KEMUDI 2009 di Abbasiah

Bismillah.

27 Jun 2009 (Sabtu), Maahad Al-Abbasiah – Alhamdulillah, saya telah dijemput menghadiri Kem Motivasi Diri atau KEMUDI anjuran Persatuan Anak Didik (Bekas Pelajar) Abbasiah singkatannya PADA. KEMUDI sekali lagi melakar sejarah dalam penganjurannya dengan membawa citra dan mesej yang baharu kepada adik-adik dengan bertemakan Revolusi Minda Menjana Muslim Kelas Pertama.

Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur dan sekolah.

Keterlibatan saya kali ini bukanlah seperti diawal penganjuran KEMUDI dahulu sebagai Jawatankuasa. Pengalaman baharu. Hadir sebagai salah seorang panel forum. Saya berbangga dan terharu kerana digandingkan bersama dua orang sifu saya ketika di zaman menengah persekolahan iaitu Ustaz Fauzi dan Abang Muzammil.

Dua insan ini merupakan diantara bintang yang berkelipan dilangit Abbasiah.

Slot forum yang mengasyikkan.

Kupasan tajuk berdasarkan tema KEMUDI kali ini sebenarnya agak berat untuk barisan panel memahami dan memberi faham kepada pelajar. Untuk makluman, pelajar yang terlibat dalam KEMUDI ini adalah pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM tahun ini. Syukur. Atas peluang kefahaman yang diberi, akhirnya pelajar dapat menggarap beberapa elemen untuk difahami dan diterjemah dalam realiti kehidupan mereka di Abbasiah dalam konteks revolusi.

Revolusi untuk faham adalah perubahan yang radikal dan secara total. Minda merupakan fikiran.

Kesimpulan, moga legasi KEMUDI ini akan terus rasional dan relevan. Terima kasih kepada semua bekas pelajar kerana sudi memberi kerjasama dengan hasrat yang satu, tidak mahu melihat adik-adik gagal dan buat kesilapan yang pernah kita lakukan dahulu.

Ingatlah, generasi Abbasiah hari ini bakal menjadi seperti generasi Kerajaan Abbasiah yang agung dahulu, amiin.

Previous sikit di PTB

Bismillah.

Salam sejahtera buat semua. Agak lama saya tak update laman ni. Rindu rasa. Alhamdulillah, semakin hari bertambah pelawat yang sudi kunjung di laman ni. Terima kasih!

Oh! Sekadar sembang-sembang maya ingin saya coretkan dalam entri kali ni. Lagi-lagi ‘dunia pra-perkerjaan’ saya di PTB, UPSI ni. Hari ni, saya hampir tamat tempoh latihan industri dan amali. Banyak pengetahuan dan pengalaman dapat saya simpulkan. Namun, biarlah dikemudian pertemuan saya luahkan dalam laman ni.

Isnin depan, hari terakhir saya di Bahagian Pembangunan Koleksi atau nama manjanya BPK. Macam-macam belajar, daripada tugas seorang Pustakawan hingga ke bawah. Satu pengalaman yang begitu real buat saya untuk jadikan pedoman dan sempadan.

Berkongsi sedikit. BPK melibatkan tugasan Pembangunan dan Pengurusan Koleksi. Pesan Ketua Bahagian, “Alif kena tahu perbezaan gerak kerja dalam bahagian ni, boleh alif muatkan dalam laporan nanti”. Ye, benar. Dalam soal berkerja, kena pandai membahagikan kerja yang hakiki disamping mengekalkan hubungan sosial antara kakitangan. Sama ada sama level atau sebaliknya.

Satu pengajaran lagi, ketika bersama Pembantu Perpustakaan Kanan di BPP. Kami berkesempatan berborak tentang penyusunan buku-buku. Kata beliau, buku-buku ni perlu manja seperti manusia. Interaksi bersama buku. Terkejut jua saya. Macam mana tu. Memang sukar untuk memahami nasihat orang yang berpengalaman seperti beliau. Terima kasih, saya cukup menghayati lagi menghargai.

