Mak Uda Nak Sebelah Atuk

Teringat Mak Uda.

“Along, Mak Uda kemalangan dan koma sekarang”, mesej Adik. Siapa tak terkejut. Terkedu. Macam-macam perasaan. Bersangka baik dengan Tuhan membuatkan diri kuat untuk berharap.

Inilah antara kisah kami. Kehilangan Mak Uda. Lagi-lagi setelah menjelang bulan ramadhan kali ini. Rasa kurang. Betullah, kehilangan itu membuat kita sentiasa rindu padanya.

Selepas membaca mesej tadi, aku terus menelefon anak sulong Mak Uda di Universiti Malaya, Syafiq. Syafiq pun tak tahu Ibunya kemalangan. Bertambahlah kejutan syafiq dan aku.

Apa yang terlintas, “dulu sahabat aku, si Pon (nama panggilan) juga kemalangan dan koma. Akhirnya beliau sedar”. Itulah harapan aku. Mungkin semua antara kami.

Aku terus menunggang motorsikal kesayangan ke Universiti Malaya (UM) mengambil Syafiq dan terus ke Hospital Selayang. Ye, aku juga antara anak buah Mak Uda yang pertama menyaksikan keadaan Mak Uda terlantar di katil bilik kecemasan.

Tiada suara Mak Uda. Tiada pergerakan. Hanya kaku. Aku perasaan air mata Mak Uda mengalir perlahan dipipi. Sangat sayu. Alhamdulillah, ketika itu ahli keluarga Pak Uda (suami Mak Uda) ada disisi. Juga kaku.

Aku tak dapat menahan sebak apabilan Syafiq mula menangis melihat Mak Uda.  Mak Uda memang baik sangat dengan anak-anak buahnya, lagi-lagi aku nak buah yang sulong.

Teringat (mungkin) kali terakhir berjumpa dengan Mak Uda di rumahnya, Taman Bidara, Selayang. Ketika itu sudah lewat malam. Aku ada jemputan program dalam area berdekatan Selayang. Sampai sahaja aku di rumah Mak Uda, Mak Uda sedang khusyuk memotong kain untuk dijahit.

Memang Mak Uda seorang tukang jahit. Jahitannya membuat kami sentiasa menempah dengannya baju raya.

Bayanglah perasaan kami di hari raya nanti. Tentunya disimbah air mata lagi.

Antara kata-kata Mak Uda bersama anak keduanya, Syafiqah, sebelum Mak Uda pergi buat selamanya, “Mak nanti dah tua nak tinggal di kampung (Kampung Berop, Tanjung Malim). Kalau takdir Mak meninggal nanti Mak nak sebelah Atuk”.

Ternyata benar pusara Mak Uda disebelah Atuk. Aku betul-betul tersentuh. Hari ini aku membayangkan Syafiq dan adik-adiknya begitu kuat menghadapi kehidupan tanpa kasih sayang seorang Ibu, Mak Uda.

Belum tentu aku mampu dan tabah seperti mereka.

Cuma, aku doakan Mak Uda akan sentiasa dirahmati dan ditempatkan bersama Ahl al-Jannah serta solihin, insha Allah. Kepada keluarga Mak Uda, tabahlah kalian kerana inilah antara kebesaran Tuhan yang Maha Mencipta.

Al-Fatihah.

Cuti Berniaga

Sepatutnya dah tidur sekarang. Tapi entah kenapa degil sangat nak lelapkan mata ni. Hari ni kebetulan Mak Ayah ambil cuti untuk berniaga. Kami semua rehat seharian. Cukup melegakan. Sekurang-kurangnya Mak Ayah boleh rehat lama sikit dan aku ambil peluang untuk ‘settle’ hal-hal peribadi.

Masuk duit adik di bank, buang sampah, beli ikan dengan Mak dan macam-macam lagi. Tak adalah cuti sangat! Masih ada kerja ‘dalam rumah’.

Hari ni juga aku tak berpeluang untuk lelapkan mata diwaktu siang. Memang patut dah tidur waktu menulis ‘post’ ni. Tapi, nak juga tulis sesuatu.

Teringat kulian Ustaz, untuk jadi ‘alim ni bukan semata-mata kena banyakkan membaca, menulis pun perlu. Ni teknik yang al-Quran ajar. Dulu Allah ajar Nabi Muhammad SAW begitu dengan wahyu melalui Jibril ‘alaihi salam.

