‘Mood’ Peperiksaan: Salam Imtihan

Salam Imtihan Untuk Semua!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamua’laikum wbt.

Hmm… Dah 2 hari saya beruzlah di perpustakaan. Ternyata selesa dan kekal bersemangat. Peperiksaan akhir semakin menjelma. Siapa tak bimbang dengan peperiksaan. Lagi-lagi saya yang buat kali terakhir menduduki peperiksaan akhir di universiti. Perasaan berbaur macam-macam.

Sewaktu menulis post ini, saya masih lagi ditingkat 2 perpustakaan. Ramai kawan-kawan seuniversiti khusyuk mentelaah pelajaran masing-masing. Entah kenapa dalam waktu yang begitu terhad sebegini saya masih lagi mencuri masa untuk menulis sesuatu di dalam blog yang dah lama tak dikunjung.

Malas sangat nak update, saya usaha untuk mencari tulisan-tulisan menarik untuk ditampal (copy & paste).

Perasaan. Tiba juga waktunya berada ditahun akhir. Macam igauan. Hakikatnya mimpi yang bakal indah. Cuma, jalan cerita ditahun akhir kali ini (tidak seperti di KUSZA dahulu) lebih memeritkan. Masa, tenaga dan nafas terasa seperti tidak cukup. Hmm… Mengeluh dalam menyantui sirah kampus saya di Bandar Baru Nilai ini.

Tetapkan halatuju yang jelas dan bersemangat menempuhinya! Inilah yang sentiasa saya fikirkan diwaktu tambahan ini. 19 april dah mula peperiksaan pertama, IST (subjek Encik Ilias). Moga Allah SWT mempermudahkan segalanya, untuk saya dan anda semua, amin.

3 perkara yang menjadi pedoman dan peringatan untuk saya terus berusaha. FYP (final year project), Tahqiq al-Makhtutat (Manuskrip) dan ulangkaji subjek-subjek untuk peperiksaan terakhir. Huh… Memang penatkan?

Moga Allah SWT memelihara hati, perasaan dan emosi untuk sentiasa berharap pada-Nya.

Oh… Ye. Cerita di dalam perpustakaan. Inilah yang saya monologkan setiap hadir ke perpustakaan dimusim peperiksaan kali ini. Saya bimbang. Saya keliru. Saya rasa kasihan. Moga Allah SWT membenarkan niat baik kita semua.

Ingatlah! Tiada kompromi dalam menuju redha Allah SWT. Apatah lagi kejayaan yang kita idami selama ini. Jagalah batasan dalam mengadakan perbincangan. Apa yang kita ingin memiliki adalah kejayaan yang diberkati. Diberkati. Diberkati.

Kita qudwah kepada mereka diluar dan kita juga memahami agama-Nya, Islam sebagi ad-Din.

Cukuplah perkongsian singkat ini.

Sekadar berkongsi rasa hati untuk menuju kebaikan Ilahi. Apa-apa pun, mari KITA sama-sama menuju kejayaan yang akan dihadiahkan kepada Ibubapa tercinta dikampung sana dan hadiah untuk membuktikan bahawa Muslim itu sentiasa HEBAT.

Muslim terus HEBAT!

Salam imtihan, biltaufiq wa an-najah, amiin.

Mahasiswa Tahun Akhir SPM Hebat!

Dari kiri: Ihsan, Ashraf, Khair, Dr. Adel, Alif, Hafizuddin & Zuhaili

Bismillahirrahmanirrahim thuma alhamdulillah.

Assalamua’laikum wbt.

Julung-julung kalinya mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat dengan kerjasama Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Dan Pelancaran Laman Web e-Manuskrip pada 7 April 2010, Rabu yang lalu. Majlis ini telah berlangsung dengan meriahnya di Dewan Kuliah Utama, FPQS jam 8.00 malam dan dirasmikan oleh Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM. Kehadiran penonton melibatkan kesemua mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat daripada semester pertama hingga empat.