Kesimpulan ringkas, banyak perkara saya belajar ketika di PTB ni. Bukan sahaja perkara yang sedia ada dalam buku, diluar buku pun ada. Sama ada perkara mengenai hubungan, keyakinan diri dan lain-lain.

Terima kasih PTB!

Berbanggakah anda menyambut Hari Bapa?

Apabila menatap akhbar, sedarlah penulis, Ahad, 21 Jun ini adalah Hari Bapa. Penulis pun membaca beberapa kisah anak dan bapa. Ada sebuah rencana, disertakan gambar seorang bapa dipeluk dua anak gadisnya sekali gus. Kedua-duanya tidak bertudung, berpakaian santai.

Ada rencana pula memberitahu apa hadiah yang boleh diberi kepada si bapa, umpamanya meraikannya dengan majlis makan tengah hari dan menghadiahkannya gajet seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera. Malah ada pihak kreatif mengkomersialkan Hari Bapa menawarkan sandwic dan pelbagai juadah lain di restoran mereka.

Sebuah rencana bermula dengan ayat, ‘Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya’. Membaca ungkapan ini, melayanglah ingatan penulis akan tazkirah sebelum Jumaat dan khutbah di masjid ketika solat Jumaat hari ini (19 Jun). Kedua-dua majlis ini memperkatakan perkara yang sama – Hari Bapa – dengan penceramah menekankan akan tanggungjawab bapa kepada anak manakala khatib membawa persoalan solat.

Kata penceramah, anak adalah harta (aset) paling bernilai bagi seorang bapa. Ada sebuah hadis menyebut apabila mati seseorang anak Adam (manusia) maka ada tiga perkara yang masih boleh memberi manfaat kepadanya.

Pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Penceramah berhujah, adakah anak yang kita kasihi sekarang ini, akan mendatangkan manfaat kepada kita apabila kita berada di alam kubur (barzakh) dan alam seterusnya?

Muhasabah (koreksi)lah diri, apakah benar kita sudah menyediakan anak-anak untuk memikul amanah yang berat itu? Sebagai permulaan, eloklah ditanya soalan ini.

Apakah nanti apabila aku mati, anak-anak itu dapat menguruskan jenazahku iaitu memandi, mengkafan, menyembahyang dan menguburkan diriku? Atau adakah mereka akan duduk jauh-jauh, bersembang-sembang di bawah rimbunan pokok di halaman rumah dan menyerahkan semua urusan menyempurnakan aku kepada tok bilal, pak imam dan sebagainya?

Anak yang dapat menolong kita adalah anak-anak yang soleh. Namun semasa hidup ini adakah kita sudah menyediakan anak-anak kita untuk menjadi orang soleh dan solehah?

Tataplah muka surat akhbar yang mengkisahkan si anak dan bapa; jarang benar ditemui si bapa yang meluahkan kebimbangannya akan perangai si anak; hampir semuanya nampak ceria saja, antara lain menunjukkan si bapa bangga bergambar di sisi si anak yang tidak menutup aurat dengan sempurna, atau si anak menjadi seorang artis berjaya.

Adalah biasa untuk kita temui sebuah keluarga, si bapa berkopiah haji, si ibu bertudung litup tetapi si anak daranya selama saja berjeans ketat dan berbaju pendek. Terlalu biasa melihat remaja bertudung, tetapi mendedahkan lengan dan bentuk badannya dengan pakaian terlalu ketat. Adakah pak haji dan mak aji ini fikir dia saja nak masuk syurga; anak-anak lantak kau oranglah.

Ini antara penampilan luaran, yang dapat disaksikan umum, tetapi bagaimana bab lain seperti penyempurnaan Rukun Islam seperti bab sembahyang? Perkara inilah ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaatnya.

