Tak Nak Malas Lagi

Malas.

Apa yang faham tentang malas ini? Sejenis penyakit. Sejenis perasaan atau tindakan. Mungkin sejenis perangai.

Malas memang hebat. Mana tidaknya, seolah-olah semua aktiviti harian menjadi terhenti buat seketika. Malas nak bergerak. Hanya statik.

Inilah dikatakan iman turun dan naik. Waktu sekarang, ianya turun. Turun dengan perlahan-lahan. Merbahaya!

Penulis boleh katakan malas ini datangnya daripada sikap yang suka menangguh kerja. Tangguh dalam banyak hal.

Tangguh membaca.

Tangguh membasuh.

Tangguh di dalam menyusun jadual untuk hari esok.

Hebatkan penangan malas ini. Bukan calang-calang. Dicelah kemalasan itu adanya suatu kekuatan. Ini pun terpulang kepada kita ‘re-act’ dengan ujian malas. Sikap sentiasa positif dan matang dalam menghadapi ujian sememang ‘buah keras’ untuk kita bangkit, bangun daripada lena kemalasan.

Motivasi wujud dimana-mana. Betul tak? Kita sahaja yang tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Macam penulis. Memang ada diuji malas itu. Tapi antara cara penulis mengurangkan sikap malas ini dengan menulis. Seperti menulis entri terbaharu ini.

Selain itu, penulis suka membuat perkara (walaupun ianya masih lama dan sama) seperti menyusun balik baju-baju di dalam almari, susun kasut di atas rak kasut (yang sebelum longgok di dalam kereta), mewarna nota-nota Sarjana penulis dan sebagainya.

Bagi penulis inilah gaya meningkatkan positif diri dikala kemalasan.

Sudah tentu Allah SWT dan kekasih-Nya menjadi tempat meluahkan rasa. Luah segala-gala. Kerdil, lemas dan lemahnya penulis sebagai hambanya. Hambanya yang sentiasa mendambakan pandangan Tuhan.

Doa itu sangat mujarab kesannya, air mata keikhlasan juga begitu. Apa nak malu? Allah SWT yang mendatang ujian untuk umatnya yang mengaku bertaqwa. Sudah pasti Tuhan menguji mereka.

Beruntunglah mereka yang diuji. Bangkit daripada kemalasan yang merupakan gangguan syaitan yang jelas musuh umat  Muhammad SAW.

Jadi, bangkitlah cepat-cepat. Anggaplah ujian malas itu sebagai teguran daripada-Nya untuk kita kenal diri yang kita ini lemah dan memerlukan pertolongannya.

Penulis selalu berdoa dengan doa seribu dinar. Moga ditunjukkan jalan keluar. Tapi ingatlah, syaratnya mesti bertaqwa.

Bangkitlah sama-sama daripada kemalasan yang sementara itu. Demi kejayaan yang abadi selamanya.

Tak nak malas lagi!

Wallahua’alam.

Pak Habib dan KCB

Bismillahirrahmanirrahim.

Separuh hari di SERUMPUN 2011, Melangitkan Karya & Membumikan Cinta.

Inilah rasanya kali pertama penulis mengikuti “bengkel penulisan”. Sangat memberangsangkan. Lagi-lagi dengan kehadiran penulis-penulis hebat di rantau asia ini.

Habibburrahman el-Shirazy, Helvy Tiana Rosa, Asma Nadia, Fatimah Syarha dan Syed Alawi Alatas.

Bukan senang untuk berjumpa dengan mereka. Manusia yang sentiasa membaca, berfikir dan menulis. SERUMPUN 2011 sememangnya menemukan empat mata dengan penulis-penulis “Best Seller” ini.

Pak Habib (Habibburrahman el-Shirazy) dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Semenjak Ayat-Ayat Cinta (AAC) menjadi fenomena baharu dunia cinta anak muda-mudi terutama di Malaysia. Masih ingat lagi penangan AAC ini, teman-teman penulis mulai mengimpikan calon orang rumah mereka seperti ‘Aisyah.

Tak kurang juga teman-teman penulis yang perempuan. Sangat meminati suami ‘Aisyah.

