Markah kasihan: Pandang sisi MPP

akibat-kedekut-markahIbarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Perumpamaan Melayu ini barangkali sesuai untuk menggambarkan situasi semasa yang dialami oleh warga Universiti Sains Islam Malaysia. Sejak minggu lalu, pelbagai spekulasi timbul ekoran laporan berat sebelah sebuah akhbar yang melaporkan ketidakketelusan pihak pengurusan universiti dalam mengendalikan sistem penilaian peperiksaan.

Majlis Perwakilan Pelajar USIM melihat impak daripada timbulnya isu ini begitu serius kerana dakwaan tersebut telah menjejaskan reputasi USIM. MPP cenderung memperbetulkan kembali salah faham yang timbul di sebalik tanggapan negatif yang dilemparkan. Selaku badan yang mewakili mahasiswa USIM, MPP turut menyatakan pendirian secara rasional daripada kelompok mahasiswa sendiri berkenaan isu ini.

Sebagai sebuah universiti yang mendapat pengiktirafan oleh SIRIM melalui Sijil Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000, adalah menjadi suatu yang pelik apabila sesetengah pihak menuduh pengurusan universiti tidak berintegriti dalam melakukan sistem penilaian markah peperiksaan. Sedangkan amat dangkal untuk menerima kenyataan yang dipolemikkan semata-mata untuk mengheret masalah kepada pihak tertinggi universiti yang memantau sistem tersebut.

Perlu dinyatakan di sini bahawa setiap panel yang melakukan proses penilaian terikat dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Senat Universiti. Sistem pengajaran dan pembelajaran di USIM juga adalah teratur dan sentiasa dikawal oleh audit dalaman atau pihak penilai dari luar universiti.

Sebenarnya tidak timbul ‘markah kasihan’ yang diberikan oleh pensyarah memandangkan soalan peperiksaan dan skema jawapan yang disediakan telah ditaksir oleh Jawatankuasa Taksiran universiti. Setiap penilaian peperiksaan dipantau secara adil dan bersistematik. Pelajar yang diberi status gagal tetap gagal. Pernah direkodkan bahawa pelajar yang pernah mendapat keputusan “Gagal dan Diberhentikan” (GDB) telah diberhentikan daripada pengajian.

Seluruh MPP dan warga mahasiswa USIM berpuas hati dengan sistem penilaian kursus dan peperiksaan yang dikendalikan di USIM. Bahkan, belum ada lagi rekod yang meragukan pelajar dan warga akademik berhubung isu pemberian markah. Hal ini secara tuntas mengesahkan tiada unsur tekanan kepada pensyarah untuk memberi markah kasihan.

Respon MPP berhubung dakwaan yang dilaporkan minggu lalu, kami melihat isu tersebut hanya bersifat pinggiran yang sengaja diperbesarkan. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang kian berkembang pesat, dakwaan tersebut datang untuk menguji warga universiti sama ada sudah bersiap sedia atau sebaliknya dalam menghadapi pelbagai cabaran dari luar.

Mahasiswa USIM keseluruhannya bersatu suara dalam menyokong pihak pengurusan universiti dan pensyarah-pensyarah yang menyumbang banyak kebaikan kepada kemajuan akademik. Adalah suatu yang tidak dapat diterima apabila ada pihak berkepentingan cuba mengeruhkan imej USIM dengan dakwaan yang tidak berasas dengan memalitkan tuduhan buruk ke muka setiap tenaga akademik USIM.

Sesungguhnya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran itu sebenarnya terletak kepada jiwa pengajar yang ikhlas dalam memikul amanah sebagai penyampai ilmu kepada anak bangsa. Seorang pendidik yang jujur tidak sesekali akan merendah-rendahkan pelajarnya. Proses pembelajaran kadang kala menuntut waktu dan tumpuan yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

Justeru, kesilapan dan kekurangan yang ditunjukkan oleh pelajar adalah perkara biasa. Sewajarnya bagi setiap pendidik untuk berlaku adil dalam menegur dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh pelajar.

Kepada semua pensyarah USIM yang menyumbang jasa besar kepada pembangunan intelek mahasiswa, kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas usaha anda selama ini. Secara jujur, kami begitu berbangga memiliki tenaga akademik dari dalam dan luar negara yang profesional, komited dan berintegriti dalam melunaskan tanggungjawab mereka.

Akhir sekali, MPP mengirimkan harapan yang besar kepada semua mahasiswa USIM agar sama-sama memacu kegemilangan dalam akademik. Kami menyakini kesungguhan yang dimiliki oleh mahasiswa USIM yang tidak mudah untuk digugat hanya apabila diterpa dengan isu sebegini. Sebaliknya, ia secara positif berupaya menjadi pemangkin secara tidak langsung kepada mahasiswa untuk melonjakkan kualiti produk modal insan terbaik yang ada pada diri mahasiswa USIM yang kian menempa nama dan menyaingi IPT-IPT lain di luar sana.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s