‘Al-Fateh’ di USIM

Kenangan bersama Ustaz Syaari

Bismillah.

Ucapan pertama yang saya ingin ungkapkan dalam tulisan kali ini adalah syabas, tahniah dan terima kasih kepada sahabat saya, Saudara Afiq dan Saudari Aida kerana berjaya memperkenalkan ‘Muhammad Murad’ kepada warga kampus, USIM.

Anda yang membaca tulisan ini dan menghadiri ceramah Saudara Syaari tentunya memahami apa yang saya maksudkan. Alhamdulillah, usaha dan tawakal warga kerja (muslimin dan muslimat) memastikan kejayaan ceramah ternyata berhasil.

Saya mula mengenali cerita ‘Muhammad Murad’ ini melalui sebuah novel. Novel Islamik yang menceritakan mengenai seorang lelaki muda, belasan tahun umurnya, hebat pencapaian SQ, EQ dan IQ dalam memimpin sekumpulan tentera yang sebaik-baik tentera yang ada.

Anda mungkin kagum dengan anak muda ini. Saya juga mengakuinya.

‘Kita nak faham sejarah kena banyak guna otak kanan, banyak lihat gambar, video dan sebagai’. Nasihat Saudara Syaari dalam permulaan ceramahnya. Permulaan yang membuatkan saya mengesan dimana otak kanan berada.

Ingin saya menukilkan serba sedikit kefahaman selama hampir 3 jam berkaitan Muhammad Murad atau dikenali Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah dibedah siasat oleh sahabat lama saya, Saudara Syaari ini.

Mari kenal dahulu siapa Muhammad Bin Abdullah. Tentunya kita kenal, kekasih Allah SWT, Rasulullah SAW. Nabi SAW juga manusia biasa tetapi baginda sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, diawasi oleh malaikat dan dikurniakan mu’jizat.

Kenapa buat kerja susah? Menggantikan Saidina Ali RA ditempat Rasulullah SAW ketika ingin keluar berhijrah bersama Saidina Abu Bakar RA. Kenapa tidak menggunakan kelebihan yang Allah SWT berikan?

Jalan susah atau strategik Nabi Muhammad SAW? Kefahaman saya melalui persoalan ini adalah saya bersetuju ia merupakan kebijaksanaan dan strategik Nabi Muhammad SAW dalam membawa risalah Islam dimuka bumi ini ketika itu Makkah Mukarramah dan Madinah Munawwarah.

Benar tarbiyah itu lumrahnya susah. Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata, ‘sesungguhnya nilai Islam ini berkurang sedikit demi sedikit, apabila tinggal dalam Islam ini orang yang tidak pernah mengalami pengalaman jahiliyyah’ (Mohd Dzul Khairi Mohd Noor. 2009. 50 Kata-Kata Tokoh Berpengaruh Dan Cerita Di Sebaliknya). Penting mempelajari daripada kesalahan. Manfaatkanlah kesalahan yang satu itu untuk seribu kecemerlangan yang pasti tiba nanti, insha Allah SWT.

Jika Islam dilihat kondisi 13 tahun di Makkah Mukarramah sahaja, tentunya Islam pada hari dipandang hanya soal dalaman atau spiritual semata-mata. Islam itu sempurna (syumul). Semangat hijrah ke Madinah Munawarrah merupakan titik permulaan Islam disemat keseluruhan dunia.

Selesai sedikit kisah Nabi Muhammad SAW. Anda boleh dan mampu membaca berkaitan baginda.

Ada apa dengan Al-Fateh? Sesungguhnya saya memahami, ramai dikalangan para sahabat baginda cuba membenarkan sabda Nabi Muhammad SAW mengenai menguasai sebuah kota yang besar empayarnya ketika ini.

Ini kefahaman yang ada dengan Al-Fateh. Pendekkan cerita, Al-Fateh telah mempelajari kelebihan dan kekurangan yang wujud dalam peperangan terdahulu. Misi bertindak mengikut maklumat diperkasakan supaya sasaran adalah tepat. Begitu juga visi ‘tak tercapai dek akal’ mula menghantui. Mengalih 70 kapal dengan ‘mute’ menyebabkan musuh tidak menyedari kehadiran ‘tetamu’. Sanggup demi Islam mengembangkan Islam.

Buat kerja gila tapi jangan gila. Al-Fateh sangat memahami keadaaan kota Constantinople ini sehinggakan beliau mampu menggali terowong sebagai strategik baru peperangan. Al-Fateh telah mula mengenal ‘brainstorming’, ‘postmortem’, R&D dan sebagainya. Berkat daripada kesabaran, ketekunan, mempunyai bacaan yang tepat akhirnya beliau dan tentera-tenteranya berjaya menakhluki kota yang hebat ini.

Antara jalan cerita yang menarik perhatian saya adalah kisah memilih iman solat jumaat untuk solat kali pertama setelah berjaya menguasai kota Constantinople dan kisah buah anggur.