Manuskrip merupakan khazanah hebat dan agung di dalam dunia Islam. Kebanyakkan usia dokumen bertulis seperti manuskrip ini melebihi 100 tahun lamanya. Ia menjadi sumber dan bahan rujukan utama kepada tulisan-tulisan baharu dizaman moden hari ini. Di alam melayu, manuskrip merupakan bahan tinggalan bersejarah yang mana membantu generasi hari ini memahami gaya hidup dan nilai kebudayaan yang wujud seantero dunia sebelum ini. Begitu juga manuskrip yang wujud di alam dunia Islam yang mana kebanyakkan tulisan-tulisan tokoh agung Islam menulis didalamnya.

Melihat kepada hakikat kepada keistimewaan dan kepentingan manuskrip ini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat menyahut cabaran dan saranan Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM supaya mahasiswa Islam ‘bergerak mengikut masanya’, iaitu membuktikan kepada dunia hari ini bahawa mahasiswa Islam juga tidak ketinggalan dengan arus perkembangan dunia teknologi dan maklumat. Mahasiswa Islam mampu mengembangluaskan pengetahuan ilmu-ilmu lama ini menerusi capaian atas talian (Online) kepada warga USIM khususnya dan masyarakat umumnya.

Pembangunan laman web ini merupakan projek ilmiah bagi dua orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat. Ia juga membantu pihak fakulti dan universiti dalam membuktikan kebolehpasaran seseorang mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.

“Pembangunan web atau sistem e-Manuskrip ini, kami telah cuba mengaplikasikan beberapa perisian dan perkakasan seperti Pengaturcaraan PHP, HTML, MySQL, Dreamwever 8, Swish Max dan lain-lain”, tambah Mohamad Ihsan Mohamad Arif yang merupakan salah seorang mahasiswa yang terlibat didalam pembangunan web tersebut.

Antara tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk memperkenalkan laman web e-Manuskrip yang pertama dan dibina sendiri oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat, USIM. Selain itu, ia juga bertujuan mengumpul, menyimpan dan berkongsi khazanah manuskrip di Malaysia sama ada manuskrip Melayu atau Arab. Secara tidak langsung ia menghargai hasil kerja pengemaskinian manuskrip melayu dan Islam selama satu semester oleh mahasiswa yang mengambil kursus Manuskrip Melayu Dan Islam: Kajian Dan Analisis.

Difahamkan bahawa penawaran kursus seperti ini di Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah merupakan langkah berani dan perintis serta citra baharu kepada fakulti khususnya dan USIM amnya kerana tidak banyak dimana-mana institusi pengajian tinggi menawarkan kursus seperti ini. Tambahan, ia diperkenalkan dengan lebih awal kepada mahasiswa Islam diperingkat ijazah sarjana muda.

“Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah merupakan roh kepada USIM itu sendiri. Ia kerana Al-Quran dan As-Sunnah menjadi pedoman kita bersama dalam mengorak langkah kejayaan demi kejayaan di universiti ini. Saya berpandangan pihak fakulti telah mengambil langkah berani dengan penawaran kursus seperti ini dan mahasiswa itu sendiri merupakan perintis dan pelopor kerana mempelajari ilmu ini sehingga berjaya membina laman web e-Manuskrip. Mahasiswa harus berbangga.”, kata Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM.

“Ia juga membantu kita merealisasikan agenda Islam dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat yang terkini. Apatah lagi, ilmu-ilmu lama ini diterjemah atau disalur melalui laman web sepeti e-manuskrip ini”, tambahan beliau ketika ucapan perasmian didalam majlis ini.

Muhammad Alif Bin Ismail, salah seorang daripada 51 orang mahasiswa tahun akhir yang mengambil kursus Manuskrip Islam Dan Melayu: Kajian Dan Analisis berkata, ini merupakan pengalaman dan pengetahuan baharu dalam mendalami keluasan dan kekayaan ilmu manuskrip ini secara praktikal.

“Agak sukar mendalami dan mempelajari ilmu manuskrip ini. Hari ini baharu saya dan kawan-kawan sedar bahawa ilmu manuskrip ini sangat luas untuk dikaji dan ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan kemahiran yang baik. Jika tidak mungkin kita akan mudah putus asa mempelajarinya”, tambah beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Perasmian Dan Pelancaran Laman Web e-Manuskrip.

Majlis ini telah diserikan dengan persembahan gimik lakonan mahasiswa-mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat sebagai simbolik kepada perasmian dan pelancaran laman web ini serta diakhiri dengan penyampaian cenderamata ‘sebuah pelita’ kepada perasmi.