Integriti: Amanah, Malu dan Ihsan

We are students of INTEGRITY

We are students of INTEGRITY

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan pentadbir agung seisi alam, selawat dan salam buat junjungan ummat termulia Rasulullah s.a.w. serta para pejuang Baginda.

Saya mewakili barisan kepimpinan MPP USIM sesi 2008/2009 mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti di atas keprihatinan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam pelaksanaan Minggu Integriti Pelajar bermula 23 Februari sehingga 1 Mac ini.

Kita semua sedia maklum bahawa tujuan umum program ini adalah untuk membantu dan memantapkan penghayatan di kalangan warga USIM mengenai nilai-nilai murni lagi islamik serta disiplin yang telah ditetapkan. Nilai-nilai seperti profesionalisma, berwibawa dalam pembawaan diri, berpegang kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip yang unggul antara elemen yang perlu digarap dalam diri setiap mahasiswa.

Dasawarsa ini, kita menyaksikan betapa ketempangan akhlak dan kelompangan spiritual sudah menjadi fenomena biasa di kalangan mahasiswa kita. Krisis moral yang terus berlarutan perlu dipandang secara serius dan kritikal memandangkan mahasiswa adalah kelompok yang akan menjadi pemimpin negara masa hadapan. Sudah pasti ini akan menjadi pertaruhan yang besar sekiranya tiada langkah yang signifikan bagi mengekang permasalahan ini dari terus berlaku.

Oleh yang demikian, Majlis Perwakilan Pelajar USIM melihat program Minggu Integriti Pelajar ini amat bertepatan dengan hasrat pihak universiti dalam usaha mempersiapkan setiap mahasiswa USIM dengan nilai-nilai sahsiah yang murni. Bahkan, program MIP ini juga berupaya menjadi suatu detik pencetus yang akan memangkin pemerkasaan peribadi mahasiswa sekali gus menangani kelesuan yang melanda suasana kampus dewasa kini.

Selain itu, semua mahasiswa harus memahami bahawa universiti bukanlah semata-mata lapangan untuk memburu akademik. Sebaliknya ia sewajarnya turut menjadi gelanggang bagi mahasiswa menerajui sahsiah islamik dan meningkatkan nilai tambah dalam aspek akhlak dan peribadi menerusi penglibatan dalam pelbagai program yang dianjurkan pihak universiti.

Dalam berperihal tentang integriti di kalangan mahasiswa, aspek terpenting yang perlu diberi perhatian adalah mengenal pasti figura ikutan yang unggul untuk pedoman seharian. Sebagai umat Islam, semestinya contoh ikutan terbaik adalah Rasulullah S.A.W., seperti mana dijelaskan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W. itu contoh ikutan yang baik”.

Justeru, kita selaku kelompok mahasiswa Islam harus menerapkan prinsip dan kaedah yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W. sebagai panduan integriti yang paling ampuh. Hal tersebut sudah pun terbukti dan terakam dalam lipatan sejarah. Rasulullah S.A.W. telah berjaya membentuk manusia yang memiliki integriti dan akauntabiliti seperti yang ditonjolkan oleh sahabat-sahabat Baginda sehingga berjaya menyebarkan syiar Islam ke serata dunia.

Bagi mahasiswa-mahasiswi USIM, penghayatan terhadap nilai-nilai integriti ini seperti menepati masa, jujur dan sebagainya bukan ketika program MIP berlangsung sahaja. Sebaliknya, nilai sahsiah dan integriti terbaik harus diperbaharui dan dipertingkatkan saban hari, kerana umat Islam harus cemerlang, hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Sebelum saya mengakhiri kalam dalam peluang yang terhad ini, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi USIM untuk menggembleng segenap fikrah dan tenaga, serta mengencarkan semangat dalam memperkasakan kemantapan integriti dalam diri masing-masing.

Perbaiki kualiti disiplin kita di dalam dan luar kampus. Patuhilah setiap peraturan yang ditetapkan, berketrampilan kemas, menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap program universiti atau fakulti serta mengungguli dalam ketepatan waktu hadir ke kelas atau kuliah. Sesungguhnya, ini akan menjadi kayu ukur sejauh mana kita memikul amanah yang ditaklifkan sebagai mahasiswa Islam.

