Anak Muda Geng Dengan Semua

•January 4, 2012 • Leave a Comment

Segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam.

4 hari dah ambang tahun 2012 berlalu. Sangat cepat. Tahun baru kali ini – terutamanya di Malaysia – menyaksikan pelbagai ‘menu alternatif’ dihidangkan sempena menyambut dan mengisi tahun baru kali ini.

Sekitar lembah klang, selain ‘menu tradisi’ pihak pemerintah yang terkenal dengan persembahan artis terkenal tanah air dan kiraan ‘countdown’ ke jam 12.00 pagi di tahun 2012, ada juga usaha menghidangkan ‘menu alternatif’ dan Islamik di dalam menyambut tahun masihi ini.

Saya akui, tahun 2012 adalah tahun kedua saya menyambut tahun baru. Ianya sangat berbeza dengan tahun sebelumnya. Berbeza dari sudut pengisian dan pendekatan.

Cerita tentang tahun lepas – pertama kali turun padang – agak sedikit mengecewakan. Pengisian lama dan tidak Islamik masih ada. Cuma, last minute saya bertemu kawan-kawan di Masjid as-Syakirin. Di masjid bersebelahan dengan menara ini memang ada sambutan tahun baru. Kalau tak silap, sambutan bersama artis nasyid.

Ada jugalah alternatif. Tepat jam 12.00 pagi, 2011, saya dan kawan-kawan memandang langit cerah di waktu malam. Bunga api. “Entah berapa ribu dihabiskan semata-mata mercun bunga api ni?”.

Tahun 2012 terserlah perbezaannya

Seminggu dua sebelum tibanya 31 Disember 2011, facebook dan media sosial yang lain telah dipenuhi dengan iklan dan jemputan ‘tidak rasmi’ dalam menyambut tahun baru ini. Dari Perlis ke Johor, semua orang tahu dan dimana acara berlangsungnya sambutan tahun baru.

Untuk tahun 2012 ini, saya dan kawan-kawan berkesempatan ke Shah Alam, Selangor. Tentunya kita maklum tentang program disana dan lebih penting ‘menu alternatif’ lagi Islamik yang dipersembahkan.

Figura tanah air dalam pelbagai latar belakang hadir bersama sebagai tanda sokongan di atas usaha memberi ‘jalan lain lagi lurus’ ini untuk dihadapkan kepada anak muda yang saban hari terlibat dengan maksiat dan jenayah.

Saya yakin, mereka adalah kawan-kawan saya dan mereka tak mahu jadi begitu. Mereka mencari ‘jalan keluar’ dengan maksud dahagakan pengisian agama yang lebih ‘user-friendly’.

Pembukaan tahun baru dengan laungan asma al-husna, bukan lagi melalak dan terkinja-kinja di atas pentas. Biarlah ada setengah pihak mengatakan bid’ah dan sebagainya, sekurang-kurangnya ia satu ‘cara baru’ menyambut tahun baru.

Ustaz Azhar Idrus, Zizan Raja Lawak, Imam Muda Asyraf, Ustaz Nor Hisyam (Mushrif Imam Muda), Sham KAMIKAZE, Dak Mie, Akhil Hayy, Syahir AF dan lain-lain hadir dengan kepercayaan ‘Anak Muda Geng Kita’. Geng di dunia dan akhirat.

Teringat saya cogan kata Mawi WORLD ketika bertadang ke Kelantan di dalam konsertnya. “World world juga, akhirat jangan lupa…”.

Berbalik cerita di Shah Alam tadi, saya rasa inilah diantara pendekatan baru untuk memanggil anak muda dengan mesej yang jelas bahawa Islam datang untuk mendidik, bukan menghukum. Inilah antara ‘tagline’ Ustaz Azhar Idrus di dalam menyampaikan ‘maudhu’ al-dakwah’ kepada anak muda tanah air.

Tapi ini bukanlah kerja yang senang dan kadang-kadang tidak menguntungkan. Orang seperti Sham KAMIKAZE yang diberi taufiq dan hidayah untuk kembali ke jalan fitrah, juga harus kembali ke ‘jalan lama atau hitam’ itu lagi dengan tujuan untuk memberitahu anak muda dan kawan-kawannya kembali juga ke jalan fitrah. Terbukti Islam bukan agama menghukum semata-mata.

Insha Allah, Allah SWT dan kaum muslimin akan bersama orang-orang yang bertaubat.

Anak Muda Geng Semua

Tidak dilupai insiden-insiden yang tidak diingin berlaku di tahun 2012. Umum maklum, ditempat kelahiran saya, di Tanjung Malim, Perak berlaku ‘tragedi anak muda berdarah’ di dalam menuntut kebebasan akademik.

Entah bila pihak pemerintah akan faham bahawa mahasiswa bukan hanya semata-mata studi di kampus. Benarlah ‘business’ utama mahasiswa adalah studi. Tapi, bukanlah sekadar itu. Kalau tak, macam mana anak muda terdidik ini digelar pewaris kepimpinan negara. Sungguh kontra.

Siapa yang gelar mereka pewaris kepimpinan negara ini? Siapa?