Sebagai bapa yang diraikan sempena Hari Bapa, apakah sudah dibereskan tugas bapa yang wajib memastikan seluruh ahli keluarganya menunaikan solat? Usahlah ketawa tersengih-sengih bergambar dengan si anak, berbangga sudah membesarkan mereka menjadi penyanyi, pelakon, pramugari, guru, jurutera dan profesion hebat-hebat lain, tetapi persoalan menyempurnakan Rukun Islam seperti solat tidak beres?

Perlu disedari betapa banyak orang sekarang sudah meninggalkan solat lima waktu. Secara automatik anak yang tidak solat terkeluar daripada senarai anak soleh. Jadi apakah yang kita boleh harapkan daripada mereka? Adakah kita bangga jika mereka menitipkan wang RM100 atau RM200 sebulan kepada kita sebagai mengenang jasa kita sebagai seorang ayah sedangkan mereka tidak sembahyang?

Inilah kerunsingan yang perlu kita fikirkan sempena Hari Bapa ini. Runsing akan masa depan anak-anak aku ini, bolehkah mereka menjadi anak soleh yang akan mendoakan aku apabila aku masuk dalam kubur nanti. Bukanlah pada Hari Bapa ini kita kita disibukkan oleh runsing aku nak dapat hadiah apa, aku nak dibawa ke restoran mana atau aku akan dikelilingi anak-anak dara aku sedangkan mereka gemar mendedahkan aurat mereka dan tak sembahyang pun!

Bertanyalah secara jujur, berjayakah atau sudah berusaha keraskah kita mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh? Tentunya, kita akan berasa malu, kita gagal menjadi seorang bapa yang baik, yang mengikuti perintah Allah SWT sepenuhnya. Kepada-Nya kita mohon keampunan, bertaubat bersungguh-sungguh kerana gagal menjadi bapa yang baik sebagai dikehendaki-Nya.

Selain seorang bapa, kita sebenarnya adalah juga seorang anak. Adakah kita seorang anak yang termasuk dalam golongan soleh yang dapat menolong orang tua kita di alam ini atau di alam sana?

Akuilah kita gagal menjadi seorang anak yang baik dan juga seorang bapa yang baik. Kepada-Nya kita mengadu, Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, datuk moyang dan zuriat-zuriat kami dan sekalian Muslimin dan Musliman kerana kegagalan kami menjadi anak dan bapa yang baik sebagaimana kehendak-Mu.

Kerana gagal menjadi bapa dan anak yang baik, apakah kita rela tersengih-sengih menyambut Hari Bapa ciptaan Barat itu, apatah lagi dengan menghadiri majlis yang menambahkan koleksi maksiat dan dosa kita kepada-Nya?

Sumber: Lanh14.blogspot.com

Berubahlah Untuk Memimpin Perubahan

ISLAM memimpin perubahan.

Tetapi MUSLIM itulah yang merealisasikan slogan tersebut.

Justeru cita-cita PAS untuk memimpin perubahan yang sedang pesat melanda kehidupan semasa kita, amat bergantung kepada sejauh manakah integriti dan daya kompetensi pendukungnya yang MUSLIM itu.

Sesungguhnya tidak mudah untuk mengendalikan sebuah gerakan sebesar PAS di Malaysia. Dengan keahlian mencecah sejuta, sebahagiannya menyertai PAS dengan kefahaman Tarbiyah, manakala sebahagian yang lain menyertainya dengan kesedaran Siasah. Sebahagiannya naik kapal dengan rasional, sebahagian lain pula emosional. Dari profesor di menara gading, hinggalah serendah-rendah pendidikan manusia, tetapi ada sesuatu yang difikirkannya.

Kedua-duanya berkumpul di bawah satu hasrat dan cita-cita, tetapi dengan kapasiti yang amat luas kepelbagaiannya.

Justeru sesuai dengan saiz PAS yang semakin besar, jiwa dan pemikiran pendukungnya juga harus membesar sama. Pandangannya perlu besar, dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang datang akibat saiz yang sebegitu besar.

Setelah pemerintahan Islam bukan lagi di kejiranan Madinah, berubah kepada sebuah Daulah yang bersempadankan dua lautan dan benua, kaedah bai’ah bukan lagi berjabat tangan seorang demi seorang di minbar masjid. Ada perkembangan yang berlaku, dan perkembangan itu perlu.

