Anak Muda: Protestan ke Islam

Kali pertama mengikuti program perbandingan agama di UKM. Seingat saya, ia sebagai memenuhi jemputan sebuah persatuan pelajar yang terus berusaha bersama-sama saudara baharu (muallaf) atau lebih senang bagi saya, sahabat kita se-Islam, seakidah dan seperjuangan.

Saya akui, memang menakjubkan setelah saya bersama sahabat daripada wakil persatuan pelajar USIM ketika itu berjaya mengikuti sehingga akhir program perbandingan agama tersebut. Ternyata ramai juga tokoh-tokoh agama (saya maksudkan daripada Kristian) yang diberi hidayah Ilahi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka ketika hidup di dalam neraca agama yang lain daripada al-Islam ini.

Kali kedua dan seterusnya, USIM melalui pelajar-pelajarnya juga mengorak langkah mengadakan program sebegitu. Dakwah Talk, tidak asing lagi (saya rasa) dikalangan pelajar universiti yang kelihatan di tepi lebuhraya itu. Pelbagai siri telah berjaya diadakan. Tentunya saya bangga dan gembira dengan suasana cakna agama di universiti Islam ini.

Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang sekali lagi mengikuti program seperti itu di kampung halaman sendiri. Maksud saya, sempadan kampung halaman; Masjid di Hulu Bernam. Kali ini bersama anak muda bernama Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah Jr.

Ye, kuliah maghrib yang saya maksudkan. Penceramah jemputan dari Kuala Lumpur. Mulanya, saya tertanya-tanya juga, “siapa mamat ni…?”. Jarang saya mendengar tentang beliau.

Ringkasnya, anak muda ini melalui dimensi perubahan akidah yang besar di dalam kehidupan beliau. Kristian Protestan ke Islam. Kejahilan ke cahaya. Kesesakan ke kelapangan dan sebagainya. Beliau pernah menjejak kaki ke bumi anbia, Mesir. Begitu hebat ujian diterima dan dipenghujungnya sujud jua di dalam solat istikharah; pulang dari Mesir ke Sabah, kampung halaman bagi menjaga ibunya yang sedang sakit.

Masih seorang pelajar di KUIS. Sangat aktif di dalam ceramah di dalam hal akidah umat. Malu saya apabila membandingkan sejarah kampus saya. Apa yang saya buat untuk agama, Islam ini? Tersaat insaf.

Di dalam ceramah beliau tadi, antara perkara yang berlegar-legar di dalam fikiran saya; Maha Hebat kuasa Penjaga hati-hati manusia ini iaitu Tuhan Robb al-‘Alamin. Mengubah anak muda yang penuh dengan didikan agama Kristian Protestan, latarbelakang keluarga yang hebat dan merupakan Ketua Strategik yang bertanggung berfikir bagaimana gaya dan cara membawa umat Islam menganut agamanya, Kristian itu.

Allah SWT Maha Mengetahui akan segalanya.

Anak muda ini juga sering membanding-bandingkan (mungkin ini sifat pelajar perbandingan agama dalam jurusan undang-undang di KUIS sekarang) realiti umat Islam dengan amalan agamanya. Muhasabah besar saya di dalam rumah Tuhan tadi.

Kita leka dan mereka buat kerja. Kita banyak birokrasi dan mereka banyak menyediakan kemudahan. Terlalu jauh uslub dan metod ajakan beragama dengan mereka. Pusat zakat tidak terlepas daripada masalah “kita” tadi. Senyum sinis saya bersama jamaah yang faham maksud anak muda ini.

Banyak lagi kerja kita. Saya berpandangan (mungkin sama dengan apa yang telah dilontarkan oleh anak muda ini), sistem hidup di Malaysia harus diubah segera. Anda mungkin akan lebih faham jika mencari sebab Abang Bob Lokman meninggalkan kehidupan lamanya. Kita jauh dengan apa yang kita bibirkan (baca: sebutkan) selama ini.

Namun, terlalu lama bermuhasabah juga tidak baik juga jika lambat dan ditinggal zaman. Sekali lagi saya ulangi alasan Abang Bob Lokman (macam peminat tegar), kena bantu membetulkan sistem yang salah ini sehingga mati. Kata Abang Bob Lokman, “saya tak nak anak saya hidup macam zaman saya dahulu…”.

Diakhirnya, anak muda ini mempunyai catatan perubahan beliau, Hijrah Iman; Satu Anugerah Agung Dari Tuhan berharga RM15.00. Laungan takbir sebanyak 3 kali disebut oleh anak muda ini, para jamaah menyahut, “Allahuakbar!!!”.