Akhir ucapan, salam integriti saya ucapkan kepada sekalian mahasiswa-mahasiswi USIM. Semoga setiap langkah dalam kehidupan kita disantuni dengan akhlak islami dan budi pekerti mulia.

MUHAMMAD ALIF ISMAIL

Yang Dipertua

MINGGU INTEGRITI PELAJAR 2009 USIM

Assalamualaikum. Minggu Integriti Pelajar atau MIP 2009 USIM akan diadakan paa 23 Feb hingga 1 Mac 2009. Tujuan umum program ini adalah membantu dan memantapkan penghayatan mahasiswa USIM mengenai nilai-nilai murni lagi Islamik dan disiplin yang telah ditetapkan.

Selepas mesyuarat bersama pihak Jawatankuasa Induk dikalangan pegawai-pegawai universiti pada tempoh hari telah memutuskan beberapa perkara yang mana bakal dijalankan semasa MIP ini. Antaranya, penurunan kuasa mengenai Tatatertib dipanjangkan selama sebulan (bermula 23 Feb 2009) berbanding MIP 2008 yang hanya selama seminggu. Nasihat saya, pastikan diri kita benar-benar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan terutamanya mengenai pemakaian ketika waktu kuliah. Walaubagaimana pun, ruang rayuan masih ada untuk pengurangan saman dan sebagainya.

MIP 2009 ini juga melibatkan semua warga kampus walaupun fokusnya seperti pelajar sahaja. Selama seminggu ini, semua pihak sama ada pihak Fakulti, Kolej Kediaman, Jabatan, Bahagian, Unit dan Badan-Badan Pelajar seperti MPP dan JAKSA, Kelab/Persatuan/Sekretariat Pelajar akan sama-sama memeriahkan MIP kali ini.

Untuk makluman, MPP bakal menyentuh mengenai saraf dakwah kepada semua minda mahasiswa dengan program-program yang telah ditetapkan. Diantaranya, Explore race: Library is my second home, Edaran flyers: Learn a word a day dalam Inggeris dan Arab, Edaran stickers/batches/risalah dan banners, Nyatakan ‘KAMI MAHASISWA BERINTEGRITI’ dan akhirnya Zoom integriti.

Semoga penganjuran MIP 2009 kali ini akan sedikit sebanyak membantu mahasiswa USIM meningkatkan penghayatan terhadap nilai-nilai integriti ini terutamanya terhadap diri kita sendiri seperti menepati masa, jujur dan sebagainya. Ayuh! Kita sama-sama turun memeriahkan MIP 2009 ini. Anda memang yang terhebat.

MPP Usim fokus usaha memangkin mahasiswa holistik

Ikrar angkat sumpah

Ikrar angkat sumpah

BARISAN ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) sesi 2008/2009 akan memfokuskan ke arah memangkin mahasiswa holistik dan matang serta beridentiti Islam bagi menyahut hasrat universiti bersaing di arena nasional dan antarabangsa.

Sehubungan itu, kepimpinan MPP Usim yang baru menggariskan tiga dasar utama sebagai teras perjuangan iaitu prihatin kepada kebajikan mahasiswa, mengoptimum potensi intelektual dan pengantarabangsaan serta menjana personaliti dinamik dan Islamik.

Yang Dipertuanya, Muhammad Alif Ismail, berkata bagi memacu kecemerlangan universiti pula, MPP akan berusaha melakukan perubahan pemikiran di kalangan mahasiswa.

Katanya, pendekatan mesra pelajar diharap dapat membantu mahasiswa Usim, khususnya isu kebajikan.

“Tindakan lain termasuk mengeratkan hubungan dengan pentadbiran bagi mewujudkan kerjasama erat kedua pihak.

“Ia bertujuan memastikan kebajikan mahasiswa ditangani bersama termasuk mewujudkan Exco Kebajikan Pelajar Luar Kampus,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tugas dan Mengangkat Sumpah MPP Usim 2008/2009 di Nilai, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar serta Alumni, Prof Datuk Dr Mohamed Asin Dollah.