KOMUNIKASI GENERASI EMAS

Sebagai perbandingan, nilaikanlah keberkesanan komunikasi di era Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam memindahkan satu berita atau maklumat daripada seorang kepada seorang yang lain, berbanding dengan komunikasi di era Umar al-Khattab r.a, Ali bin Abi Thalib r.a, membawa kepada era Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.

Tidak perlu menunggu hingga ratusan tahun selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hanya kira-kira 25 tahun selepas kewafatan Baginda, umat Islam sudah teruji dengan Perang Saudara di medan Siffin, berpunca daripada beberapa sebab, terutamanya soal KOMUNIKASI.

Muawiyah radhiyallaahu ‘anhu bukan pemberontak sebagaimana yang dikehendaki imej sebegitu oleh musuhnya. Muawiyah selaku ahli keluarga kepada Uthman radhiyallaahu ‘anhu menghendaki supaya pembunuh Uthman diheret ke muka pengadilan. Hal tersebut harus menjadi keutamaan tertinggi pada ketika itu. Ali radhiyallaahu ‘anhu pula melihat, urusan menghukum pembunuh Uthman adalah sulit sekali untuk dilakukan kerana kucar kacir umat Islam tanpa pemimpin akibat terbunuhnya khalifah Islam ketiga itu. Malah lebih memburukkan keadaan, kumpulan yang memberontak terhadap Uthman hingga membawa kepada pembunuhannya telah membai’ah Ali secara licik dan meletakkan diri mereka di tengah posisi tentera Ali.

Sungguh membingungkan.

Ali berada di Madinah.

Muawiyah berada di Syam.

Jarak ribuan batu yang memisahkan mereka tidak memungkinkan suatu bentuk komunikasi yang efektif untuk masing-masing saling mengetahui sisi pandangan masing-masing.

Persengketaan Perang Siffin menjadi lembaran sejarah yang hitam untuk dikenang oleh umat Islam zaman berzaman. Biar pun Muawiyah dan Ali, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri, kebenaran tidak cukup untuk menyekat perpecahan. Benar sekali sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Sahih Muslim – hadis no: 157]

Ya, perpecahan boleh berlaku di dalam kelompok yang batil. Perpecahan juga boleh melanda kelompok yang benar. Asasnya ialah pada cara pengendalian mereka, sama ada menetapi hukum Sunnatullah atau sebaliknya.

Kita sangat berlapang dada dalam memahami asas kesukaran berkomunikasi yang berlaku di antara Muawiyah dan Ali. Jarak memisahkan mereka. Teknologi masih terbatas.

Namun apakah pula alasan untuk sebuah komuniti di era siber ini mengalami pengurusan maklumat yang tunggang langgang?

KOMUNIKASI GENERASI SEMASA

PAS seharusnya sedar dirinya sudah berada di tengah arus perdana. PAS tidak boleh lagi berfikir seolah-olah mereka hanya sekumpulan individu yang boleh bertemu di sebelah pagi untuk merancang, dan bertemu kembali di sebelah petang untuk muhasabah. Dengan keahlian mencecah sejuta, PAS sedang diuji dengan keupayaannya menguruskan penyebaran maklumat. Bukan sahaja di kalangan pendukungnya, malah rakyat jelata juga mahu tahu.

“Kita sabar dulu. Tunggu penjelasan daripada Tuan Presiden”

“Jangan percaya dengan manipulasi Utusan Malaysia malah Malaysiakini. Kita mesti berbaik sangka”

“Kami ada maklumat yang kami perolehi daripada sumber tertinggi tetapi tidak boleh didedahkan secara terbuka”

“Salah satu petanda Takwin yang sempurna, adalah pada ketaatan yang mutlak kepada arahan atasan”

Kesemua kenyataan di atas, menggambarkan yang PAS masih berfikir kecil ketika tubuhnya sudah membesar bagai raksasa. Masih menganggap, penyampaian maklumat dari mulut ke mulut, menanti pimpinan turun ke akar ubi untuk membuat penjelasan untuk mencerahkan pegangan, sebagai cara untuk menjaga keharmonian jamaah dan parti.

