Belajar di Rumah Lebih Baik Belajar di Sekolah: Satu Perdebatan

23 September 2008, 5.00 petang. Alhamdulillah, giliran kumpulan aku berdebat tentang tajuk yang agak keliru ketepatan maksudnya. “Belajar di Rumah Lebih Baik Belajar di Sekolah”, dalam bahasa arab. Kumpulan aku sebagai barisan pembangkang yang sejati. Aku, mahmud, shahmazan dan amin. Barisan kerajaan terdiri jelitawan yang tegah dengan hujah mereka. Aliya, salwani, ilyan dan faizah.

Awal perdebatan, Ketua Kerajaan (Aliya) telah menerangkan gagasan dan tafsirannya yang agak cantik. Beliau mendefinisi perdebatan ini kearah tarbiyyah (belajar itu) dan mengekalkan 3 indikator yang baik iaitu pendidikan (Aliya), ekonomi (Salwani) dan Kemasyarakatan (Ilyan).

Bagi pihak pembangkang, tajuk ini telah disalah tafsirkan oleh pihak kerajaan. Sepatutnya, pendefinisian kearah ulangkaji pelajaran bukannya tarbiyyah. Disebabkan itu, kami dipihak pembangkang hanya menunggu kesalahan atau kekalutan pihak kerajaan dalam membentang semua isi atau idea mereka yang sememangnya jauh tersasar. Alahai pihak kerajaan.

Kesimpulannya, kedua-dua pihak memang terbaik mempersembahkan idea mereka. Cuma disebabkan kefahaman dan pentafsiran gagasan yang seawal perdebatan jauh tersasar menyebabkan perdebatan menjadi kurang meriah. Paling meriah pun para penonton (rakan kelas).

Apa kata anda tentang tajuk perdebatan ini?

Serabutnya Hidup

Luahan rasa jiwa. Ramadhan pun nak berakhir dah. Ya Allah, engkau perolehlah aku Lailatul Qadr Mu. Aku memang sangat merinduinya.

Sebenarnya, aku pun tak tahu nak cerita pasal apa. Jadual harian hidup sekarang jadi tak tentu arah. Penat mencari sebab, letih mencari punca. Hidup ini memang penuh sangat dengan pilihan. Kalau benda tak baik tu, depan mata je dan tunggu nak ikut atau tak je sekarang.

Hati aku ni memang senang tersentuh. Tak tau pulak kenapa. Aku macam tak boleh tengok yang tak O.K sekarang. Aku hairan sebab bulan ramadhan penuh dengan rahmat Allah tapi ada jugak manusia nak langgar arahan-Nya. Memang aku tak faham.

Orang kata aku ni asyik sibuk je. Sebenarnya aku tengah mencari sesuatu untuk kepuasan diri dan ingin rasa bebas. Siapalah kita nak bebas macam tu je kat bumi Allah ni. Aku memang jenis yang agak simple dalam semua benda. Memang tak boleh sangat tengok benda-benda serabut ni. Rasa serabai je. Aduh.

Rasa macam banyak buang masa pun ada. Cita-cita tinggi tapi muhasabah usaha aku ni macam tak berbaloi je. Apa silap aku ni? Kat mana silap ni? Tolonglah Ya Allah.

Rasa berdosa ni memang terasa sangat. Rasa kurang pengetahuan pun macam ada jugak. Kat mana nak aku refresh balik step of my life ni. Hah, peningnya.

Ya Allah, engkau lapangkanlah jiwa aku ni, engkau permudahkanlah urusan aku ni. Amiin..

MAK DAN AYAH TAK SIHAT

Semalam aku dan rakan universiti hadir majlis berbuka puasa di PICC Putrajaya anjuran KPT. Memang nikmat berganda. Banyak sangat makanan yang ada. Risau pulak bila melihat rakan-rakan yang makan tak kenal erti berhenti!

Alhamdulillah, selesai sahaja berbuka (kurma dan air sirap sejuk), solat maghrib (makanan berat selepas solat maghrib), solat isyak dan tarawih (8 rakaat). Tiba-tiba masuk satu mesej daripada adik perempuan aku yang keempat, si aisyah. “Slm, hjg minggu ni tk ada org blk umah ke? utk mklmn, kedua ibu bapa anda tdk sht…”.

Terus aku tersentap sekejap. “Allah, perolehilah kesihatan kepada mak dan ayah, amin…”. Mak yang mula sakit minggu lepas, mungkin tersilap makan masa berbuka. Adik si angah pun sama sakit dengan mak masa tu. Memang risau aku dibuatnya. Risau sangat-sangat. Jadi, aku bercadang balik hari ini. I’allah selepas solat zohor.

