Pengaruh P Ramlee

Tanggal 29 Mei, masyarakat seni dalam negara mengenang ulangtahun ke 36 pemergian Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, yang meninggal akibat serangan jantung pada tahun 1973.

Walaupun sudah 36 tahun P Ramlee meninggalkan persada seni, namun namanya terus popular, malah turut digemari oleh anak-anak generasi millenium, walaupun kebanyakan filem yang disiarkan hanyalah hitam putih.

Menyusuri gelagat Seniman Agung ini, menyebabkan anak-anak kecil ketawa terkikik-kikik, menghafal dan mengulangi dialog-dialog lucu beliau, buat gurau senda bersama rakan taulan.

Pada ruangan kali ini, penulis tidak berhasrat untuk membicarakan kehebatan P Ramlee dari sudut lakonan dan seni, cukuplah rakan-rakan seperti Dinsman, Nasir Jani, Sabri Yunus dan lain-lain membahas dan menghayatinya.

Penulis mahu mengajak pembaca menghayati mesej sinikal yang disampaikan beliau, dalam beratus filem, sama ada yang dilakonkan atau diarahkan P Ramlee.

Walaupun P Ramlee berkarya dan berlakon pada era 1950-an sehingga awal 1970-an, namun kebanyakan filem-filem beliau boleh dijadikan contoh realistik sepadan dengan realiti yang berlaku dalam masyarakat moden hari ini.

Pada tahun-tahun tersebut, Malaya atau Semenajung Tanah Melayu masih lagi mundur dan kuno. Kuala Lumpur dipenuhi hutan dan lombong-lombong bijih timah. Kuala Lumpur pada ketika itu masih lagi dalam kategori kampung.

Pengangkutan awam masih terkebelakang, tiada bangunan pencakar langit, tiada televisyen, tiada handphone, jauh sekali internet.

Namun, P Ramlee mempunyai minda terkehadapan dalam membentuk dan menyampaikan mesej yang berani kepada masyarakat melalui filem lakonan dan arahan beliau.

P Ramlee berani memaparkan sketsa mengenai kezaliman dan ketidakadilan Sultan atau pemerintah, ketidakadilan hakim, sikap berat sebelah pihak berkuasa, ketamakan penguasa atau golongan peniaga, penindasan terhadap golongan miskin dan banyak lagi.

Filem ‘Hang Tuah’ mempunyai mesej yang mendalam mengenai ketaatan rakyat walaupun golongan Istana berlaku tidak adil. Lawak dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ memaparkan ada Raja yang sanggup bertaruh (dalam konteks sekarang berjudi), filem ‘Laksamana Do Re Mi’ misalnya memaparkan bagaimana hancurnya kerajaan negara ‘Dua Butir’ akibat kezaliman Menteri Fasola, juga bagaimana keuntungan berlipatganda diraih hasil jualan ‘hamba abdi’ seperti dalam filem ‘Tiga Abdul’.

Hakikatnya, sebahagian besar intipati mesej yang dibawakan oleh P Ramlee dan rakan-rakan karyawan waktu itu, memaparkan realiti yang berlaku dalam masyarakat, negara, pemerintah dan golongan istana.

Namun keberanian dan kebenaran mesej yang disampaikan oleh P Ramlee sudah tidak wujud kepada karyawan filem mahupun drama yang ada hari ini.

Jika kita menonton filem Hindustan, karyawan mereka lebih berani, mempunyai minda yang terbuka untuk memperjuangkan hak rakyat dan mempamer jenayah golongan penguasa.

Malangnya, minda masyarakat hari ini ‘dimandomkan’ oleh filem dan drama yang stereotaip. Semuanya pengampu dan pemuji penguasa. Apabila golongan karyawan kita mempunyai sifat sebegini kerana takut kepada penguasa, mereka sebenarnya hanya membentuk masyarakat mempunyai minda yang terkebelakang.

Filem dan drama kita hanya membawa masyarakat dikhayalkan dengan hiburan kosong dan menjadi ‘pak turut’ sahaja.

Kemajuan dan teknologi moden hanya diaplikasikan dalam proses pembikinan filem, bukan kepada pembentukan minda. Hakikat ini hanya menjelaskan bahawa minda karyawan zaman 1950-an hingga 1970-an seperti P Ramlee, jauh lebih matang dan terkehadapan.

Karya-karya P Ramlee juga mempunyai pengaruh yang besar dalam politik negara, sehingga kebanyakan dialog dan babak dalam filemnya secara sinikal dan dijadikan bahan perbandingan.

Keberanian beliau berkarya dengan lawak bersahaja tetapi mempunyai mesej yang tersirat menyebabkan walaupun sudah 36 tahun meninggal dunia, beliau tetap dikenang sebagai seorang seniman agung.

P Ramlee berani membuka minda masyarakat Melayu khususnya, pada tahun 1950-an hingga awal 1970-an, namun kebelakangan ini unsur-unsur sebegini sudah semakin lenyap.

Karyawan seni tidak harus hanya memikirkan soal untung dan rugi sahaja. Mereka harus menyumbang kepada pembangunan pemikiran dan mendidik rakyat menilai serta menerima mesej yang hendak disampaikan.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/


4 thoughts on “Pengaruh P Ramlee

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s