Begitu juga buat manusia, macam aku ni terutamanya. Menulis proses mengingat dan mengasah gaya berfikir serta gaya menyentuh. Ingin memperbaiki dengan ‘sentiasa’ melakukan kesalahan untuk membina.

Oh ye, bulan ramadhan dan cuti berniaga perkongsian kali ni. Dr. Zulkifli memesan kami di dalam tazkirah beliau di Masjid Slim River baru-baru (kebetulan baru habis berniaga dan singgah di masjid tersebut), antara perkara perlu (patut) kita lakukan di bulan mulia ini ialah mempelajari ilmu.

Tiba-tiba aku teringat zaman di kampus. Musim puasa di bilik-bilik kuliah dan tutorial. Sangat beruntung mereka. Allah memberi ganjaran yang sangat banyak bagi mereka yang benar-benar mahu dan ihklas menuntu ilmu di ramadhan ni.

Apalah kisah sangat keletihan dalam menuntut ilmu. Lagi-lagi di bulan adanya Lail al-Qadr. Kalian mesti mengetahuinya. Baru rasa ‘izzah di bulan yang banyak berlaku peristiwa besar Islam seperti peperangan, pembukaan dan sebagainya.

Ramadhan sebagai miftah kepada kalian untuk sukses lagi dan lagi!

Itu kasih sayang Tuhan buat hamba-Nya. Rebutlah!

Cukuplah. Masa untuk latih mencari Lail al-Qadr. Bukan senang dan bukan juga susah. Niat betul-betul ingin bertemu ia pasti bertemu dengan izin-Nya nanti. Usaha pasti berterusan.

Ingatlah. Terutama buat kalian yang ‘faham’. Jadikanlah ramadhan ni bulan munasabah dan mencipta rekod ‘Badar’ atau ‘Fath Makkah’ dalam episod perjuangan di zaman kampus atau lapangan nanti.

Ia bakal mengukir senyuman buat kalian. Aku sudah tersenyum!

Ramadhan Itu

Setiap pagi ke pasar sepanjang bulan ramadhan kali ini. Macam biasa, jumpa Abang Man untuk buat tempahan ayam. Kadang-kadang 12 ekor, ada juga sampai 15 ekor. “Ok, nanti Abang Man hantar ke rumah pukul 11 pagi”, jawapan biasa Abang Man. Lepas tu, jumpa Pak Cik Halin beli santan. Banyak mana pun Mak pesan, mesti kena bungkus setengah kilo tiap satu. Kira strategi penyediaan sebelum memasak. Huh! Inilah dunia baru lepas zaman belajar sempena ramadhan yang mulia.

Tahun ni Bazar Ramadhan tumbuh bak cendawan. Positifnya, banyak pilihan dan tempat untuk memilih juadah berbuka puasa. Negatifnya, peniaga bazar ramadhan kehilangan sedikit pelanggan. Peniaga dicabar kreativiti dan inovasi mereka dalam penyediaan juadah berbuka puasa. Sama ada harganya murah, penyediaan yang berbeza atau murah tetapi kuantitinya banyak (pakej pelajar). Lagi satu kes, dalam tumbuh bak cendawan ini adalah “pihak yang agak bijak” mengatur kedudukan bazar ramadhan ni. Cuba banyangkan, orang yang tak berniaga (di bazar ramadhan atau pasar malam) nak “tolong” susun atur dan bagaimana nak berniaga. Alangkah peliknya manusia ni! Kan?

Betullah kata seorang veteran sebuah parti politik di Malaysia yang lama “berkampung di ISA”. Kata beliau, “kalau nak sembang pasal politik, kenalah masuk (terjun) dalam politik”. Samalah juga dalam isu susun atur tadi.

Pengalaman pertama berniaga pada 2 ramadhan. Dalam kanopi (dulu guna payung sendiri) seperti gerai-gerai pesta konvokesyen universiti, rasa nak pitam. Tiada ruang udara. Tiada angin. Tiada dan tiada. Bayangkanlah di bawah kanopi (cadangan pihak yang agak bijak tadi) yang tiada lampu dan kipas dalam masa yang sama berlakunya masak-memasak dibawahnya, Tuhan saja yang tahu dugaan di bulan yang mulia ni.

Nyaris-nyaris pitam kami (sekeluarga) semua. Paling menarik, Ayah dah basahkan bajunya selepas solat Asar. Tak tahan dengan haba kepanasan. Kami nyaris, jiran dua belah kami dah pun pitam. Selamat!

