Diari MPP: Resolusi Sidang Pleno 2009

RESOLUSI 10

SIDANG PLENO

SEMPENA KARNIVAL MAHASISWA 2009 

TEMA:

10 TAHUN USIM : HARAPAN BARU MAHASISWA

MUQADDIMAH

Dengan limpah rahmat petunjuk Allah Yang Maha Esa, Sidang Pleno yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia pada 15 Syawal 1430H bersamaan 4 Oktober 2009 (Ahad) telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumus beberapa usul yang dibentangkan oleh setiap kumpulan perwakilan daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan-Badan Mahasiswa USIM. Pembentangan usul tersebut mencakupi enam aspek dasar berkaitan hal ehwal kemahasiswaan, iaitu akademik, kerohanian, kebudayaan, etika dan sahsiah diri, kepimpinan dan kesukanan.

Sidang telah mencapai kesepakatan dan menyedari bahawa menjadi suatu keperluan bagi mahasiswa USIM untuk memberi penegasan terhadap dasar-dasar tersebut atas rasional peranan pimpinan mahasiswa dalam membantu pihak pentadbiran universiti dalam mengurus selia mahasiwa ke tahap yang lebih baik, selaras dengan misi 10 tahun USIM.

Berdasarkan tujuh cadangan gubal hala tuju mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dikemukakan oleh YB Datuk Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM)  jelas menunjukkan peranan mahasiswa sebagai sebahagian daripada keutamaan HEP untuk memperkasakan pembangunan secara bersama dalam hal ehwal mahasiswa.

Sidang juga bersepakat dan sedar bahawa penafsiran pemimpin mahasiswa itu harus dilihat dalam konteks yang realistik dan lebih meluas. Sidang berpandangan bahawa suara mahasiswa itu harus didengar serta menjadi keutamaan bagi pihak yang terbabit untuk mengambi perhatian serius terhadap setiap harapan dan tuntutan yang dikemukakan.

Berasaskan hakikat tersebut, ahli-ahli sidang dengan penuh kesedaran keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:-

Logo Karnival Mahasiswa (KARSIS)

RESOLUSI 1

PENDIRIAN USIM TERHADAP PINDAAN AUKU (2009) DAN PENGAPLIKASIAN TERHADAP WARGA USIM SECARA KOLEKTIF

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atau AUKU telah dipinda (AUKU 2009) dan mendapat reaksi yang pelbagai khususnya daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi (Awam dan Swasta) serta mahasiswa secara keseluruhannya. Namun, disebalik ‘semangat dan kesedaran’ pindaan ini, mahasiswa USIM khususnya masih lagi teragak-agak atau kabur memahami pendirian pihak pengurusan universiti dalam pengaplikasian secara kolektif terhadap pindaan AUKU 2009 ini di USIM.

Antara ‘semangat dan kesedaran’ terhadap usaha meminda AUKU ini adalah mewujudkan sistem urus tadbir universiti yang tersusun sebagai asas pembangunan pendidikan negara dan menafikan kelesuan, tidak kreatif dan kritis ahli akademik dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi serta sikap tidak peduli terhadap perkembangan sekeliling sebagai angota masyarakat sivil.

Justeru, atas ‘semangat dan kesedaran’ pindaan AUKU ini, sidang menyatakan hasrat seperti berikut:-

1- Budi bicara pihak pengurusan universiti dalam menakrifkan penglibatan (ahli akademik, kakitangan dan mahasiswa) aktif atau tidak aktif warga USIM dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO).

2- Menyatakan garis panduan terhadap penglibatan jemputan luar (tokoh akademik, ahli politik dan lain-lain yang bersesuaian) dalam penganjuran aktiviti terutamanya penganjuran daripada Badan Mahasiswa yang berdaftar di USIM.

3- Pandangan pihak pengurusan universiti terhadap penerapan istilah Political Education atau Knowledge Politics dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang bersifat matang dan tidak taksub semata-mata terhadap mana-mana parti politik.