Apakah ini petanda yang PAS masih belum memfakihkan diri dengan bentuk peperangan semasa yang dirinya sedang berada? Bahawa peperangan hari ini adalah peperangan maklumat. Kegagalannya menguasai maklumat bererti mereka berperang tanpa senjata, atau masih berkeris ketika peluru berpandu menembak jauh dari ribuan batu.

Utusan Malaysia tetap Utusan Malaysia. Sentiasa ‘istiqamah’ dalam tingkah laku buruk kewartawanan mereka.

Begitu juga dengan sekalian pihak yang sudah secara tradisinya tidak berpihak kepada mereka.

Tetapi bagaimana dengan Harakahdaily? Bagaimana dengan halaman web rasmi PAS? Bagaimana dengan blog peribadi masing-masing? Mengapa tidak digunakan kesemuanya itu untuk menjelaskan apa yang perlu diperjelaskan kepada massa yang ramai ini.

Ketika segala propaganda UMNO dan Barisan Nasional bertebaran di media semenjak Isnin, apakah di tahun 2009 ini PAS masih mengharapkan ahlinya menunggu hujung minggu untuk mendengar maklumat tersahih dari usrah atau roadshow dan ceramah perdana?

AMBILLAH IKTIBAR DARI KISAH MEREKA

Saya masih ingat, kejadian di era Reformasi 1998 dahulu, apabila Setiausaha Agung UMNO datang ke England. Slogannya ialah, rakyat Malaysia di perantauan jangan percaya dengan propaganda media asing yang memberikan liputan bias tentang perkembangan di Malaysia. Media asing diletakkan di hujung telunjuk sebagai pesalah yang memporak perandakan pandangan rakyat Malaysia tentang negaranya sendiri.

Lalu Setiausaha Agung UMNO diminta menjelaskan secara ‘live‘ apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mantan Timbalan Perdana Menteri lebam matanya ketika berada di dalam tahanan Polis. Jawapan sambil lewa Setiausaha Agung UMNO (berserta dengan kesungguhan melarang percaya kepada media asing) memanaskan kepala setiap yang hadir sehingga ada yang hampir menumbuk beliau.

Sungguh membuang masa.

Ya, jangan percaya media asing.

Tetapi ruang yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Sama jugalah dengan PAS. Jangan percaya Utusan Malaysia. Jangan percaya dengan Malaysiakini. Jangan percaya dengan ‘bloggers’ (bukankah ini kata-kata BN di ambang kekalahan mereka Mac 2008 yang lalu?), jangan percaya dengan TV3… habis mahu percaya dengan siapa?

Harakahdaily tiada maklumat.

Laman web rasmi PAS tiada maklumat.

Usrah masih bertatih untuk mengecap nilai efisyensi.

Dan dalam masa yang sama Mursyidul Am berkata sesuatu manakala Tuan Presiden berkata sesuatu yang lain.

Alasan manipulasi media sudah tidak laku kerana PAS serta sesiapa sahaja mempunyai 1001 ruang untuk menyatakan apa yang tidak boleh dinyatakannya di media milik UMNO atau Barisan Nasional. Mana mungkin penjelasan dilewat-lewatkan, berulang-ulang kali… tanpa menjangkakan kerugian dan kemalangan menimpa PAS akibat sikap tidak kompeten seperti ini.

Jangan nanti alasan ‘ada benda yang orang tidak boleh tahu’ diulang berkali-kali sehingga massa pun sudah malas untuk ambil tahu.

Era perang digital, jangan lagi membawa sikap analog yang membinasakan.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Jasamu Dikenang: Pendaftar dan Bendahari USIM

Pendaftar

Pendaftar

Bendahari

Bendahari

Sesungguhnya, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2008/2009 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengucapkan terimah kasih atas kerjasama dan tunjuk ajar yang telah diberikan selama ini. Kami bangga mempunyai tokoh seperti anda di USIM ini.

