Artikal Untuk Media

Ramadhan dan Kemerdekaan Membina Generasi Qudwah Dikalangan Mahasiswa

Rahmat, Pengampunan dan Bebas Dari Api Neraka

Ramadhan 1430 H tahun ini bertamu lagi bermula pada 22 Ogos 2009. Pelbagai ganjaran telah Allah swt janjikan kepada hamba-Nya yang benar-benar mengimpikan kelebihan tersebut. Dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat ke 183 menyatakan kewajiban puasa di bulan ramadhan dan dambaan atau harapan hamba-Nya memperolehi taqwa disisi Rabbul Jalil.

Antara hadith Rasulullah saw yang membicarakan berkaitan bulan yang penuh keberkatan ini ialah, “daripada Abi Hurairah ra berkata, bersabda Rasulullah saw (mafhumnya), apabila masuk bulan ramadhan, terbuka pintu-pintu langit dan tertutup pintu-pintu jahannam dan terikat syaitan-syaitan”. (Muttafaq ‘alaih).

Sebagai mahasiswa di menara gading hari ini, jadikanlah sejarah ramadhan ini sebagai faktor yang membentuk jiwa dan jati diri yang tinggi dengan nilai akhlak mulia dan syaksiah berakauntabliti. Mahasiswa haruslah menyantuni kewajiban dan fadhilat-fadhilat yang ada di bulan ini supaya mampu untuk menjadi generasi qudwah kepada masyarakat dan negara sekarang mahu pun akan datang.

Sebagai contoh, kita digalakkan solat tarawih secara berjamaah dan antara hikmahnya kita dapat menyuburkan nilai hidup bermasyarakat kerana ketika ini hubungan silaturrahim diantara bakal sohibul ‘ilm ini terjalin di rumah-rumah Allah swt. Terkadang pertemuan pertama kalinya di bulan ramadhan akan berkekalan hingga ke akhirnya. Satu nikmat persaudaraan terjalin.

Bulan kemerdekaan

Begitu juga dengan kehadiran bulan kemerdekaan tahun ini di bulan ramadhan. Ia membawa inspirasi baharu kepada mahasiswa betapa pentingnya nilai kebebasan daripada penjajahan sama ada ianya bebas penjajahan fizikal atau mental (pemikiran). Tambahan kemerdekaan kali ini perlulah disesuaikan dengan terapan gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia yang harus difikirkan bersama.

Marilah sama-sama kita menginsafi sesungguhnya dunia tanpa sempadan hari ini memerlukan kebijaksanaan kita memilih atau memberi pilihan kepada masyarakat. Pilihan tersebut mestilah mendidik mereka dan tidak meninggalkan kekeliruan.

Jika kita melihat gejala masalah sosial di negara kita amatlah membimbangkan. Seolah-olah kita semakin jauh dan meleset daripada hidayah Allah swt. Tentunya antara pengaruh yang mampu mendominasi fikrah masyarakat adalah melalui medium massa seperti internet, televisyen, radio dan sebagainya.

Kesimpulan

Jadikanlah medium ini sebagai wasilah membina dan mendidik dengan tidak mengelirukan masyarakat mengenai perkara yang haq dan batil. Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Janganlah kita menambah kekeliruan itu lagi. Bayangkan jika medium ini mendidik masyarakat untuk berpakaian yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah, nescaya betapa harmoninya masyarakat kita kelak.

Semoga kedua nikmat ini iaitu kebebasan dan bulan ramadhan ini membuka ruang kepada kita untuk insaf dan muhasabah bagi membina genarasi harapan agama dan bangsa. Moga Allah swt menerima niat baik dan amal kita, insha Allah swt.

Muhammad Alif Bin Ismail

Yang Dipertua

Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Advertisements

Pacak Reformasi Diri Demi Ketuanan Islam

Dewasa ini, mahasiswa Islam merupakan ‘Sohibul Ilm’ atau golongan intelektual yang berperanan sebagai penyambung risalah Islam. Mahasiswa Islam berada dalam dimensi arus perubahan ketuanan ummah yang bertindak sebagai penentu kemudi ummah tersebut. Figura atau aktivis mahasiswa Islam mempunyai akauntabiliti membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat.

Walapun masih ada suara-suara kecil yang menyatakan mahasiswa Islam kini pasif lagi membisu, hakikatnya pergerakan dan suara lantang mereka masih lagi kedengaran.

Antara faktor keseluruhan mahasiswa hari ini pasif dan membisu adalah disebabkan kehadiran polisi akta kolej universiti dan universiti sama ada ketidakfahaman sendiri atau memang akta ini membelenggu mereka, sistem pendidikan yang berkiblatkan ‘quality of certificate’ atau ‘exam oriented’ berbanding mementingkan ‘the quality of syakhsiah’, perubahan pola kehidupan masyarakat yang asyik mengejar wahana dunia (materialistik) dan budaya hedonisme.