RESOLUSI 2

KAJIAN SEMULA TERHADAP KEBERKESANAN DAN PEMAHAMAN SISTEM PENGURUSAN DI USIM

Pemahaman secara menyeluruh terhadap pelaksanaan sistem pengurusan  dan pentadbiran di sesebuah universiti serta keberkesanannya perlulah diambil perhatian serius. Melalui pemahaman dan perhatian serius ini mampu melahirkan budaya toleransi dan suasana harmoni diantara warga universiti. USIM merupakan antara universiti yang mementingkan soal pelaksanaan yang bersistematik dan berteknolgi selaras dengan falsafahnya dalam memastikan universiti yang beridentitikan Islam ini mendahului zaman.

Namun, terkadang berlaku kelemahan yang sengaja atau tidak sengaja terhadap ketetapan sistem pengurusan dan pentadbiran yang diaplikasikan kepada seluruh terutama warga mahasiswa. Mahasiswa selaku ‘pelanggan utama’ di universiti haruslah bertindak bebas dan menjadi pengimbang terhadap ketetapan tersebut. Ini bertujuan hanya semata-mata ingin melihat USIM sentiasa terbuka menerima pandangan dan kritikan membina dalam memastikan penubuhan USIM berbeza dengan universiti-universiti yang lain.

Justeru, atas hasrat ingin sama-sama memahami ‘proses pembesaran dan kematangan’ USIM melalui ketetapan tersebut, sidang menyatakan seperti berikut:-

1- Pengaplikasian dan keberkesanan E-Nilai terhadap mutu dan kualiti proses pembelajaran dan pendidikan pelajar di USIM. Sidang berpendapat penyediaan soalan-soalan E-Nilai tersebut terlalu kompleks sehinggakan mahasiswa acuh tidak acuh membuat penilaian tersebut.

2- Penambaikkan tahap dan kawalan keselamatan di penempatan kolej-kolej kediaman. Rentetan beberapa kes yang dianggap serius yang melibatkan keselamatan mahasiswa di kolej-kolej kediaman sehingga melibatkan kerugian besar.

RESOLUSI 3

PENILAIAN DAN PENAMBAHBAIKKAN SISTEM PENGURUSAN AKADEMIK YANG SEDIA ADA

Pencapaian cemerlang dalam akademik merupakan sejarah dan mimpi indah bagi seseorang mahasiswa di universiti. Kaedah pelaksanaan sistem akademik juga merupakan wadah dalam mencapai kecemerlangan tersebut. Wawasan USIM telah menggariskan ilmu dan insan merupakan pewaris dalam memartabatkan kecemerlangan sejajar dengan konsep berilmu, berdisiplin dan bertaqwa dikalangan warganya.

Namun, aspek kemahiran insaniah juga dituntut dalam memperkasa institusi kemahasiswaan di universiti seperti memimpin penganjuran aktiviti, keadilan dalam pembahagian masa, duta kecil kepada universiti dan sebagainya. Terkadang sengaja atau tidak sengaja dilupakan soal ruang dan keseimbangan yang terlalu terhad menyebabkan mahasiswa ‘tiada rasa’ untuk mengasah nilai insaniah tersebut seperti penyediaan dan penyusunan jadual kuliah dan tutorial yang tidak seimbang.

Justeru, sidang merasakan beberapa elemen dalam pengurusan akademik di USIM haruslah ditimbang kembali supaya pemberatnya benar-benar seimbang dalam merealisasikan ‘mahasiswa cerminan masyarakat’ adalah seperti berikut:-

1- Mewujudkan sistem semester pendek semasa cuti semester kepada pelajar yang menangguh atau menambah subjek.

2- Penilaian semula keberkesanan pelaksanaan Language Support Programme (LSP).

3- Pelaksanaan dan pemerkasaan sistem pemberian jam kredit kepada pelajar yang aktif.

4- Penyelarasan jumlah jam kredit mengikut buku panduan akademik dan membaikpulih tanggapan terhadap pengurusan fakulti (kes ketinggalan subjek disemester akhir setelah dibuat penilai bersama).

5- Mengadakan perbincangan/tazkirah 10 minit berkaitan hal semasa sebelum kuliah bermula sebagai silibus wajib di USIM. Ini bertujuan memberi rangsangan kepada mahasiswa cakna hal ehwal luar kampus selain akademik.

