Saiz Famili vs ‘Ke-mahram-an’

Kenangan bergambar bersama allahyarhamah Mak Uda (barisan tengah bertudung putih), al-Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sempat sembang-sembang ringkas dengan Mak tentang siapa mahram dan bukan mahram. “Along tak boleh kahwin dengan anak-anak Pak Long sebelah Ayah, dorang mahram…”, ‘statement’ Mak. Aku memang secara tidak sengaja menjadi keliru dengan ‘statement’ ini. “Betul ke, macam salah je…”, aku membisik.

Maka, jadilah perbualan semasa ‘on the way’ ke solat jumaat hari ini di Surau al-Falah, kediaman siswa/si UPSI berdekatan ‘Proton City’. Aku cuba memahamkan Mak dan Ayah tentang perkara ‘kemahraman’ ini. Seingat aku, bila ‘first time’ bertanya dengan Ustaz Zulhilmi Mohamed Nor, Ustaz beritahu semua sepupu sebenarnya bukan mahram (boleh mengahwini mereka dan bersentuhan menyebabkan terbatalnya wudu’ (air sembahyang).

Tapi, aku masih belum yakin dengan jawapan-jawapan tak kemas (tanpa dalil, hanya kefahaman-kefahaman lama) ini. Aku cuba mengambil usaha sebagai satu tanggungjawab untuk menjadi ‘orang yang faham’. Dengan saiz famili yang ramai dan pelbagai ragam, lagi-lagilah penting untuk faham itu.

Seawal memahami soal ‘kemahraman’ ini, aku membelek-belek Tafsir al-Quran al-‘Azim, karangan Ibn Kathir. Masalah pertama aku, kurang faham. Mana tidaknya, bahasa arab. Aku teruskan juga membaca dan faham. Ada beberapa hadith Nabi Muhammad SAW menerangkan soal ‘kemahraman’ ini.

Sudah semestinya ayat 23 dan 24, surah an-Nisa’ menjadi pilihan utama. عن ابن عباس قال: حرمت عليكم سبع نسبا وسبع صهرا. Ini antara petikan di dalam menafsir ayat 23 surah an-Nisa’ di dalam karangan Tafsir Ibn Kathir.

Setelah berlakunya sedikit kekeliruan di dalam memahami istilah-istilah yang wujud ‘bab mahram’ ini, aku tidak teragak-agak untuk bertanya secara SMS sahabat-sahabat yang lebih arif. Alhamdulillah, sedikit pencerahan aku alami.

Sahabat dari Sabah, Ustaz Zulhilmi a.k.a al-Bafuni cuba membalas SMS aku dengan menyatakan kefahaman dalam perbezaan mahram dan bukan mahram. Apa ke benda mahram itu. Berjaya aku memahaminya. Tambahan al-Bafuni, mahram ada dua; muabbad dan muaqqad. Kalian nak detail tentang dua jenis mahram ini, tolong cari sendiri. Kalian akan lebih menghargai nanti, macam aku.

Sahabat dari Universiti Malaya pun membalas SMS aku. Lagi jelas aku dibuatnya. Takdirnya sahabat ini pangkatnya Kakak dan sedang (setahu aku) melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Fiqh al-Usroh. Tepat sangat soalan mahram ini aku SMS-kan ke Kakak ini.

“Mahram bagi perempuan dan lelaki ialah yang haram dia (lelaki atau perempuan) kahwin dan tak perlu jaga aurat dia (lelaki atau perempuan) dengan orang tersebut iaitu orang-orang yang disebut dalam surah an-Nur ayat 31 untuk perempuan, untuk lelaki mahram dia dalam surah an-Nisa’ ayat 23…”, antara petikan SMS.

O… Barulah aku faham, surah an-Nisa’ ayat 23 dan 24 itu senarai mahram untuk lelaki dan surah an-Nur ayat 31 pula senarai mahram untuk perempuan.

Mesti kalian fikir (mungkin) kenapalah ‘lembap’ sangat nak faham, kan? Ye, memang bukan senang faham bagi orang macam aku ini yang berlatarbelakangkan pengajian ‘Ais Batu Campur’. Walau positifnya orang kata, “ilmu dunia pun belajar, ilmu akhirat pun belajar juga di menara gading”.

Dipendekkan cerita, memang seharian aku mencari dalil dan kefahaman yang jelas lagi mudah untuk diberitahu kepada ahli famili. Penting untuk faham soal ‘kemahraman’ ini. Jangan dipandang enteng. Oh ye, selepas solat asar, aku cuba mendapatkan beberapa artikel atau perbincangan di alam maya tentang hal ini. Ada juga ‘points’ ringkas yang aku salin.

Tidak disangka, setelah puas mencari di alam maya itu, aku mula melihat susunan Tafsir al-Quran tulisan Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad (al-Fatihah buat Ustaz). Aku belek satu-satu jilid untuk mendapatkan jilid surah an-Nisa’ dan an-Nur. Hebat tulisan Ustaz, ringkas, padat, berpengaruh untuk aku faham subjek mahram ini.