Seorang penyair arab pernah menyatakan, dengan mafhumnya, “tertegaknya sesuatu tamadun yang agung itu adalah disebabkan agungnya akhlak (syakhsiah) masyarakat dan apabila jatuh tersembam akhlak tersebut maka tersembam jugalah tamadun tersebut”.

Begitu banyak perkara yang menghimpit dan mempengaruhi pergerakan mahasiswa ini namun masyarakat dan kepimpinan negara masih menaruh harapan yang tinggi untuk berubah bagi memimpin negara kelak. Maka, haruslah sedaya upaya berusaha membina imej dan jati diri yang sesuai dengan ciri-ciri kepimpinan masa hadapan.

Siapa mahasiswa Islam ini? Mereka ini merupakan jaguh dan agen perubahan ditengah-tengah masyarakat  serta bertanggungjawab merealisasikan konsep ketuanan Islam (sovereignty of Islam).

Penguasaan ilmu atau thaqafah menjadi syarat terpenting. Ia mampu membantu tabang tubuh mahasiswa itu merealisaikan aplikasi teknologi terkini, manifestasi, ideologi dan pemahaman selari dengan landasan iman dan amal Islami. Tambahan, senantiasa menyemai sikap akauntabiliti terhadap sebaran ilmu kepada masyarakat diluar kampus apatah lagi madu’ dalam kampus.

Marilah kita secara serius menterjemahkan ilmu yang sarat dengan teori kepada praktikal, interaksi dan aksi. Begitu juga sikap peka atau pedulisme terhadap isu-isu semasa. Sebagai contoh, adakah mahasiswa Islam hari ini masih terkesan dengan sejarah 1924 yang mana menamatkan era khalifah Islam yang memimpin ummah yang dikepalai oleh Mustafa Kamal Attartuk, bapa sekularisme di Turki? Masihkah engkau ingat? Oleh itu, mahasiswa Islam masa kini mestilah bersikap lebih dinamik dan fleksibel (murunah) dalam menangani qathayah ini.

Akhirnya, mahasiswa Islam perlu proaktif dan terus berusaha menggarap segala ilmu yang tersemat dalam nota, dewan kuliah atau tutorial, perpustakaan dan sebagainya. Daya menterjemah secara praktikal lagi waqii’yah ini mengharap dapat diambil manfaat oleh masyarakat. Ayuhlah, kita pacakkan reformasi dalam sanubari ke arah ketuanan ummah sejagat.

“Daerah kita bukan daerah cinta, bukan masanya merajuk kasih memujuk, tiada senda gurau memanjang, kerana kita dalam berjuang…”

Muhammad Alif Ismail

Ilham lahir daripada Kertas Pembentangan di KEMUDI 2003

4 Jejaka ‘Plus’ Satu

Bismillah.

Salam ramadhan untuk semua. Alhamdulillah, dipanjangkan umur lagi untuk kekal berada di bulan yang mulia ini. Saya doakan semua sentiasa berasa berbeza di bulan yang mana Allah swt menjanjkan rahmat dan pengampunan kepada umat-Nya yang bertaqwa. Insha Allah.

Berkata Rasulullah saw dalam mafhum hadith baginda, apabila masuk bulan ramadhan terbuka pintu langit, tertutup pintu jahanam dan terikat syaitan-syaitan. Bulan ini, bulan bebas daripada kempen daripada syaitan. Hanya tinggal nafsu dan akal yang waras untuk berinteraksi dan beraksi. Sama ada baik atau tidak.

Sembang-sembang bersama 4 jejaka

Syukur, dapat juga bertemu dan bersembang bersama 4 jejaka ini. Padat dengan fikrah dan imaginasi yang membanggakan. Mampu bicara diluar kerangka bidang tujahan. Terima kasih saya ucapakan.

Ketika ini, soal pembelian dan perolehan ‘bahan binaan’ telah pun hampir selesai. Perancangan asal dan awal mampu berubah bila-bila masa berdasarkan kefahaman dan jalur didikan melalui persekitaran. Begitu juga dengan ketajaman dan sifat tekun membaca bahan-bahan bertulis. Nasihat saya, tingkatkan daya reformasi pemikiran anda (4 jejaka) dengan tidak melupai menjadi faqih dalam bidang yang sedang dihayati sekarang kerana masa hadapan memerlukan manusia yang bersifat hamba ini meminpin apatah lagi mencorak lakaran masa hadapan tersebut.

Cuba bayangkan, manusia yang memiliki kepakaran dalam makanan itu mampu menghurai dengan baik soal undang-undang. Silap-silap hari bulan itu cerah, mereka yang mempunyai daya pemahaman undang-undang ini juga mampu menguasai hal berkaitan makanan.