Advertisements

Pinanglah… – iluvislam

kredit: google image

Namun untuk memilih calon isteri itu, bukanlah memberi ruang untuk mata kita meliar mencari siapakah calon isteri kita. Kerana kita berkahwin sendiri untuk menjaga hati kita. Agak ironi dan pelik, jika sebelum kahwin sendiri kita sudah tidak menjaga hati kita dan membenarkan syaitan-syaitan memasuki ruang hati kita.

Baca penuh, klik di sini http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1525-pinanglah-daku-kerana-dakwah.html

Tampar Pipi Tanya Selera

Soal Diri-Mu

Mengambil masa sedikit untuk menulis. Beberapa hari yang lepas, terasa padat dengan pengisian-pengisian langsung dan tidak langsung. Saya mula terisi. Saya merasakan masa berbaki sedikit untuk memperbaiki pembaziran lampau.

Saya membandingkan susuk tubuh dengan sahabat-sahabat yang lain. Tentunya berbeza dan mereka semakin pasti dengan jalan yang dipilih. Apakah rahsia mereka? Atau pun ia cuma perasaan baik terhadap mereka.

Usaha membangkitkan diri di dalam memerangi kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini, bukanlah sesuatu yang mudah. Sangat menyusahkan. Perlunya ilmu dan amalan.

Saya cuba menyendiri sebagai alasan untuk memperkasa kembali apa yang dirasakan hilang. Semangat, penyesuaian dan lain-lain. Bercita-cita menjadi muslim yang baik seperti yang disarankan oleh Allahyarham Sheikh Fathi Yakan terkadang menjadi sisi muhasabah. Sisi mengoreksi sejarah lampau.

Saya percaya, manusia diberi potensi yang hampir sama untuk memperbetul gaya hidup dan memilih titik noktah di dalam dunia yang fana ini. Kita sudah pun mengaku bersama-sama semasa di alam roh dihadapan Tuhan Robb al-Jalil. “Qalu bala, shahidna…”.

Bak kata seorang teman dari Indonesia, manusia berusaha untuk sempurna, untuk ikhlas. Saya cuba ke arah itu. Mana mungkin setelah mengetahui sesuatu tentang ERTI SEORANG MUSLIM, ditinggalakan amalannya. Teringat pesanan Tok Guru, melalui risalah (menulis di blog, facebook, twitter dll) juga jalannya.

Hahhh… Terkadang ia sekadar alasan untuk amal dakwah. Banyak amal lagho melalui risalah itu. Astaqhfirullah…

Tepuk dada (mungkin tampar pipi yang terkini), tanya iman (biar sedar).

Tuhan Robb al-Jalil, Engkau memahami bisikan hati juang-ku ini… Perkenanlah.

al-Isrof : Afat ‘ala al-Toriq

kredit: google image

Sepanjang berada di sini, majlis-majlis ilmu hidup subur. Pelbagai maudu’ dibincangkan, bukan hanya melalui meja-meja tazkirah, mimbar-mimbar masjid, rostrum-rostrum syarahan malahan melalui sudut pidato (sempena menjelangnya Pilihan Raya Kampus) juga menjadi saluran penyampaian ilmu, bakat dan expresi. Saya suka dengan biah sebegini. Segar mata memandang, lunak telinga mendengar.

Saya tinggalkan dunia kampus dan medan penyampaian mereka. Beralih ke episod yang lebih realiti dan padat dengan aksi, mewaqafkan diri untuk sama-sama memahami pengajian kitab melalui sudut pandang haraki.

Kitab karangan al-Fadhil Ustaz Dr. Syed Muhammad Noh iaitu Wabak Sepanjang Jalan (Afat ‘ala al-Toriq). Perbincangan memasuki noktah yang kedua, al-Isrof (pemborosan).

Sebagai muqaddimah, memahami maksud al-Zuhud dijadikan lontaran pertama. Mengalih salah faham terhadap kezuhudan ini menyebakan kita akan jauh dengan perjuangan agama Allah SWT. Zuhud adalah manusia yang berjaya mengawal dan meletakkan hati ditempatnya. Ia juga tidak menempatkan harta dunia ke dalam hati. Antara lainnya, merasa kemanisan mengorbankan harta benda demi agama, Islam (perjuangan).

Sebagai contoh, Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan RA dan ‘Abd Rahman ibn ‘Aus RA juga manusia kaya dan sanggup mengorbankan harta benda demi berjuangan bersama Nabi Muhammad SAW. Islam menuntut umatnya mempunyai kekuatan harta dan juara ekonomi. Contohnya, adanya kereta mewah untuk memudahkan ke majlis-majlis ilmu (medan perjuangan).