Sejujurnya, saya agak bersetuju dengan nasihat Prof. Madya Dr. MAZA dalam isu ini. Secara atas kertasnya, KPT, Polis dan mahasiswa duduk semeja di dalam mengatasi ‘tragedi berdarah’ ini dengan permulaan yang baik.

Polis janganlah terlalu awal mengeluarkan kenyataan yang mungkin mengelirukan dan mahasiswa juga harus bijak di dalam mencari kaedah penyelesaian. Anak muda ini kadang-kadang kena dengar juga nasihat orang berumur.

Saya juga keliru dan masih cuba memahami keseluruhan ‘cerita’ tahun baru ini. Majoriti tidak setuju dengan ‘suasana’ menyambut tahun baru di Bandar Pendidikan itu.

Apakah ini petanda kebangkitan? Kesedaran? Penentangan?

Kesimpulannya, suasana kondusif di Shah Alam dan kurang aman di Tanjung Malim menyaksikan anak muda menjadi subjek utama. Anak muda Malaysia mulai bangkit untuk ambil peduli ‘sepak terajang’ negara dan mampu membuat andaian apatah lagi pegangan dengan hadirnya media-media sosial sebagai sumber ‘menu alternatif’ dan Islamik itu.

Banyakkan lagi senarai ‘menu’; Anak Muda Suka ‘Menu’ Alternatif!

Kepala ‘Otak’

•December 15, 2011 • Leave a Comment

Sambung study di universiti antarabangsa tentu seronok. Kepelbagaian sentiasa dirai. Sama ada di dalam kuliah hingga di luar kuliah. Rakyat kampus juga antara sebab keseronokan itu.

Mula-mula jejak kaki di universiti ini, saya ‘mabuk’ dan kepeningan. Kadang-kadang sesat di tempat yang sama. ‘Mabuk’ dan pening dengan suasana antarabangsa. Lain daripada sifat dan sikap tempatan.

Memenatkan. Inilah perkataan yang difikirkan. Menyesal. Perkataan kedua yang disentiasa dimuhasabahkan, siang dan malam.

Tapi itu dahulu. Sudah hilang pun kepenatan dan penyesalan tadi.

Hari ini, ianya bertukar cerdas dan cergas. Penyesalan berubah satu harapan. Agak falsafah semua ini. Tapi inilah emosi yang menolak untuk terus ke depan.

Apa sebenarnya yang ingin dikongsi?

Kecerdasan, kecergasan, harapan ini telah timbul selepas hampir 1 bulan ‘disepak terajang’ (baca: dilatihtubi) dengan ‘article reviews’, ‘presentations’ dan lain-lain.

Bukan nak luah perasaan.

Betullah, sebelum berhasil/terhasil sesuatu kenalah ‘didera’ atau adakan banyak latihan. Berlatih dan terus buat latihan. Cuma ‘sesi latihan’ kebanyakkannya di luar jadual dan fokus kebiasaan.

Di luar jadual ini ialah tak kira bulan ke diwaktu siang atau matahari diwaktu malam, semua ‘assignments’ mesti disiapkan dengan cepat, tepat dan memudahkan orang untuk memahami.

Faham disini dengan makna pensyarah boleh baca atau bukan ‘copy and paste’. Bukan senang sebenarnya nak ke arah itu. Bisik dalam diri, kena ke arah juga. Kadang-kadang biarlah terlambat untuk ‘submissions’ (jangan tiru kenyataan ‘lambat’ ini).

Fokus kebiasaan yang luar biasa. Contohnya, 1 artikel melibatkan hampir 30-40 mukasurat. Seronok lagi baca mukabuku yang ada ‘Older Post’.

“JK – LoL”.

Mata dan ‘kepala otak’ semakin tajam. Tajam bukanlah bijak atau seangkatan dengannya. Tajam itu usaha untuk memberi tanggungjawab dan keprihatinan untuk faham isi kandungan dan disebalik isi kandungan artikel itu.

Kemudian, bertindak terus menerus.

Bunyi macam bukanlah masalah sangat. Bagi saya, ia bermasalah. Kognitif saya masih belum lagi bagus. Usaha semakin digandakan sekarang.

Tamat.

Urus Duit

•December 13, 2011 • Leave a Comment

Budaya kerjaya terutama tentang pengurusan kewangan.

Duit. Oh… Duit.

Masuk banyak, keluar pun meleleh. Itulah aliran duit untuk beberapa bulan yang lepas. Dah lama tak ‘update’ masuk dan keluar duit daripada ATM.

Pengurusan kewangan ini memanglah penting untuk semua orang. Tak kira yang bergaji besar atau kecil.

Soalnya, urus duit.

Kebetulan, kelas sekarang sedang diskusi tentang pengurusan duit. Panggil duitlah, lebih dekat dan nyata daripada wang.

Apa yang dibuat dengan duit yang keluar meleleh itu?

Joli ke? Makan-makan ke? Beli barangan tak perlu ke? Apa ke? Mana duit ini disalurkan.

Dah berapa banyak perancangan dan buku-buku urus duit ditelaah untuk semata-mata nak lihat duit ini duduk diam-diam di dalam jagaan pegawai bank.