Tiada yang mustahil mereka ini, wahai 4 jejaka!

Renungkan bersama, insha Allah.

Ahlan Ya Ramadhan

Bismillah.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang beriman!  Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (2:183).

Ahlan Ya Ramadhan!

Hujan membasahi bumi. Sungguh damai sekali. Aturannya seperti diketahui. Memberi makna bahawa bulan Ramadhan ini membawa rahmat Allah SWT.

Inilah suasana dihari pertama sebelum melangkah ke rumah Allah SWT menunaikan ibadah.

Daripada Abi Hurairah RA berkata, berkata Rasulullah SAW: “Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu langit, tertutuplah pintu-pintu jahanam, dirantai syaitan-syaitan”.

Sesungguhnya, terlalu banyak peluang yang Allah SWT berikan kepada hambanya. Lagi-lagi di bulan yang mulia ini. Orang kata, bulan ini bulan tarbiyah. Tarbiyah nafsu mengenal Sang Pencipta dengan keadaan lapar dan dahaga.

Fikirlah cerita mengenai dialog si Nafsu dengan Allah SWT.

Semoga dengan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak kali ini (1430 H) akan membawa kita selangkah mengubah dan menginsafi diri.

Salam ramadhan untuk semua ummat.

Iqra’ dan Mongul

Bismillah.

Idea masih berlegar difikiran. Terkadang memeningkan melihat suasana persekitaran yang tidak menentu sifatnya. Berbekalkan apa yang ada dalam benak kefahaman, menapis segala unsur yang mengeruhkan akal fikiran dan sanubari.

Inilah dunia kita sekarang. Pelbagai variasi yang memenatkan.

Satu persatu ujian bertandang, tidak kurang hebatnya kemurkaan insan terhadap penciptanya. Terlupa, tidak sedar atau sengaja tidak mahu sedar. Nikmat kalau melanggar sesuatu ketetapan, kan?

Hari ini cabarannya kekal kental dan tegar mengusik pegangan kita. Tinggal lagi adakah kita kuat melawan aruh itu. Ye, benar, mengikut alur atau lentur yang sedia terbentuk, memang mudah seperti kata-kata anak muda sekarang. ‘kacang’!

Sebenarnya tidaklah se’kacang’ itu.

Yakinlah. Bekalan kita untuk esok hari, bukan untuk masa depan pun, haruslah tegar dan berbisa. Bisanya seperti bisa seekor ular.

Menginginkan sesuatu pembentukkan tamadun yang agung lagi berkuasa, mestilah dibina seawal mungkin nilai atau amalan Iqra’. Renungkan, bagaimana menjadi sesuatu perkara penting kepada bala tentera Mongul ketika  menyerang Baghdad dengan melenyapkan gedung ilmu yang dikenali hari ni perpustakaan.

Nah! Begitu penting sesuatu tamadun kepada makhluk yang malas dibaca ini, buku. Apatah lagi, kurang bernafsu menjadi gedung ilmu sebagai taman atau rumah.

Sangat menyedihkan.

Belum lagi kita memuhasabah bilangan naskhah bacaan yang kita sudah selesai. Tepuk dada, bilang dengan jari sendiri.

Sarananya, ayuh kita semarakkan amalan Iqra’ ni dan mencuba ‘hinggap’ walau sesaat ke gedung-gedung ilmu. Jangan kita salahkan tentera ‘Mongul’ moden bertandang mengulangi sejarah lama itu.

Iqra’…

Kami Merindui Ustaz Asri Ibrahim

Bismillah.

“Salam. Ustaz Asri Rabbani disahkan meninggal dunia kurang yang lalu… Moga rohnya dicucuri rahmat – Al-Fatihah”. Tepat jam 12.31 tengahari tadi mesej ni masuk ke dalam inbox telefon bimbit. Memang terkejut sangat. Mesej tentang vokalis kumpulan nasyid terkenal tanah air ini diterima daripada bekas Pengarah Konsert Malam Irama Seni Islam, C-Fest 6, USIM, saudara Faiz.

Serta-merta saya keluar daripada kelas tutorial bersama Doktor Mustaqim menelefon sahabat karib yang kenal rapat dengan Ustaz Asri, saudara Mahmud. Memang benar, Ustaz Asri telah kembali dan tidak akan kembali ke dunia ni lagi.

Ini kata-kata Allahyarham Ustaz Asri melalui laman blognya, ” Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…”.

Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung. Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ. Petikan penuh di laman http://saifulislam.com/?p=6515

Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui dan menyanyangi hamba-Nya. Moga dirimu ditempatkan bersama insan yang beroleh rahmat. Al-fatihah…