Muhammad Alif berkata, MPP berhasrat menjadikan mahasiswa Usim berilmu dan berkemahiran tinggi, selain berupaya memberi sumbangan kepada ummah.

“Aspek pengantarabangsaan turut menjadi fokusnya, sekali gus bersaing di arena global bagi memenuhi tuntutan semasa menerusi penganjuran program bertaraf antarabangsa.

“Kita juga menyangkal tohmahan dilemparkan sesetengah pihak kononnya mahasiswa Islam statik dan tidak berusaha meningkat nilai tambah termasuk integriti, spiritual dan peribadi baik yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah Islamik,” katanya.

Oleh Khairina Yasin

Berita Harian

Kunjungan Hormat MPP Bermula

MPP USIM

MPP USIM

Untuk makluman semua, pihak MPP telah bersetuju akan memulakan siri Kunjungan Hornat bersama pihak pentadbiran USIM bertujuan merapatkan lagi hubungan dua hala, membangkit isu-isu kebajikan khususnya berkaitan dengan mahasiswa dan mengambil tahu mengenai perkembangan semasa di dalam mahupun di luar USIM.

Siri Kunjungan Hormat pertama MPP bersama Y. Bhg. Dato’ TNC HEPA dan Pegawai-Pegawai Bahagian HEP telah pun selesai pada 13 Februari yang lepas,  iaitu hari Jumaat di Bilik Mesyuarat Utama HEP. Pelbagai perbincangan telah perbahaskan terutamanya kebajikan mahasiswa seperti Kolej Kediaman dalam kampus, Wiyerless, Keselamatan, Pengangkutan dan lain-lain.

Diantara hasil perbincangan dan keputusan untuk makluman semua, mengenai Kolej Kediaman dalam kampus telah pun dibuka tender dan dijangka akan selesai (guna pakai) pada Disember 2010. Antara lain, perkhidmatan Kaunter Pertanyaan semasa ‘lunch hour’ akan dibuka seperti Kaunter Bendahari dan lain-lain tempat. Manakala, persoalan yang ditimbul dan pihak MPP merasakan soal ini perlu ditanya kembali kepada mahasiswa iaitu kedudukan ‘One Stop Centre’ di FKP itu perlu diubah kedudukannya dan dimana atau tidak? Ini bertujuan ‘accessible’ kepada warga kampus khususnya.

Semoga pertemuan MPP bersama pihak pentadbiran USIM bakal membuahkan hasil yang baik.

MOTIVASI, PROFESIONAL, PERUBAHAN

Say No To Valentine Day

Antara usaha memberi kesedaran tentang Valentine Day ini

Antara usaha memberi kesedaran tentang Valentine Day ini

Tahniah saya ucapkan kepada sahabat Exco MPP USIM (saudara Muhammad Afiq dan saudari Aida Asmeeda) kerana mengambil ‘action’ di dalam menangani permasalahan Valentine Day ini. Syabas!

Umum maklum bahawasanya permasalahan ini merupakan suatu isu yang benar-benar merugikan umat Islam. Tambahan pula, ‘pesertanya’ adalah terdiri daripada golongan muda-mudi pelapis kepada agama dan negara. Terbaca saya keratan akhbar mengenai ‘Ops Valentine 2009’ yang dianjurkan oleh beberapa badan bertanggungjawab yang mana hasil operasi menunjukkan masih ada lagi ‘kita’ ini terlibat di dalam perkara yang telah difatwakan sebagai HARAM. Apakah istilah HARAM ini sukar difahami oleh mereka ini? Tepuk dada, tanyalah iman.

Berulang kali kita membaca sejarah mengenai Valentine ini. Terang lagi bersuluh, ‘sportlight’ lagi. Masih tidak jelas sebahagian daripada kita. Ye, memang kita tidak menyambut hari tersebut namun, amalan atau budaya di dalam hari tersebut kita masih lagi melakukannya. Banyakkanlah muhasabah diri, sahabat-sahabat.

Akhirnya, ‘Say No’ ini biarlah ‘ever’ supaya kita sama-sama dapat menghindari daripada kemaksiatan seperti ini.