6- Mempertimbangan secara kolektif pengulangan pengambilan subjek yang sama (bekas mahasiswa Diploma) dan pengurangan jam kredit/semester.

RESOLUSI 4

PEMERKASAAN SISTEM PENGURUSAN KEWANGAN YANG MELIBATKAN PERBELANJAAN PELAJAR

Isu kewangan sering mendapat tempat dikalangan mahasiswa terutamanya mengenai aliran agihan pinjaman kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya. Umumnya, pendekatan PTPTN dalam agihan kewangan secara terus kepada akaun mahasiswa telah membuka jalan baharu kepada isu kewangan tersebut dan meredakan pandangan negarif mahasiswa terhadap Jabatan Bendahari USIM secara khususnya.

Namun, beberapa cadangan penambahbaikkan telah cuba difikirkan secara bersama melalui Sidang Pleno ini. Ianya melibatkan perancangan awal kewangan mahasiswa mengenai penyata kewangan yuran pengajian.

Justeru, sidang mencadangkan kepada pihak pengurusan universiti terutamanya Jabatan Bendahari dalam mempertimbangkan idea seperti berikut:-

1- Menyediakan butiran atau penyata yuran pengajian di hujung semester semasa sebelum kemasukan semester baharu dengan bertujuan mahasiswa dapat menilai dan merancang kewangan dengan lebih sejajar dengan pendekatan PTPTN mengagihkan wang pinjaman secara terus tersebut.

2- Sentiasa mengambil berat soal mengemaskini penyata kewangan mahasiswa supaya masalah salah faham dan tidakkepercayaan terhadap sistem kewangan di Jabatan Bendahari tidak berulang lagi.

RESOLUSI 5

USIM SEBAGAI QUDWAH KEPADA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DALAM KEBUDAYAAN DAN KESENIAN ISLAM YANG SEBENAR

Kebudayaan dan kesenian hari ini agak sukar diberi istilah terbaik dalam konteks kefahaman yang selari dengan tuntutan Islam. Komentar dan pandangan masyarakat kampus terkadang dilihat enteng dan sepi. Timbul kebimbingan dikalangan mahasiswa yang dilabelkan sebagai pemegang ilmu samawi di universiti Islam terhadap kaedah suntikan kefahaman kebudayaan dan kesenian ini.

Doktrin kecelaruan kefahaman atau kekeliruan yang kemungkinan kita tidak sedar mengenai kebudayaan dan kesenian ini semakin menebal sehinggakan sukar bagi sesetengah pihak yang terpanggil untuk memperbetulkan keadaan tersebut. Tiada masalah dan persoalan sekiranya penganjuran aktiviti kebudayaan dan kesenian ini benar-benar mengikut ketetapan yang disepakati. Persoalan utama mahasiswa adalah berkaitan keseriusan memahami dan menginsafi adab pergaulan, pemakaian dan sebagainya.

Justeru, pihak pengurusan universiti mahupun pihak penganjur haruslah meneliti keseriusan kebimbangan mahasiswa dan sidang berpandangan seperti berikut:-

1- Menuntut keseriusan pihak universiti dan penganjur dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan terutama keluaran pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

2- Meningkatkan penerapan nilai-nilai yang Islamik serta menonjolkan USIM sebagai qudwah dalam kebudayaan dan kesenian.

RESOLUSI 6

PENUBUHAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN MAHASISWA USIM (JPMU) SEBAGAI MEDIUM PENGIMBANG SUMBANGAN MAHASISWA

Kepimpinan mahasiswa sejak bermulanya alam kampus berkemampuan bertindak sebagai agen perubah dan pemain utama dalam kancah kehidupan bermasyarakat. Keterbukaan USIM juga dihargai oleh keseluruhan mahasiswa terutama kepercayaan yang diberi dalam penganjuran aktiviti berskala mega dan besar.

