawarkan ke KUIM (sekarang USIM). Berlaku sedikit pertimbangan. Aku redha dengan membatalkan tiket ke sana. Untuk kali keduanya, aku berniat supaya diberi peluang ke tanah arab. “Aku tak kisah mana-mana tanah arab, asalkan aku dapat jejak ke sana…”, bisik hati setelah rasa sedikit kecewa.

5- Subhanallah! Allah SWT menunaikan niat aku untuk kali kedua ini. Melalui beberapa proses, aku diterbangkan ke bumi Syam, Syiria bersama 2 orang kawan. Walaupun di dalam peperiksaan bertulis & sesi temuduga yang aku rasa tiada peluang, disebabkan ‘orang kuat Bahasa Arab’ di USIM. Namun, semua kuasa Allah SWT dalam membuat pilihan ini.

Moralnya, aku terkesima dengan pengalaman ‘berniat’ ini. Lama kita mendengar & memahami hadith Nabi Muhammad SAW berkaitan niat ini, tapi berapa ramai menyakininya. Niat tanpa usaha yang gigih tidak ke mana-mana!

Niat untuk seterusnya!

 

Pak Habib dan KCB

Bismillahirrahmanirrahim.

Separuh hari di SERUMPUN 2011, Melangitkan Karya & Membumikan Cinta.

Inilah rasanya kali pertama penulis mengikuti “bengkel penulisan”. Sangat memberangsangkan. Lagi-lagi dengan kehadiran penulis-penulis hebat di rantau asia ini.

Habibburrahman el-Shirazy, Helvy Tiana Rosa, Asma Nadia, Fatimah Syarha dan Syed Alawi Alatas.

Bukan senang untuk berjumpa dengan mereka. Manusia yang sentiasa membaca, berfikir dan menulis. SERUMPUN 2011 sememangnya menemukan empat mata dengan penulis-penulis “Best Seller” ini.

Pak Habib (Habibburrahman el-Shirazy) dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Semenjak Ayat-Ayat Cinta (AAC) menjadi fenomena baharu dunia cinta anak muda-mudi terutama di Malaysia. Masih ingat lagi penangan AAC ini, teman-teman penulis mulai mengimpikan calon orang rumah mereka seperti ‘Aisyah.

Tak kurang juga teman-teman penulis yang perempuan. Sangat meminati suami ‘Aisyah.

Pak Habib segera mengasak kami di dalam bengkel dengan beberapa falsafah “Dakwah bi-Hal” ini. Berdakwah di dalam filem. Tentunya kita tahu cerita-cerita Pak Habib yang difilemkan. KCB terutamanya. Boleh penulis katakan hebat dan berpengaruh KCB ini.

KCB dimulai dengan disiplin yang sangat kuat. Disiplin menterjemah kefahaman cinta Islami oleh Pak Habib ke dalam sebuah filem. Disiplin pelakon-pelakonnya. Disiplin mualamah pelakon-pelakon. Subhanallah.

Siap rujuk para alim ulama lagi tentang intipati filem-filem Islami Pak Habib. Penulis sarankan pengarah-pengarah industri filem Malaysia buat rujukan dengan para alim ulama di Malaysia. Mufti pun ramai. Penulis yakin, industri perfileman Malaysia akan menjadi medium mempromosi kehidupan yang lebih baik kepada anak muda-mudi Malaysia kembali kepada Islam.

Islam sebagai cara hidup (ad-din).

“Power” betul industri filem ini. KCB pernah diikuti 1.8 juta rakyat Indonesia. Bayangkanlah jika ia berlaku di Malaysia. Jika separuh bilangan rakyat Malaysia dibandingkan dengan jumlah yang menonton KCB tadi (2.9 juta rakyat Malaysia) bakal terkesan. Terkesan dengan keseluruhan KCB itu. Baik gaya hidup, gaya fesyen, semangat mengenal Islam, hidup dalam pandangan Islam dan sebagainya.

Bayangkan, belum tentu lagi jika penulis menjadi ustaz yang mengajar di masjid seluruh Malaysia dapat mempengaruhi 2.9 juta rakyat Malaysia. Maklumlah, kebanyakkan masjid seperti untuk orang lama dan pencen.

“Dakwah bi-Filem” ini satu usaha. Membuka jalan kepada mereka yang tegar dengan TV. Sinetron Bawang Putih dan Merah pernah mengigaukan rakyat Malaysia. Igauan ini luar biasa. Penulis bersetuju dengan Pak Habib (saranan dan pandangannya) bahawa Pak Habib dan teman-teman sepertinya memberi inisiatif yang positif kepada mereka yang sesat lama. Jahil lama. Keliru lama. Tak pernah kenal indahnya Islam itu.

Jadi, sebelah pihak lagi seperti Pak Ustaz meluruskan niat perubahan mereka mengenal Islam yang sebenar itu. Tolong-menolonglah dalam amal kebajikan.

Cukuplah disini. Penulis teruja dengan SERUMPUN 2011 ini.

Penulis berharap ia diterima amal soleh dan memberi inspirasi yang hebat dalam “cita-cita menulis” ini. Menulis bukan untuk hari ini, untuk hari esok.

“Satu Buku Sebelum Mati”, cabaran penceramah. “Bisa… (Insya Allah)”, sahut penulis dan teman-teman sebengkel.

Wallahua’lam.