Ustaz Sonhadji telah meletakkan ‘numbering’ kesemua senarai mahram tadi; sama ada untuk lelaki atau perempuan. Mudah untuk aku faham. Akhirnya, aku mula yakin dengan ‘statement’ Ustaz Zulhilmi Mohamed Nor yang menyatakan semua sepupu adalah bukan mahram.

Jadi, mahram untuk lelaki berdasar surah an-Nisa’ (Tafsir al-Quran, Ahmad Sonhadji Mohamad, Juz 5, mukasurat 19) ialah:
1- Bekas isteri ayah.
2- Ibu.
3- Anak perempuan (anak kandung).
4- Saudara perempuan (adik-beradik).
5- Ibu saudara sebelah bapa (mak cik).
6- Ibu saudara sebelah ibu (mak cik).
7- Anak perempuan saudara lelaki (anak saudara/anak buah).
8- Anak perempuan saudara perempuan (anak saudara/anak buah).
9- Ibu susuan.
10- Saudara perempuan sesusuan (Adik beradik sesusuan).
11- Ibu mertua.
12- Anak tiri.
13- Menantu perempuan.
14- Memadukan perempuan (kakak dan adik atau ibu saudara dan anak saudaranya).

Harap kalian faham.

Lepas ini senarai mahram untuk perempuan pula berdasarkan surah an-Nur ayat 31 daripada Tafsir al-Quran tulisan Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad (Juz 18, mukasurat 177) juga. Ini rentetan suruhan Allah SWT supaya perempuan itu menutup auratnya dan boleh membukanya kepada mereka yang dibenarkan sahaja seperti dibawah:
1- Suami.
2- Ayah.
3- Ayah mertua.
4- Anak-anak.
5- Anak-anak suaminya (anak tiri).
6- Saudara-saudara (adik beradik lelaki).
7- Anak kepada saudara lelaki (abang dan adik).
8- Anak kepada saudara perempuan (kakak dan adik).
9- Rakan sejawat atau yang berkhidmat.
10- Hamba sahaya perempuan.
11- Hamba sahaya lelaki (ada perbincangan dikalangan ulama).
12- Kanak-kanak yang belum timbul berahinya melihat aurat perempuan.

Jadinya, soalan sembang-sembang dengan Mak tadi mungkin dah terjawab. Hubungan sepupu semuanya bukan mahram. Aku (atau kami) boleh berkahwin diantara satu sama yang lain dan batasan aurat mesti dijaga. Soal yang mengatakan aku lebih layak menjadi wali kepada anak-anak Pak Long (adik beradik Ayah) itu mungkin masuk di dalam perbincangan yang lain, bab ‘kewalian’. Mungkin.

Kalau aku tersalah faham lagi di dalam kefahaman ini, dibuka ruang yang luas untuk tambahan dan teguran. Insha Allah SWT, aku akan cuba memahami lagi permasalahan seperti ini demi kefahaman bersama.

Mencabar memahami ‘kemahraman’ di dalam saiz famili yang besar dan kekal ceria. Amiin.

Saiz besar itu selesa.

Advertisements

Semalam Juga Sifu

iluvislam.com

Bismillahirrahmanirrahim.

“Kenapa aku tak boleh nak tidur ni…”. 3, 4 minggu sebelum ini, memang susah untuk aku melelapkan mata. Apa yang memotivasi diri aku sebelum memejam mata ialah tentang kebaikan atau kebajikan.

“Eh, tak kan aku nak lelap mata untuk tidur ni tanpa buat satu kebaikan, satu kebajikan…”. Monolog sebegini sering menghantui aku sekarang. Mungkin kerana dosa silam dan kematian yang tidak pasti musabab untuk aku (juga kalian) memikirkan saham-saham terbaik sebagai bekalan.

‘Flash back’ sebentar. Aku dah selesai pengajian bahasa inggeris di universiti, lebih tepat CELPAD (salah satu unit untuk pelajar-pelajar mengikuti kelas bahasa; arab dan inggeris). 4 bulan sememangnya mengajar erti penyesalan dan gaya memperbaikinya.

Bercakap soal bahasa, ia ‘al-istiklaqiyyah’ atau penggunaan. Tak guna, mana nak pandai. Takdirnya, kelas aku hanya aku dan Sister Izzah ‘truly malaysia’. Ada juga teman-teman yang lain, tapi tak ‘original’. Mereka tamat sekolah menengah di luar negara; Brother Akmal Hasif di Indonesia dan Brother Afandi di Thailand.

Bakinya, dari Turki, Kazakhtan, Palestin, Djibouti, Somalia, Arab Saudi, Syiria, Sudan, Afghanistan dan Indonesia. Tentu banyak budaya dan gaya hidup mereka aku pelajari. Ada perbezaan dan persamaan.