Dengan noktah bidayah ini, kami menginsafi bahawa peranan mahasiswa adalah lebih besar daripada penganjuran itu dengan mengambil kira soal pembangunan dan sumbangan institusi kemahasiswaan terhadap sesebuah universiti. Mahasiswa sentiasa bersedia untuk bertindak sebagai medium atau duta kecil dalam melukis sejarah baharu kepada universiti.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat kepimpinan mahasiswa lagi berjiwa besar ini, sidang bersetuju seperti berikut:-

1- Penubuhan Jawatankuasa Perundingan Mahasiswa USIM atau dikenali sebagai JPMU. Yang mana peranan utama JPMU adalah penilai bebas dan bertanggungjawab terhadap dasar-dasar universiti yang berkait rapat dengan mahasiswa selain memastikan kecemerlangan dalam pengurusan badan-badan mahasiswa yang diamanahkan.

2- Sidang juga bersetuju untuk merakyatkan JPMU dengan membuka keahlian kepada pelajar yang tidak berada dalam kepimpinan badan mahasiswa bagi meraikan idea, pandangan dan kritikan dari pihak mereka. Sidang juga dengan penuh tanggungjawab ingin menjadikan JPMU sebagai badan yang akan membuktikan kebersamaan yang padu di kalangan mahasiswa USIM dalam setiap perancangan dan tindakan.

RESOLUSI 7

PEMERKASAAN ETIKA PEMAKAIAN DAN SAHSIAH DIRI TANPA MENGIRA JANTINA

USIM telah menggariskan cara pemakaian mahasiswa ketika berada di dalam kampus terutamanya ketikan menghadiri kuliah dan tutorial. Peraturan ini semakin dipandang sepi oleh sesetengah pihak sehinggakan keterbukaan dalam memahami pemakaian yang Islamik dan sopan ini semakin keliru. Mahasiswa sentiasa yakin dengan hikmah dan intipati disebalik kod etika pemakaian tersebut.

Namun, segelintir mahasiswa mula meragui keseriusan tidak menentu dalam ketegasan mematuhi kod etika ini. Seolah-olah kegagalan mematuhi kod etika yang mempunyai ruang budi bicara insaniah adalah lebih berat berbanding kegagalan menyantui kod etika Ilahi seperti mahasiswi yang tidak memakai stokin adalah lebih bersalah berbanding mahasiswa yang tidak memakai tali leher. Pemakaian yang ‘membalut’ adalah lebih daripada sesuai berbanding pemakaian yang ‘tidak membalut’. Sesungguhnya, fenomana seperti ini amat membimbangkan mahasiswa sebagai cerminan masa depan orang muda di luar sana. Bukan hanya kehidupan alam kampus menjadi idaman mahasiswa begitu juga biah solehah.

Sehubungan itu, sidang menuntut pemerkasaan secara bersama seperti berikut:-

1- Pihak pengurusan universiti yang bertanggungjawab haruslah sentiasa meletakkan penegasan terhadap penguatkuasaan kod etika pemakaian dan keterampilan mahasiswa secara menyeluruh tanpa mengira jantina.

RESOLUSI 8

MEMANTAPKAN KEGIATAN KEROHANIAN DALAM MENDEPANI MASALAH SOSIAL YANG MERUNCING

Umum mengetahui bahawa kepentingan aspek kerohanian dalam membina keperibadian unggul dalam diri mahasiswa. Ini sejajar dengan visi dan misi USIM yang bertekad menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat dan Islam.

Memandang masalah sosial dalam kalangan mahasiswa USIM menjadi semakin tidak terkawal. Langkah proaktif yang kami ambil adalah dengan membawa satu cadangan sebagai solusi kepada segala permasalahan sosial dan moral yang berlaku. Solusi adalah seperti berikut:-

1- Penubuhan Jawatankuasa Khas Kerohanian Mahasiswa USIM

Relevannya penubuhan jawatankuasa ini adalah sebagai medium dakwah yang utama di USIM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil mahasiswa dari semua badan mahasiswa yang berdaftar. Antara peranan yang lain jawatankuasa ini adalah seperti berikut:-

a)    Memantau dan mencegah kes-kes maksiat dan kesalahan moral yang berlaku sama ada di dalam kampus, atau di dalam dan di luar kolej kediaman.

b)    Menyebarkan syiar Islam dan risalah dakwah kepada seluruh warga USIM.

c)    Membantu pihak Pengurusan Tatatertib Pelajar dalam menangani masalah sosial dan moral.

