Mak Uda Nak Sebelah Atuk

Teringat Mak Uda.

“Along, Mak Uda kemalangan dan koma sekarang”, mesej Adik. Siapa tak terkejut. Terkedu. Macam-macam perasaan. Bersangka baik dengan Tuhan membuatkan diri kuat untuk berharap.

Inilah antara kisah kami. Kehilangan Mak Uda. Lagi-lagi setelah menjelang bulan ramadhan kali ini. Rasa kurang. Betullah, kehilangan itu membuat kita sentiasa rindu padanya.

Selepas membaca mesej tadi, aku terus menelefon anak sulong Mak Uda di Universiti Malaya, Syafiq. Syafiq pun tak tahu Ibunya kemalangan. Bertambahlah kejutan syafiq dan aku.

Apa yang terlintas, “dulu sahabat aku, si Pon (nama panggilan) juga kemalangan dan koma. Akhirnya beliau sedar”. Itulah harapan aku. Mungkin semua antara kami.

Aku terus menunggang motorsikal kesayangan ke Universiti Malaya (UM) mengambil Syafiq dan terus ke Hospital Selayang. Ye, aku juga antara anak buah Mak Uda yang pertama menyaksikan keadaan Mak Uda terlantar di katil bilik kecemasan.

Tiada suara Mak Uda. Tiada pergerakan. Hanya kaku. Aku perasaan air mata Mak Uda mengalir perlahan dipipi. Sangat sayu. Alhamdulillah, ketika itu ahli keluarga Pak Uda (suami Mak Uda) ada disisi. Juga kaku.

Aku tak dapat menahan sebak apabilan Syafiq mula menangis melihat Mak Uda.  Mak Uda memang baik sangat dengan anak-anak buahnya, lagi-lagi aku nak buah yang sulong.

Teringat (mungkin) kali terakhir berjumpa dengan Mak Uda di rumahnya, Taman Bidara, Selayang. Ketika itu sudah lewat malam. Aku ada jemputan program dalam area berdekatan Selayang. Sampai sahaja aku di rumah Mak Uda, Mak Uda sedang khusyuk memotong kain untuk dijahit.

Memang Mak Uda seorang tukang jahit. Jahitannya membuat kami sentiasa menempah dengannya baju raya.

Bayanglah perasaan kami di hari raya nanti. Tentunya disimbah air mata lagi.

Antara kata-kata Mak Uda bersama anak keduanya, Syafiqah, sebelum Mak Uda pergi buat selamanya, “Mak nanti dah tua nak tinggal di kampung (Kampung Berop, Tanjung Malim). Kalau takdir Mak meninggal nanti Mak nak sebelah Atuk”.

Ternyata benar pusara Mak Uda disebelah Atuk. Aku betul-betul tersentuh. Hari ini aku membayangkan Syafiq dan adik-adiknya begitu kuat menghadapi kehidupan tanpa kasih sayang seorang Ibu, Mak Uda.

Belum tentu aku mampu dan tabah seperti mereka.

Cuma, aku doakan Mak Uda akan sentiasa dirahmati dan ditempatkan bersama Ahl al-Jannah serta solihin, insha Allah. Kepada keluarga Mak Uda, tabahlah kalian kerana inilah antara kebesaran Tuhan yang Maha Mencipta.

Al-Fatihah.

Cuti Berniaga

Sepatutnya dah tidur sekarang. Tapi entah kenapa degil sangat nak lelapkan mata ni. Hari ni kebetulan Mak Ayah ambil cuti untuk berniaga. Kami semua rehat seharian. Cukup melegakan. Sekurang-kurangnya Mak Ayah boleh rehat lama sikit dan aku ambil peluang untuk ‘settle’ hal-hal peribadi.

Masuk duit adik di bank, buang sampah, beli ikan dengan Mak dan macam-macam lagi. Tak adalah cuti sangat! Masih ada kerja ‘dalam rumah’.

Hari ni juga aku tak berpeluang untuk lelapkan mata diwaktu siang. Memang patut dah tidur waktu menulis ‘post’ ni. Tapi, nak juga tulis sesuatu.

Teringat kulian Ustaz, untuk jadi ‘alim ni bukan semata-mata kena banyakkan membaca, menulis pun perlu. Ni teknik yang al-Quran ajar. Dulu Allah ajar Nabi Muhammad SAW begitu dengan wahyu melalui Jibril ‘alaihi salam.

Begitu juga buat manusia, macam aku ni terutamanya. Menulis proses mengingat dan mengasah gaya berfikir serta gaya menyentuh. Ingin memperbaiki dengan ‘sentiasa’ melakukan kesalahan untuk membina.

Oh ye, bulan ramadhan dan cuti berniaga perkongsian kali ni. Dr. Zulkifli memesan kami di dalam tazkirah beliau di Masjid Slim River baru-baru (kebetulan baru habis berniaga dan singgah di masjid tersebut), antara perkara perlu (patut) kita lakukan di bulan mulia ini ialah mempelajari ilmu.

Tiba-tiba aku teringat zaman di kampus. Musim puasa di bilik-bilik kuliah dan tutorial. Sangat beruntung mereka. Allah memberi ganjaran yang sangat banyak bagi mereka yang benar-benar mahu dan ihklas menuntu ilmu di ramadhan ni.

Apalah kisah sangat keletihan dalam menuntut ilmu. Lagi-lagi di bulan adanya Lail al-Qadr. Kalian mesti mengetahuinya. Baru rasa ‘izzah di bulan yang banyak berlaku peristiwa besar Islam seperti peperangan, pembukaan dan sebagainya.

Ramadhan sebagai miftah kepada kalian untuk sukses lagi dan lagi!

Itu kasih sayang Tuhan buat hamba-Nya. Rebutlah!

Cukuplah. Masa untuk latih mencari Lail al-Qadr. Bukan senang dan bukan juga susah. Niat betul-betul ingin bertemu ia pasti bertemu dengan izin-Nya nanti. Usaha pasti berterusan.

Ingatlah. Terutama buat kalian yang ‘faham’. Jadikanlah ramadhan ni bulan munasabah dan mencipta rekod ‘Badar’ atau ‘Fath Makkah’ dalam episod perjuangan di zaman kampus atau lapangan nanti.

Ia bakal mengukir senyuman buat kalian. Aku sudah tersenyum!