Itulah unsur kepimpinan yang realiti. Susah mencari yang berpijak dan kaya budi bahasa. Analogi mudah oleh Ayah, “kanopi ni macam stesen perhentian bas, nampak canggih. Bila hujan, basah dek tempias. Ada matahari, kepanasan.”

Pelajar punya kanopi pun ada lampu dan kipas. Itu pelajar yang tiada kepentingan. Faham-fahamlah.

Pukul 4 petang. Inilah waktu biasa bertolak dari rumah ke tapak bazar ramadhan. Dalam 20-30 minit jauh perjalanan. Agak menarik, pelanggan kadang-kadang dah “ready” nak membeli. Kami baru nak pasang meja dan dekorasi lauk-pauk masakan terbaik Mak Ngah (Mak). Semua ada unsur kepedasan. Selera orang muda!

Macam biasa, pakej pelajar. “Adik, nasi lemak kukus satu”, seorang Abang meminta sebungkus nasi masakan Pak Ngah (Ayah). Berselera betul bila memerhati cara Abang tadi memilih lauk-pauk. Skrin muka ala-ala kasihan terserlah apabila Abang tadi bertanya harga nasi sebungkusnya yang sarat dengan lauk-pauk sampai susah nak tutup. “Semua tujuh ringgit je”, memang betul muka ala-ala kasihan tu beraksi.

Itulah pakej pelajar, banyak dan murah. Penuh simpati skrin ni.

Bulan ramadhan. Nekad dan tekad baru. Pasti dicari hikmahnya. Ini doa kami. Bila lama dapat tinggal di kampung ni, lagi-lagi sepenuh masa berniaga di bazar ramadhan banyak rasanya hikmah dan pengajaran yang patut dipelajari. Inilah lapangan sebenar selepas alam “retorik kampus”. Umat perlu dibimbing. Keluarga perlu diasuhi untuk lebih baik. Pasti itu nekad dan tekad bersama.

Sedih, “port” lepak masih diziarahi generasi muda, kanak-kanak yang seolah-olah jauh mengenal agama. “Sin, aku tak laratlah sorang-sorang nak ubah anak muda kampung kita ni, bolehlah kau tolong-tolong nanti. Cikgu Khairul pun ada ni. Lagi patutlah berbakti”, menyapa sahabat lama yang kini berkerja di KL ketika kami sama-sama menziarahi Allahyarham Bin.

Allahyarham Bin meninggal ketika tidur, seksa nafas. Kami sebaya. Sehari sebelum masuk bulan ramadhan beliau pergi buat selama-lamanya. Al-Fatihah. Ini bukan kerja kita. Ini soal ajal maut. Bersabarah keluarga Allahyarham Bin.

Kisah ramadhan mungkin tampak berbeza. Mak Uda dan tiada. Jua pergi dijemput Ilahi. Cuma terfikir, apa yang tak logik dengan kekuasaan Allah. Dia maha Menghidupkan dan Mematikan sesiapa sahaja. Waktunya pasti tiba dan tepat serta tidak terlewat. Bulan ramadhan dapat juga sekali berbuka bersama keluar Mak Uda di Selayang, bersama Pak Uda anak-anak mereka.

Siapa tak “touching” kehilangan Ibu. Ayah yang agak keras ni pun terasa bila kami di rumah Mak Uda sambil-sambil makan buah langsat, apatah lagi anak-anaknya. Ini bukan kerja kita. Ambillah pengajaran untuk kita buta pedoman sebelum tiba giliran kita. Memang selalunya raya di rumah nenek di Kampong Berop ni Mak Uda yang “set up” langsir, baju raya dan sebagainya. Mak Uda tukang jahit dan guru mengaji di Taman Bidara, Selayang. Al-Quran dijiwa Mak Uda. Moga Mak Uda dirahmati disana, amiin. Al-Fatihah!

Inilah secebis ringkas bulan ramadhan kali ni. Kisah bazarnya, Mak Uda dan sebagainya. Apa yang penting, ramadhan kali ini membawa sebenar-benarnya makna buat kami sekeluarga terutama diri yang kini tamat pengajian ijazahnya yang memberi fokus bersama-sama keluarga dan segalanya tentang mereka.

Aku ingin mempelajarinya! Berikan aku hikmah itu.