Pihak sidang amat yakin sekiranya jawatankuasa ini berjaya ditubuhkan, masalah-masalah sosial dan moral dapat diatasi secara total dengan bantuan pihak Pengurusan Tatatertib Pelajar. Dengan kewujudan jawatankuasa ini juga, akan menjadikan USIM sebagai sebuah universiti yang disegani dalam melahirkan mahasiswa yang berkeperibadian unggul dan serius terhadap maksiat dan masalah moral.

RESOLUSI 9

PENGGALAKAN PENGLIBATAN WARGA KAMPUS DALAM AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI

Perlu disedari bahawa aktiviti ko-kurikulum bukan sahaja penting dalam melahirkan mahasiswa yang sihat malah dapat mengasah daya kepimpinan mahasiswa. Tidak dinafikan juga peranan aspek kesukanan dalam membentuk perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

Ironinya, aspek kesukanan di USIM menjadi satu perkara yang dipandang enteng sehingga menyebabkan mahasiswa lesu dan kurang bermaya. Antara masalah-masalah yang dihadapi dalam menjayakan aktiviti tesebut ialah:

1- Kualiti penganjuran Program Kesukanan dan Rekreasi tidak mencapai tahap yang memuaskan. Natijahnya, penganjuran tersebut tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada mahasiswa.

2- Kurang penghayatan budaya mahasiswa cergas, aktif dan cerdas dalam kalangan warga USIM.

Justeru, cadangan yang disepakati oleh sidang untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah ini adalah seperti berikut:-

1- Penegasan terhadap penglibatan mahasiswa dalam aktiviti sukan dan rekreasi yang dianjurkan serta penyelarasan dalam kerjasama antara Pusat Sukan dan Rekreasi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, fakulti-fakulti dan kolej-kolej kediaman.

RESOLUSI 10

AGENDA BERTINDAK DAN PEMURNIAN RESOLUSI MELALUI SIDANG PLENO

Kami ahli persidangan bersepakat bahawa Sidang Pleno ini adalah satu platform yang baik untuk percambahan pemikiran dan menyalurkan idea bernas dalam membantu memperkasakan agenda universiti. Harapan kami agar Sidang Pleno ini diteruskan dengan beberapa saranan berikut:-

1- Penubuhan sekretariat tetap Sidang Pleno yang akan mengkaji perlaksanaan resolusi-resolusi yang telah disepakati.

2- Idea-idea yang penting dalam persidangan ini hendaklah disebarkan ke seluruh peringkat kampus bahkan dikembangkan ke seluruh negara menerusi laman sesawang rasmi Universiti Sains Islam Malaysia.

3- Saranan atas semua resolusi tersebut dibentangkan atau diserahmaklumkan dihadapan Pihak Tertinggi Pengurusan USIM melalui pertemua rasmi.

4- Tuntutan jawapan bertulis terhadap resolusi sebagai makluman dan edaran  yang telah dipersetujui keseluruhan badan mahasiswa berdaftar dan Majlis Perwakilan Pelajar.

ANGGOTA PERSIDANGAN PLENO

1- Majlis Perwakilan Pelajar.

2- Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Kolej-Kolej Kediaman.

3- Persatuan-Persatuan, Kelab-Kelab, Urusetia-Urusetia Mahasiswa USIM.

PENUTUP

Akhir kalam, terima kasih diucapkan kepada Pihak Pengurusan USIM terutamanya Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin selaku Naib Canselor USIM atas keprihatian dalam pembangunan dan sumbangan institusi kemahasiswaan di USIM ini. Semoga dengan buah fikiran dan usaha dikalangan mahasiswa ini diambil perhatian bersama dan segera mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak berkaitan. Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD ALIF BIN ISMAIL

Yang Dipertua MPP USIM

Merangkap Pengerusi Sidang Pleno Sempena Karnival Mahasiswa 2009

One thought on “Diari MPP: Resolusi Sidang Pleno 2009

  1. Salam, ustad.. ana bersetuju n mnyokong 110% resolusi sidang pleno yg tkh diadakn ni.. tp ana ad satu persoalan… stakat ni, sjauh mana perlaksanaan resolusi yg tlh dibuat, cth nya mcm JPMU, Jwtn khas kerohanian, kod2 etika pmakaian…? Bilakah akn dilaksanakn atau sudah ada??

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s