Sengaja aku menyebut tentang teman-teman sekelas; mereka sebahagian individu di dalam sejarah pengajian baharu aku di universiti antarabangsa ini. Sejarah yang bukan lagi mimpi atau persepsi.

Cukup sekadar itu.

Aku mengakui dengan keberadaan ditempat baharu ini banyak menuntut diri untuk menjadi manusia luar biasa. Sebabnya aku datang dari dunia yang biasa. Gombak; kawasan yang sibuk dan dicelah-celahnya ada pelbagai keistimewaan seperti pengajian Islam. Kuliah maghrib, ceramah umum dan lain-lain.

Sifat untuk ‘matured’ terbentuk dengan cepat. Mungkin juga disebabkan faktor umur yang semakin meningkat. Walau apa pun, aku suka dengan sosio-geografi disini. Tambahan, di dalam universiti sendiri berdirinya kepelbagaian manusia dan slot-slot pengajian Islam yang bukan calang-calang manusia membentangnya (kuliah hadith setiap isnin selepas solat asar).

Lagi-lagi dengan takdir Ilahi terjadinya kebangkitan rakyat di Timur Tengah. Terpancullah insan-insan hebat membedah dan menganalisa setiap mukasurat kebangkitan rakyat ini.

Sangat teruja. Sebagai contoh, ada satu malam ketika bersama Brother Firdaus (pelajar MA Perubatan) di Pusat Bisnes, selepas membuat pengesahan secara sendiri ketidakhadiran ustaz dalam kelas tambahan tajwid, kami menjengah program-program yang hidup ketika malam itu.

Ada kuliah jemputan di masjid, ‘talk’ bersama Ustaz Hasrizal (kecewa kerana kehadiran muslimat membanjiri dewan) dan ‘talk’ tentang dinar emas (itu pun dah nak habis dan dah masuk sesi Q&A). Begitu cemas kalau tidak dapat hadir program-program sebegitu.

Ringkasnya, itulah sebahagian kehidupan baharu aku. Sibuk dengan memastikan untuk faham dan najah peperiksaan kelas bahasa inggeris, ‘at the same time’, menjengah slot-slot tambahan.

Boleh jadi ‘alim ke? Susah juga nak jawab. Cuma sekurang-kurangnya aku dapat ‘update’ isu daripada jadi ulat buku semata-mata. Betul tak? Tapi terpulanglah gaya kalian mengaturnya. Aku suka dunia baharu ini walau penat dan terkadang merisaukan.

Panjang betul ‘flash back’ ini.

Jadi, sekarang dah pun bermula cuti. Takdir-Nya, lama betul cutinya. Mac – September 2011. Apa aku nak buat? Apa lagi, bisnes famili. Makan durian. Makan tempoyak. Makan dan makan. Fuh! Aku perlukan ‘adviser’ soal makan ini.

Inilah persepsi awal cuti aku yang panjang. Ye! Pasti sudah ada ‘plan’ pendek dan panjang. Masakan makan durian je yeop! Tak mungkin se-cubby itu tujuan cuti panjang.

Sebagai penghayatan bersama. Aku cuba menilai beberapa hal yang ‘direct’ berkaitan dengan aku dan kalian. Takdir-Nya, Allah swt memberi aku kesempatan berkongsi bersama jamaah masjid di dalam siri kuliah ganti. ‘The point is’, telinga aku lebih hampir. ‘Cuak’ juga kekadang.

Kisah ‘Abd Rahman ‘Aus dan Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pilihan. Dua tokoh yang hebat dan patut dicontohi bersama. Ringkasnya, aku cuba memahamkan diri (terutamanya) dan para jamaah, perlunya ‘al-fahm’ berkaiatan sekecil-kecil kisah dua tokoh ini.

“Cukuplah dengan dua tokoh ini, kita dah mampu menjadi manusia yang soleh dan hebat disisi Tuhan dan kekasih-Nya, Muhammad ibn ‘Abdullah saw…”, aku cuba bertegas dalam mengambil contoh ini.

Dermawan. Berjiwa besar. Rapat dan kenal tujuan hidup (bukan semata-mata makan durian).

Itu sebahagian lukisan diari baharu aku. Aku yang berusaha untuk melukis sejarah yang Islamik dan strategik. Aku mengelak untuk berasa sesal dengan sejarah lama, itu juga guru untuk membelek-belek masa hadapan yang lebih hebat.

“Alif, enta tak boleh letak tinggi sangat harapan…”, pesan seorang teman. Saya betul tergamam dan seolah-olah saya baharu sedar. Aku percaya, pastinya ada yang terbaik untuk semua ini. Ikhlas dan berkorban soal perasaan memberanikan aku untuk melangkah malah melompat lebih jauh.

Aku tidak menyesal dengan sejarah. Ia juga sifu.

Tunjuk ajar aku.

3.31 am, Kg. Berop.