Markah kasihan: Pandang sisi MPP (2)

161003Bismillah.

Kualiti Mahasiswa USIM Setanding Dengan Institusi Pengajian Tinggi Lain

Sebagai sebuah universiti yang memfokuskan pengajian Islam kompetetif, USIM dilihat mengambil langkah yang selari dengan hasrat kerajaan melalui pengamalan sistem pengkhususan yang dinamik dan seimbang menerusi kursus-kursus yang ditawarkan. Sesudah hampir tiga tahun usia penjenamaan semula daripada kolej universiti kepada universiti, dilihat berhasil memberi impak positif kepada masyarakat dan mahasiswa USIM sendiri.

Gelaran ‘universiti muda’ tidak lagi menjadi penghalang bagi mahasiswa USIM untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain dalam arena persaingan di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Pihak pengurusan tertinggi dan badan persatuan mahasiswa seperti Majlis Perwakilan Pelajar saling membantu dalam membina citra mahasiswa yang berani menyahut cabaran dan berdaya global.

Sehingga kini pelbagai langkah giat dijalankan dalam usaha memperkasakan kualiti mahasiswa sejajar dengan penjenamaan semula USIM, antaranya:

Kepelbagaian penganjuran aktiviti yang kompetetif dan bertaraf antarabangsa membuktikan USIM progresif dalam memantapkan tegaknya sebagai sebuah institusi ilmu yang terkehadapan.

Sebagai contoh, penglibatan mahasiswa USIM secara langsung dalam penganjuran program-program ilmiah yang dianjurkan oleh USIM seperti Multaqa’ Sedunia Al-Azhar, Seminar Antarabangsa Undang-undang Perbandingan (ISCOM), Wacana INFAD dan sebagainya menjadi bukti pendedahan sebegini merupakan usaha berterusan ke arah membangunkan wacana intelektual dan praktikal di kalangan mahasiswa.

Selain itu, kegiatan-kegiatan luar yang membabitkan mahasiswa dalam pertandingan debat, mahkamah moot, pembentangan kertas kerja, pidato, penyelidikan saintifik dan lain-lain berupaya memberi ruang perkembangan yang positif bagi melahirkan produk modal insan yang diharapkan.

Usaha memperkayakan citra mahasiswa Islam yang dinamik dan profesional menerusi sistem pengajaran dan pembelajaran di USIM adalah tidak mengabaikan tradisi pendidikan Islam yang disesuaikan mengikut peredaran semasa. Kuliah pengajian terbuka diadakan dan subjek berteras kitab-kitab turath turut diangkat dan diterapkan kepada mahasiswa.

Di samping itu, program mentor-mentee antara pensyarah dan mahasiswa dalam Fakulti Syariah dan Undang-Undang misalnya, yang melibatkan hubungan dua hala ke arah melestarikan budaya keilmuan di USIM.

Jelas di sini bahawa USIM optimis dan realistik kearah menghidupkan wadah keilmuan yang bersifat sejagat. Pihak universiti tidak sekadar memperkenalkan kursus-kursus moden seperti undang-undang, perubatan, ekonomi, sains dan teknologi, sebaliknya disaluti dengan nilai-nilai pengajian Islam bagi memperkukuhkan produk graduan yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Saban tahun, kecemerlangan mahasiswa USIM semakin terserlah sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana mahupun Doktor Falsafah. Graduan USIM adalah setaraf dengan graduan keluaran IPT lain. Bahkan, kecenderungan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan pihak universiti dalam prospek kerjaya membuka peluang luas kepada graduan-graduan segar USIM. Hal ini dibuktikan dengan penerimaan graduan USIM dalam pasaran kerjaya meningkat dari tahun ke tahun dan sekali gus meningkat persepsi masyarakat dan majikan-majikan luar dalam menilai kualiti mahasiswa USIM.

Menjadi suatu kebanggaan bagi setiap warga USIM, apabila menyingkap keupayaan dan pencapaian semasa yang diperoleh walaupun terlalu baru dibanding dengan universiti-universiti lain yang sudah lama penubuhannya. Terkini, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan penyelarasan baharu bagi kemasukan pelajar dengan ketetapan terbaru, iaitu mensyaratkan pencapaian minima Band 3 dan Band 4 (bagi kursus profesional) dalam ujian Malaysia University English Test (MUET) untuk kelayakan masuk ke USIM pada sesi hadapan. Sudah pasti ini mampu melonjakkan kualiti produk yang ingin dibentuk dengan kemasukan mahasiswa baru pada masa akan datang, dan dalam masa yang sama, menyangkal dakwaan ketidakupayaan mahasiswa USIM dalam lapangan akademik mahupun ko-kurikulum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s