Pak Habib segera mengasak kami di dalam bengkel dengan beberapa falsafah “Dakwah bi-Hal” ini. Berdakwah di dalam filem. Tentunya kita tahu cerita-cerita Pak Habib yang difilemkan. KCB terutamanya. Boleh penulis katakan hebat dan berpengaruh KCB ini.

KCB dimulai dengan disiplin yang sangat kuat. Disiplin menterjemah kefahaman cinta Islami oleh Pak Habib ke dalam sebuah filem. Disiplin pelakon-pelakonnya. Disiplin mualamah pelakon-pelakon. Subhanallah.

Siap rujuk para alim ulama lagi tentang intipati filem-filem Islami Pak Habib. Penulis sarankan pengarah-pengarah industri filem Malaysia buat rujukan dengan para alim ulama di Malaysia. Mufti pun ramai. Penulis yakin, industri perfileman Malaysia akan menjadi medium mempromosi kehidupan yang lebih baik kepada anak muda-mudi Malaysia kembali kepada Islam.

Islam sebagai cara hidup (ad-din).

“Power” betul industri filem ini. KCB pernah diikuti 1.8 juta rakyat Indonesia. Bayangkanlah jika ia berlaku di Malaysia. Jika separuh bilangan rakyat Malaysia dibandingkan dengan jumlah yang menonton KCB tadi (2.9 juta rakyat Malaysia) bakal terkesan. Terkesan dengan keseluruhan KCB itu. Baik gaya hidup, gaya fesyen, semangat mengenal Islam, hidup dalam pandangan Islam dan sebagainya.

Bayangkan, belum tentu lagi jika penulis menjadi ustaz yang mengajar di masjid seluruh Malaysia dapat mempengaruhi 2.9 juta rakyat Malaysia. Maklumlah, kebanyakkan masjid seperti untuk orang lama dan pencen.

“Dakwah bi-Filem” ini satu usaha. Membuka jalan kepada mereka yang tegar dengan TV. Sinetron Bawang Putih dan Merah pernah mengigaukan rakyat Malaysia. Igauan ini luar biasa. Penulis bersetuju dengan Pak Habib (saranan dan pandangannya) bahawa Pak Habib dan teman-teman sepertinya memberi inisiatif yang positif kepada mereka yang sesat lama. Jahil lama. Keliru lama. Tak pernah kenal indahnya Islam itu.

Jadi, sebelah pihak lagi seperti Pak Ustaz meluruskan niat perubahan mereka mengenal Islam yang sebenar itu. Tolong-menolonglah dalam amal kebajikan.

Cukuplah disini. Penulis teruja dengan SERUMPUN 2011 ini.

Penulis berharap ia diterima amal soleh dan memberi inspirasi yang hebat dalam “cita-cita menulis” ini. Menulis bukan untuk hari ini, untuk hari esok.

“Satu Buku Sebelum Mati”, cabaran penceramah. “Bisa… (Insya Allah)”, sahut penulis dan teman-teman sebengkel.

Wallahua’lam.

Potential dot dot

2.42 pagi, 30/9/2011 – Post ini ditulis.

Kebanjiran manusia bernama siswa-siswi di kampus semakin meningkat. Terutamanya jantina bernama siswi; wanita. Nisbahnya kadang-kadang menyebabkan siswa menjadi “malu-malu kucing”. Bayangkanlah di dalam satu kuliah sahaja, boleh bilang dengan jari-jemari “Hang Tuah” dan adik-beradiknya; siswa. Sungguh ramai bilangan siswi ini. Apa yang penulis nak sembang dalam tulisan kali ini ialah berkaitan pasangan yang berpotensi. Penulis cuba untuk objektifkan makna potensi ini.

Di antara kebimbangan melangkah alam rumahtangga, ada di dalam ungkapan “indah khabar daripada rupa”. Saat di kampus dulu – selama 4 tahun – segalanya indah. Kadang-kadang pasangan itulah yang paling “hebat” dalam erti kata urus diri, pengajian dan sebagainya; seperti sempurna atau beres segalanya. Ada juga salah diri sendiri yang terpengaruh (mungkin juga dipengaruhi) dengan jalan-jalan cerita Islami dikaca sinetron; TV, yang nampak mudah untuk bahagia dan menyenangkan.