” Ya Allah, engkau beri sembuhlah ke atas mak dan ayah, Ya Rabbal ‘Alamin…”

PERUBAHAN DIRI : HASIL KESEDARAN ATAU SEMANGAT?

Assalamua’laikum dan salam sejahtera semua.

Keinginan untuk berubah ke arah yang lebih lebih baik memang menjadi impian kita semua, terutama kita sebagai seorang pelajar. Hasrat murni ini haruslah dibajai dengan benih yang baik semoga buahnya nanti pun akan baik. Persoalannya, adakah perubahan ini datang daripada kesedaran diri atau hanya semangat semata-mata?  Tepuk dada, tanya iman.

Saya berpendapat, perubahan yang lahir hasil daripada semangat semata-mata tidak akan kekal lama. Ini kerana semangat itu hadir dengan tempoh yang tertentu. Contoh, seminggu sebelum peperiksaan. Rata-rata dikalangan kita sibuk dengan mengulang kaji. Kalau kita lihat kawasan perpustakaan sebagai contoh yang jelas, hampir penuh dengan kesibukan pelajar ini. Tetapi, tiga atau dua bulan sebelum bermulanya peperiksaan alangkah sedihnya melihat keadaan perpustakaan yang lengang seperti lengangnya jalanraya dimusim perayaan (aidil fitri atau sebagainya).

Naluri saya menyatakan perubahan ini haruslah dimulai dengan adanya nilai kesedaran. Kerana kesedaran ini melibatkan soal hati. Sekeras atau seganas mana pun seseorang itu, hatinya akan tersentuh juga jika benar dia tersinggung. Sebagai contoh, melihat peribadi diri dan latarbelakang keluarga yang kurang berkemampuan. Ianya mampu membuahkan kesedaran dan motivasi dalaman diri untuk berubah. Percayalah. Saya pernah alaminya.

Akhirnya, bertindak dan berfikir secara matang untuk mengubah diri ke arah yang benar-benar baik. Pilihan jalan untuk berubah semuanya ditangan kita. Sama ada nilai kesedaran ini perlu kita titik beratkan atau semangat yang ada jangka masa ini perlu kita teladani. Anda fikirkanlah!

Berubahlah segera moga masa depan kita lebih jelas dan sejahtera. Selamat mencuba.

10 MINGGU KELAS BC BERAKHIR

Dalam kelas di BC

Dalam kelas di BC

British Council (BC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, MPP USIM berjaya menghadiri 10 minggu ‘kelas tambahan’ disana. Banyak ilmu dan pengalaman dipelajari. Terima kasih kepada pihak USIM terutama kepada Y. Bhg. Dato’ Naib Canselor.

10 September 2008 bersamaan 10 Ramadhan 1429 H (Rabu) merupakan hari terakhir kelas di BC. Kelas terakhir ini kami sempat mengenali apa itu IELTS. Sebenarnya, IELTS adalah peperiksaan (macam MUET tapi berbeza sangat) yang kebiasaannya diambil untuk melayakkan kita untuk sambung belajar selepas Ijazah Muda nanti. Berdasarkan pemahaman, soalan IELTS menguji kita mengenai apa yang kita tahu dalam ‘English’, bukan apa yang betul kita boleh jawab dalam ‘English’ semata-mata.

Menguasai sesuatu bidang terutamanya bahasa memerlukan disiplin diri yang tinggi. Walaupun 10 minggu di BC tidak semestinya kami MPP USIM sudah fasih berbahasa inggeris dengan baik. Pokoknya, disiplin dalam berbahasa ini hendaklah ditaati sebaiknya. Mahir sesuatu bahasa bangsa atau Negara mampu menguasai banyak perkara, lagi-lagi kita sebagai mahasiswa Islam di universiti Islam ini. Tunjuk pada dunia yang kita ini bukan umat yang lekeh.

Akhirnya, ucapan terima kasih kepada saudara Firdaus Sukiman, Exco Linguistik dan Akademik MPP USIM kerana berjaya mengadakan kelas ini dengan jayanya. Tidak lupa kepada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar terutama kepada pihak Y. Bhg. Dato’ TNC (Hal Ehwal dan Alumni) atas dorongan selama ini.

Kuasai bahasa untuk kita jadi umat pelajar yang ‘tahu’.

TAHNIAH USM

Universiti Sains Malaysia

Universiti Sains Malaysia

PUTRAJAYA 3 September – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengetepikan tiga lagi universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangannya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.

“Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerlangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun,” katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh itu, USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020.

“Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex,” katanya.

Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: “Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia.”

Sebanyak sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.

Kertas cadangan USM bertemakan “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow”.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi daripada segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. – Bernama