3 soalan cepu emas ditanya Al-Fateh kepada tenteranya sewaktu memilih imam solat jumaat tersebut. Pertama, ‘siapa dikalangan kamu pernah meninggalkan solat fardhu sejak kamu aqil baligh silakan duduk’. Majoriti dikalangan mereka terus berdiri. Ditanya lagi soalan kedua, ‘siapa dikalangan kamu pernah meninggalkan solat sunat rawatib sejak kamu aqil baliqh silakan duduk’. Sangat sedikit bilangannya yang duduk. ‘Killer’ soalan ditanya oleh penakhluk kota ini buat kali ketiga dan terakhir, ‘siapa dikalangan kamu pernah meninggalkan solat tahajud sejak kamu aqil baligh silakan duduk’. Masyallah, hanya manusia bernama Sultan Muhammad Al-Fateh ini sahaja yang tidak duduk dan menyebabkan beliau mengimami solat jumaat tersebut.

Begitu teliti soalan yang dikemukakan. Ternyata Al-Fateh merupakan insan yang luar biasa walaupun ada pendapat dikalangan para ulama Al-Fateh ini seorang yang nakal ketika kecil.

Biasa menjadi luar biasa.

Percubaan yang berkali-kali menyebabkan Al-Fateh mempelajari banyak perkara. Difahamkan sebanyak 29 kali kota ini telah diserang, Islam mempunyai 11 rekod percubaan tersebut. Bermula dengan zaman Muawiyah pada 654 M sehingga zaman ayah kepada Al-Fateh, Murad 2 pada 1422 M. Misi tetap gagal.

1453 M, April hingga Mei merupakan tarikh bersejarah buat Islam dalam peristiwa agong ini. Al-Fateh berjaya memecah tradisi dan membuktikan kebenaran hadith Nabi Muhammad SAW berkaitan penguasaan kota ini. Beliaulah sebaik-baik pemimpin dan mempunyai sebaik-baik tentera.

Strategik memilih titik lemah musuh dan terpacaknya panji Uthmaniyah di puncak kota Constantinople menjadi keghairahan tentera Al-Fateh terus mara bertempur. Titik lemah ini telah dikaji oleh Al-Fateh, masyarakat atau tentera musuh mempercayai gerhana matahari merupakan bala bencana buat mereka. Ternyata tepat tarikh dan masa yang dipilih oleh Al-Fateh ini. Begitu juga terpacaknya panji Uthmaniyah, manusia yang bernama Hassan yang mana dikisahkan ketika berlari membawa panji ini telah sedia ada anak-anak panah ditubuh badannya namun beliau mara jua ke atas kota untuk memacak panji tersebut.

Siapa tidak semangat jika panji yang tidak pernah terpacak hebat di puncak kota berkibar-kibar seolah-olah memanggil tenteranya masuk ke kota dengan slogan kemenangan. Allahuakbar!

Apa yang mampu kita ambil daripada kisah Sultan Muhammad Al-Fateh ini? Adakah peristiwa ini akan berulang di zaman kita sekarang?

Hemat saya, pasti berulang.

Jika begitu, siapa ‘Al-Fateh’ moden tersebut, siapa pula sebaik-baik tentera ini?

Mari kita sama-sama mencari kebenaran tersebut. Sebelum itu, Al-Fateh telah mengajar kita untuk buat ‘kerja gila dan mustahil’. Sebagai mahasiswa di universiti, kita mesti ‘gila dan mustahil’. Mereka yang berjaya mesti berbeza kehidupannya.

Semangat, darah muda dan ada visi yang jelas lagi jauh. Ini elemen yang ada dengan Al-Fateh. Kita yakin kita mampu menjejaki walaupun sedikit elemen Al-Fateh ini dengan syarat kita benar-benar serius untuk buat perubahan.

Banyakkanlah membaca bahan-bahan berat, mampu menganalisa suasana apatah diri sendiri, berkawan dengan orang-orang hebat seperti Al-Fateh ditemani para Ulama, tinggalkan tabiat yang tidak berfaedah (hanyut dengan cerita-cerita mengarut), tonjolkan Muslim dan Islam ini hebat dimana sahaja dan sebagainya.

Insha Allah, moga-moga warga muda-mudi USIM kali ini mampu menggambarkan ‘Al-Fateh’ dalam mencorak suasana penakhlukan biah Islamiyyah di universiti mahupun kolej-kolej kediaman.

Teringin saya melihat muda-mudi ini mengulangi kisah penakhlukan kota Constantinople ini dengan menakhluk jiwa masyarakat kampus ini.

Andai boleh saya katakana USIM ‘kota Constantinople’, warga kampus seluruhnya ‘sebaik-baik tentera’.

Siapa pula sebaik-baik pemimpin? Tepuk dada tanya iman masing-masing.

ANDA tentukan dalam ‘channel’ PILIHANRAYA KAMPUS USIM akan datang, insha Allah.

4 thoughts on “‘Al-Fateh’ di USIM

Leave a comment