Integriti: Amanah, Malu dan Ihsan

We are students of INTEGRITY

We are students of INTEGRITY

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan pentadbir agung seisi alam, selawat dan salam buat junjungan ummat termulia Rasulullah s.a.w. serta para pejuang Baginda.

Saya mewakili barisan kepimpinan MPP USIM sesi 2008/2009 mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti di atas keprihatinan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam pelaksanaan Minggu Integriti Pelajar bermula 23 Februari sehingga 1 Mac ini.

Kita semua sedia maklum bahawa tujuan umum program ini adalah untuk membantu dan memantapkan penghayatan di kalangan warga USIM mengenai nilai-nilai murni lagi islamik serta disiplin yang telah ditetapkan. Nilai-nilai seperti profesionalisma, berwibawa dalam pembawaan diri, berpegang kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip yang unggul antara elemen yang perlu digarap dalam diri setiap mahasiswa.

Dasawarsa ini, kita menyaksikan betapa ketempangan akhlak dan kelompangan spiritual sudah menjadi fenomena biasa di kalangan mahasiswa kita. Krisis moral yang terus berlarutan perlu dipandang secara serius dan kritikal memandangkan mahasiswa adalah kelompok yang akan menjadi pemimpin negara masa hadapan. Sudah pasti ini akan menjadi pertaruhan yang besar sekiranya tiada langkah yang signifikan bagi mengekang permasalahan ini dari terus berlaku.

Oleh yang demikian, Majlis Perwakilan Pelajar USIM melihat program Minggu Integriti Pelajar ini amat bertepatan dengan hasrat pihak universiti dalam usaha mempersiapkan setiap mahasiswa USIM dengan nilai-nilai sahsiah yang murni. Bahkan, program MIP ini juga berupaya menjadi suatu detik pencetus yang akan memangkin pemerkasaan peribadi mahasiswa sekali gus menangani kelesuan yang melanda suasana kampus dewasa kini.

Selain itu, semua mahasiswa harus memahami bahawa universiti bukanlah semata-mata lapangan untuk memburu akademik. Sebaliknya ia sewajarnya turut menjadi gelanggang bagi mahasiswa menerajui sahsiah islamik dan meningkatkan nilai tambah dalam aspek akhlak dan peribadi menerusi penglibatan dalam pelbagai program yang dianjurkan pihak universiti.

Dalam berperihal tentang integriti di kalangan mahasiswa, aspek terpenting yang perlu diberi perhatian adalah mengenal pasti figura ikutan yang unggul untuk pedoman seharian. Sebagai umat Islam, semestinya contoh ikutan terbaik adalah Rasulullah S.A.W., seperti mana dijelaskan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W. itu contoh ikutan yang baik”.

Justeru, kita selaku kelompok mahasiswa Islam harus menerapkan prinsip dan kaedah yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W. sebagai panduan integriti yang paling ampuh. Hal tersebut sudah pun terbukti dan terakam dalam lipatan sejarah. Rasulullah S.A.W. telah berjaya membentuk manusia yang memiliki integriti dan akauntabiliti seperti yang ditonjolkan oleh sahabat-sahabat Baginda sehingga berjaya menyebarkan syiar Islam ke serata dunia.

Bagi mahasiswa-mahasiswi USIM, penghayatan terhadap nilai-nilai integriti ini seperti menepati masa, jujur dan sebagainya bukan ketika program MIP berlangsung sahaja. Sebaliknya, nilai sahsiah dan integriti terbaik harus diperbaharui dan dipertingkatkan saban hari, kerana umat Islam harus cemerlang, hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Sebelum saya mengakhiri kalam dalam peluang yang terhad ini, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi USIM untuk menggembleng segenap fikrah dan tenaga, serta mengencarkan semangat dalam memperkasakan kemantapan integriti dalam diri masing-masing.

Perbaiki kualiti disiplin kita di dalam dan luar kampus. Patuhilah setiap peraturan yang ditetapkan, berketrampilan kemas, menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap program universiti atau fakulti serta mengungguli dalam ketepatan waktu hadir ke kelas atau kuliah. Sesungguhnya, ini akan menjadi kayu ukur sejauh mana kita memikul amanah yang ditaklifkan sebagai mahasiswa Islam.

Akhir ucapan, salam integriti saya ucapkan kepada sekalian mahasiswa-mahasiswi USIM. Semoga setiap langkah dalam kehidupan kita disantuni dengan akhlak islami dan budi pekerti mulia.

MUHAMMAD ALIF ISMAIL

Yang Dipertua

One thought on “Integriti: Amanah, Malu dan Ihsan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s