Niat penulis bukanlah nak menunding jari kepada pembaca semua; baik siswa, siswi atau pengisian jalan-jalan cerita Islami tadi, tetapi cuba untuk mengemukakan idea memilih atau mencari pasangan yang mempunyai POTENSI. Yes, berpotensi. Begini, memilih atau mencari pasangan hidup ini bukanlah perkara yang “petik jari” atau “kacang je”. Ia suatu perkara yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kerja kita mencari dengan saluran yang betul. Orang tengah sangatlah disarankan dalam urusan ini.

Andai kata sudah pun dikenalkan dengan “tulang rusuk” pembaca dan kebetulan ada beberapa “tulang rusuk” dijumpai; dengan kaedah orang tengah tadi, ambillah kira soal potensi ini. Maksud penulis ialah pasangan yang mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik; ada usaha untuk memperbaiki diri walaupun mempunyai kekurangan (yang amat sangat), “ketidakreti” dengan izin dan sebagainya. Contoh, pasangan pembaca memang masak tak sedap tetapi rajin (sangat-sangat) memasak; macam kerjaya. Pilihlah dia.

Penulis sengaja menulis hal ini; pasangan yang berpotensi. Mereka ini mempunyai daya usaha untuk sentiasa memperbaiki diri. Yes, sentiasa. Kadang-kadang manusia ini memang suka perkara yang cantik dan sempurna. Lupa soal potensi tadi. Apa salahnya beri mereka peluang untuk membuktikan potensi diri. Sekurang-kurangnya (selepas berkahwin nanti) kita juga berusaha untuk membantu mereka. Pembaca bayangkanlah, mereka yang sempurna dengan jalan senang, dikenali dan dikahwini akan mudah bosan dengan perkara yang dianggap mereka dah lali melakukannya. Terasa sempurna. Baik terasa belum sempurna. Ada juga potensi untuk jadi sempurna kelak.

Berusahalah mencari pasangan yang berpotensi. Penulis pun begitu.

Pergi Lebih Jauh – Nota Mukabuku

Terkebil-kebil.

Minggu pertama aku memulakan kelas sarjana di UIAM. Memang ‘cuak’. Stigma mengatakan kelas sarjana ini lebih ‘dahsyat’ sememangnya membuatkan semua deria aku berfungsi dengan caknanya. Kelas pertama, diam seribu bahasa. Ditanya untuk sesi taaruf pun dah kecut perut. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Aku mengambil semua ini dengan membina sikap yang positif. Hanya positif (dalam situasi ini) akan menolak aku untuk lebih berani. Memang tak tahulah kena datang universiti untuk jadi tahu. Lagi-lagi untuk cetusan sikap mahu.

Rakyat siswa

Pelajar baru memang ramai. Ramai yang pelbagai. Aku cuba untuk positif sekali lagi. Inilah tujuan manusia dijadikan antaranya berkenalan, ambil tahu dan bersosial. Dengan nama universiti agama – Islam – ini, biahnya terkawal walaupun kadang-kadang aku sendiri termenung panjang. Anak muda berpakaian dan bersosial, kalau dah melampau, semuanya nampak tak molek lagi. Tapi, apa kisah mereka. Asalkan ‘happy’ dan tak ganggu orang lain. Sikap aku dalam situasi ini lebih kepada kekurangan dan terlebih faham. Memang banyak kerja manusia yang faham (faham sepatutnya). Terus berusaha.

Minggu depan

Sarjana. Dua ganda usahanya. Berganda bacaannya, berganda tulisannya, berganda kerjanya dan berganda hasilnya, insha Allah. Minggu depan adalah minggu ‘gear’ ketiga atau keempat. Tiada lagi menagih ‘simpati’ pensyarah di dalam kelas seperti sarjana muda dulu. Kena banyak soalan (buat-buat soalan dah kira OK), banyak bersosial dan macam-macam lagi. Tugasan mestilah didahulukan, pencapaian diutamakan, cewahhh!

Fokus dan sabar

Fokus dan sabar sahaja yang dapatkan aku simpulkan untuk minggu pertama ini. Fokus dengan tanggungjawab dan sabar di dalam menunggu terbitnya hasil fokus tadi. Pastinya ada ujian, cabaran dan nikmat sepanjang iltizam untuk fokus dan sabar ini. Moga Allah SWT membenarkan niat dihati untuk pergi lebih jauh.

Amiin.

Wallahua’lam.