Artikal Pilihan : MODAL INSAN MAHASISWA CEMERLANG

Menelusuri era globalisasi masa kini mahasiswa perlu dibentuk untuk mengamalkan beberapa amalan yang dinamik bagi pembentukan sikap yang sesuai untuk mencapai kecemerlangan sebagai persediaan menjelang tahun 2020. Selain mengetahui apakah ciri-ciri penting yang harus ada pada diri mahasiswa untuk menjadikan mereka manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang, kita juga perlu meninjau apakah cara yang paling efektif menanam ciri-ciri ini pada diri mereka. Sebelum itu agak molek juga jika sekiranya kita tinjau beberapa masalah yang dibelengu oleh mahasiswa masakini. Seperti yang kita maklum, setiap mahasiswa disogokkan dengan satu program akademik yang begitu padat sekali.

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa setiap program akademik itu begitu padat sehingga sukar bagi kita mencari luang untuk mahasiswa menimba ilmu dari pengalaman yang baru. Para akademik biasanya berpegang kepada prinsip bahawa program akademiknyalah yang paling penting, dan hampir tidak ada satu perkara lain pun yang sepenting kurikulumnya untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa. Justeru, kita dapati bahawa mahasiswa lazimnya terpaksa membuat pilihan antara mengikuti kuliah atau meninggalkan kuliah dan melakukan sesuatu tugas persatuannya, misalnya.

Kecemerlangan pada diri mahasiswa selalunya hanya dilihat dan dinilai dari segi akademik semata-mata. Sekiranya pemerhatian dibuat, kebanyakan daripada mahasiswa kini didapati mempunyai ilmu yang dikatakan sudah kebelakangan masa serta lapuk dek zaman berbanding dengan ilmu yang mereka perlukan dalam alam pekerjaan. Perkara ini jelas disebabkan oleh terlalu derasnya arus perkembangan ilmu dan globalisasi masa kini.

Pihak universiti pula terpaksa mengambil masa untuk membuat sebarang perubahan dalam kurikulum. Ilmu tidak semestinya bertambah di universiti sahaja. Kita ketahui banyak lagi institusi luar termasuk industri yang sentiasa menjalankan penyelidikan untuk meningkatkan ilmu, seperti pelaburan saham, perniagaan, serta teknologi maklumat. Perkembangan seperti ini amatlah perlu didampingi supaya mahasiswa didedahkan kepada ilmu yang baru dan membawa manfaat kehidupan.

Sudah menjadi hakikat bahawa kebanyakan pelajar mempunyai sikap untuk mendapatkan kelulusan yang “cukup makan” sahaja. Justeru, kita dapati bahawa kebanyakan pelajar Bumiputera khususnya tidak mencapai keputusan akademik yang cemerlang. Saya tidak percaya bahawa mereka mempunyai kebolehan yang kurang berbanding dengan mahasiswa bukan Bumiputera. Sudah banyak terdapat pelajar Bumiputera di peringkat sekolah yang berjaya dengan keputusan yang cemerlang.

Tetapi, mengapakah fenomena ini agak meluas, boleh dikatakan di setiap universiti (dalam negeri) fenomena ini berlaku? Ini merupakan masalah sikap yang agak negatif. Mereka perlukan rangsangan yang kukuh untuk meningkatkan kejayaan akademik mereka.

Sejajar dengan Garapan Modal Insan dalam RMK-9 yang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di persidangan Parlimen baru-baru ini. Oleh itu atas dasar ini saya selaku wakil suara kontemporari Mahasiswa Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, ingin mengutarakan beberapa saranan ke arah kecemerlangan mahasiswa.

Apa yang utama mahasiswa haruslah dididik untuk menghayati konsep ilmu dengan sempurna. Mahasiswa haruslah berlumba mencari ilmu ke tahap yang cemerlang dan menjadikan ilmu itu pedoman hidup mereka sendiri. Sebagai para ilmuan, mahasiswa harus mampu mencerminkan suasana sahsiah ilmuan yang sebenar sejajar dengan tuntutan syarak.

Selain itu Mahasiswa juga perlu dibentuk supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerohanian yang merangkumi moral dan etika yang harmoni. Segala impuls bernas haruslah diberikan supaya mahasiswa mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Selain perlu dididik sebagai pengurus yang berkesan. Mereka perlu diberi pendedahan kepada pengurusan organisasi dan berinteraksi di kalangan berbagai lapisan dengan baik. Mahasiswa harus dilatih untuk berkomunikasi dengan cara yang amat berkesan. Kelemahan berkomunikasi adalah salah satu perkara yang boleh menjejaskan kecemerlangan.

Mahasiswa juga perlu dibentuk sebagai pemimpin yang berkesan. Pemimpin amat berbeza dari pengurus. Seorang pengurus itu mampu membuat keputusan yang baik dan melaksanakan keputusannya mengikut teknik, prosedur dan sistem yang telah ditetapkan. Pemimpin membawa idea baru, berani mengambil risiko, melihat sesuatu dengan misi serta visi yang realistik dan tidak pula terlalu idealistik dan retorik semata-mata.

Sebagai konklusi, sememangnya perkembangan sosial, ekonomi, politik dan budaya Malaysia amatlah bergantung kepada golongan pemimpin pada masa hadapan. Mahasiswa yang merupakan bakal pemimpin di hampir segenap sektor dan lapisan masyarakat akan mempunyai peranan yang sangat penting dalam menentukan halatuju serta kemajuan negara. Satu perkara yang berkaitan secara langsung dengan perkembangan ekonomi ialah pembangunan manusia, khususnya golongan Mahasiswa.

Mereka ini perlu dibentuk supaya mempunyai sikap yang paling sesuai dengan pencapaian matlamat negara pada masa hadapan. Perkembangan ekonomi boleh terjejas sekiranya sikap para pemimpin tidak sesuai dengan pencapaian matlamat misi serta visi negara.

Justeru, segala usaha haruslah dilakukan untuk memastikan bahawa golongan mahasiswa mempunyai minat dan kemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek. Mereka harus berminat sama ada secara semulajadi atau dirangsang dengan suntikan kecemerlangan. Mereka juga harus tahu apakah ciri-ciri kecemerlangan yang mesti dimiliki dan bagaimana memiliki dan mengamalkannya.

Selain daripada kecemerlangan akademik, mereka juga harus cemerlang dalam pengurusan organisasi, kepimpinan, komunikasi, proaktif; mempunyai inisiatif; mempunyai nilai moral dan budipekerti yang tinggi, berdisiplin, rajin, serta komited dalam mengerjakan sesuatu. Segala perkara ini perlukan sikap yang paling sesuai.dan dinamik. Pembentukan sikap yang dinamik inilah perlu diusahakan melalui latihan, amalan serta tauladan yang baik.

One thought on “Artikal Pilihan : MODAL INSAN MAHASISWA CEMERLANG

  1. panjangnyer,penat den nak mghabiskannya.Sbg pgkritik berjaya,komennya begini :
    Bagus.cuma lg bagus jika :
    Be narrower,kecikkan skop perbincangn,straight on practikal acting,dan kurangkn general knowledge.erm..utk lbh lanjut tanye tuan punye badan.hee..aku ni pandai kritik je.salam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s