Antara yang sangat memberi kesan di dalam pengajian kitab kali ini, KITA LALAI MENYEDIAKAN BEKALAN. Bekalan? Ya, bekalan iman, tarbiyyah, bangun malam, membaca al-Quran dan lain-lain. Ini semua sebagai teman ketika mana diuji nanti. Malu untuk mengaku manusia yang berjuang.

Kedua, JANGAN LUPA DENGAN KEHEBATAN DAN JANJI ALLAH SWT. Dikisahkan, para syuhada akan dibangkitkan di padang mahsyar kelak dengan mendapat penghormatan daripada Allah SWT, Nabi-Nabi dan para malaikat. Syuhada akan dibangkitkan dengan nombor giliran yang terakhir dengan membawa maksud para syuhada sememangnya mendapat tempat dikalangan ahli mahsyar. Diberi laluan untuk berada di bawah ‘arash Allah SWT sambil diiringi oleh para malaikat. Jangan bimbang kalian yang tidak mati syahid, kerana dibelakang para syuhada tersebut adalah mereka yang bersama perjuangan Islam tetapi tidak mati syahid. Allahuakbar!!!

Sebagai noktah akhir, bersama perjuangan Islam bukan suatu pilihan tetapi suatu kemestian. Mesti bersama. Maka, di dalam menelusuri satu persatu muka surat perjuangan ini, mahu tidak mahu kita harus mempersiapkan diri dan yakinlah ujian Allah SWT akan tiba bagi mereka (kita) yang ikhlas untuk membangun bersama Islam ini.

Insha Allah SWT.

Bersabarlah, Masa Akan Tiba – Pesan Mak

Kita sama-sama menyedari, masa berlalu begitu pantas. Tahun baharu telah pun menjengah ke bulan yang kedua iaitu Februari. Masih ingat di dalam ingatan, ketika musim puasa dahulu, sekitar berumur 10 – 15 tahun, terasa lambat masa untuk berlalu. Laungan azan sentiasa menandakan berakhirnya penantian untuk meneguk segelas air.

Maha Benar ucapan sumpah Allah SWT di dalam ayat-ayat cinta-Nya, surah al-‘Asr. Hanya mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan antara satu sama yang lain itu tidak rugi dengan masa-masanya.

25 Februari 2011, ujian pertengahan bahasa inggeris. Keyakinan untuk menjawab dengan baik masih kabur. Perasaan bimbang senantiasa menghantui minda dan perasaan. Siapa tidak bimbang dengan kegagalan. Kalian tidak bimbang? Kalian memang hebat. Walaupun ujian ini tidak dikira sebagai markah, ia bakal menggambarkan status perubahan berbahasa inggeris. Tentu bimbang menghadapinya nanti.

Kelas intensif mula difikirkan bersama. Ini mungkin jalannya. Ya, manusia ini sememangnya perlu ditekan atau dipaksa untuk berubah. Keadaan selesa juga antara sebab kelembapan untuk serius melakukan status perubahan itu. Intensif? Dipaksa untuk mengakui kelemahan. Kelemahan berbahasa inggeris.

Mula-mula, dibentang semula pengajian menengah atau SPM. Terlalu asas. Itulah salah satu kelemahannya. Teringat perbualan bersama seorang sahabat. Beliau menggambarkan seolah-olah tiada memori berkaitan pengajian bahasa inggeris di sekeloh dahulu. Guru yang mengajar pun lupa wajah-wajah mereka. Bayangkan. Mungkin itulah situasi pengajian bahasa inggeris. Tidak ambil peduli. Bahasa Melayu, Sains dan Matematik menjadi keutamaan.

Kenapa topik bahasa inggeris menjadi penulisan kali ini? Kenapa? Seperti sebelum ini. Menulis membuatkan diri terasa lega dengan segala tekanan. Tekanan monolog. Senantiasa bercakap-cakap di dalam diri. Boleh ke? Banyaknya kena ulangkaji? Perkataan banyak lagi tak hafal? Sempat ke nak faham semua? Ini yang dibimbangi.

Banyakkan kerja, kurang bercakap. Kata-kata begini penguat untuk menyahkan monolog lagho tersebut. Mesti terus ke hadapan. Cuba sebaik mungkin dan gunakan segala kemungkinan untuk mengubah status itu. Bukan senang untuk menjadi senang, betul tak? Motivasi ini ada dalam diri, terkadang terhadang oleh lalang-lalang kehidupan. Isu tempoh pengajian, muhasabah kursus pengajian, soal bait muslim dan lain-lain. Pesan Mak yang sangat mujarab, “bersabar… masa tu akan tiba…”. Terima kasih, Mak.

Tinggalkan monolog lagho itu dan teruskan bekerja demi mengubah status. Mampu mengubahnya!