Nilai, 5 Jun 2009 – USIM telah berbesar hati mengadakan Majlis Persaraan untuk Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman, Pendaftar USIM dan Puan Hajah Rohani Abu, Bendahari USIM bertempat di Galeri, Bangunan Canselori. Majlis ini dibuat untuk menyatakan penghargaan universiti kepada mereka yang telah berkhidmat di USIM hampir 10 tahun.

Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu masing-masing telah memulakan perkhidmatan di USIM sebagai Pendaftar dan Bendahari pada 1 Januari 2000. Mereka merupakan antara tokoh awal yang terlibat dalam merealisasikan hasrat USIM sehingga berjaya meletakkan USIM setanding dengan universiti lain di Malaysia.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM ciri-ciri seorang pentadbir atau pemimpin yang baik ialah mereka yang berkebolehan membuat keputusan dengan cepat dan tepat serta berpandangan ke hadapan.

“Untuk menjadi seorang Pentadbir bukanlah satu perkara yang mudah. Bukan semua orang mampu menjadi pentadbir yang baik. Seorang pentadbir yang baik perlu berani membuat keputusan dengan memikirkan risiko yang akan dihadapi dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menghadapi risiko tersebut” tambah beliau semasa berucap di Majlis Persaraan Pendaftar dan Bendahari di sini, hari ini.

Di kesempatan itu beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih di atas segala curahan tenaga, masa dan idea yang telah diberikan oleh Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu sepanjang berkhidmat di USIM.

Selamat Maju Jaya diucapkan kepada Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu. Semoga sentiasa dirahmati dan dikurniakan kebahagian berpanjangan.

Sumber: http://www.usim.edu.my/usim

NYDP 1 di Rakaman Suara Siswa RTM

Bismillah.

10 Jun 2009 (Rabu), saudara Mohd Najib Taha telah mewakili MPP USIM ke UiTM bagi menghadiri sesi rakaman Suara Siswa RTM (Dahulu dikenali Bicara Siswa). Ternyata wakil daripada MPP USIM juga mampu bersama MPP universiti lain menghujahkan pendapat dan idea.

Tahniah Najib!

Saya masih belum boleh memberi ulasan dan begitu juga anda. Insha-Allah, kita akan sama-sama akan mendengar wakil MPP USIM ‘bersuara’ dipentas dalam membincangkan soal gejala sosial iaitu ‘Samseng Jalanan’ atau Rempit.

Kita nantikan siarannya. Kalau tidak silap saya, minggu hadapan, jam 9.00 malam di TV1.

Skim Diskaun, PUNATS dan MASISNA: Satu Pencapaian

Perwakilan MPPK 2009 bersama YAB TPM

Perwakilan MPPK 2009 bersama YAB TPM

Bismillah.

Alhamdulillah, dapat jua saya menghadiri satu program yang kira penting iaitu Majlis Perundinagn Pelajar Kebangsaan (MPPK). Walaupun dalam keadaan sibuk dengan praktikum. Tahniah saya ucapkan kepada semua rakan-rakan perwakilan atas usaha bersama ini.

MPPK 2009 kali ini dijadualkan selama dua hari, bermula hari Isnin lalu, tamat hari Selasa. Hanya dua hari. Saya hanya sempat menghadiri hari yang kedua. Terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Pelajaran kerana sudi mempengerusikan MPPK kali ini.  Tidak lupa jua kepada YB Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi.

MPPK 2009 bermula hari pertama di Bangi dan berakhir di Seri Kembangan. Bermula jam 2.30 petang dan selesai hampir 5.30 petang. Tahniah sekali lagi kepada rakan-rakan pembentang kertas kerja, sedikit sebanyak anda, mewakili golongan anak muda di kampus untuk menyuarakan pendapat dan idea kepada kepimpinan negara supaya prihatin dalam soal kebajikan mahasiswa di menara gading.

Continue reading