Tentang bank laburkan duit itu, kerja bank-lah. Harap-harap pelaburan yang halal nanti.

Ok, fokus tentang urus duit tadi.

Urus duit. Duit untuk mak ayah, untuk belanja harian dan simpanan masa depan. Masa depan untuk kahwin, untuk tempat berteduh dan tentunya untuk pengangkutan. Sama ada kereta atau pun motor.

Itu belum lagi untuk amal jariah, untuk Islam. Infaq demi perjuangan.

Semua tentang urus duit ini kena detail.

Detail untuk ditulis sebagai catatan. Catat untuk tahu apa dan ke mana duit itu dilaburkan.

Tak untung pun taka pa, tapi biarlah berbentuk pelaburan dan mendapat manfaat daripadanya.

Contoh, orang yang sedekah duit, Allah SWT akan membalas amalan baik tadi.

Kenalah banyak sedekah, banyak menyumbang. Betul tak?

Teringat cerita sahabat Nabi SAW yang kuat dan bijak ‘cari duit’. Saidina Abd Rahman ‘Aus, hartawan, orang kaya Makkah dan Madinah.

Beliau mencari pasar untuk ‘bina duit’.

Hebatkan? Tapi, pastinya dengan urus duit. Pengurusan tadi!

Bukan tiba-tiba ‘kaya dengan duit’ yang banyak.

Labur duit dengan membeli emas pun bagus juga. Pelaburan berzaman yang menguntungkan. Ramai dah kawan-kawan yang beli emas dan mengajak untuk sama-sama beli emas.

Nak emas nanti.

Seorang kawan di UM berjaya mengadakan walimah al-urus dia dengan hasil pelaburan di dalam emas ini.

Sangat memberansangkan, bukan?

Tapi dia dah lama melabur. Kalau sekarang melabur, mungkin awal tahun 2014 boleh fikir-fikir tentang bait al-muslim. Jom urus duit!?

Tak Nak Malas Lagi

•October 11, 2011 • Leave a Comment

Malas.

Apa yang faham tentang malas ini? Sejenis penyakit. Sejenis perasaan atau tindakan. Mungkin sejenis perangai.

Malas memang hebat. Mana tidaknya, seolah-olah semua aktiviti harian menjadi terhenti buat seketika. Malas nak bergerak. Hanya statik.

Inilah dikatakan iman turun dan naik. Waktu sekarang, ianya turun. Turun dengan perlahan-lahan. Merbahaya!

Penulis boleh katakan malas ini datangnya daripada sikap yang suka menangguh kerja. Tangguh dalam banyak hal.

Tangguh membaca.

Tangguh membasuh.

Tangguh di dalam menyusun jadual untuk hari esok.

Hebatkan penangan malas ini. Bukan calang-calang. Dicelah kemalasan itu adanya suatu kekuatan. Ini pun terpulang kepada kita ‘re-act’ dengan ujian malas. Sikap sentiasa positif dan matang dalam menghadapi ujian sememang ‘buah keras’ untuk kita bangkit, bangun daripada lena kemalasan.

Motivasi wujud dimana-mana. Betul tak? Kita sahaja yang tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Macam penulis. Memang ada diuji malas itu. Tapi antara cara penulis mengurangkan sikap malas ini dengan menulis. Seperti menulis entri terbaharu ini.

Selain itu, penulis suka membuat perkara (walaupun ianya masih lama dan sama) seperti menyusun balik baju-baju di dalam almari, susun kasut di atas rak kasut (yang sebelum longgok di dalam kereta), mewarna nota-nota Sarjana penulis dan sebagainya.

Bagi penulis inilah gaya meningkatkan positif diri dikala kemalasan.

Sudah tentu Allah SWT dan kekasih-Nya menjadi tempat meluahkan rasa. Luah segala-gala. Kerdil, lemas dan lemahnya penulis sebagai hambanya. Hambanya yang sentiasa mendambakan pandangan Tuhan.

Doa itu sangat mujarab kesannya, air mata keikhlasan juga begitu. Apa nak malu? Allah SWT yang mendatang ujian untuk umatnya yang mengaku bertaqwa. Sudah pasti Tuhan menguji mereka.

Beruntunglah mereka yang diuji. Bangkit daripada kemalasan yang merupakan gangguan syaitan yang jelas musuh umat  Muhammad SAW.

Jadi, bangkitlah cepat-cepat. Anggaplah ujian malas itu sebagai teguran daripada-Nya untuk kita kenal diri yang kita ini lemah dan memerlukan pertolongannya.

Penulis selalu berdoa dengan doa seribu dinar. Moga ditunjukkan jalan keluar. Tapi ingatlah, syaratnya mesti bertaqwa.

Bangkitlah sama-sama daripada kemalasan yang sementara itu. Demi kejayaan yang abadi selamanya.

Tak nak malas lagi!

Wallahua’alam.

Pak Habib dan KCB

•October 9, 2011 • Leave a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.

Separuh hari di SERUMPUN 2011, Melangitkan Karya & Membumikan Cinta.

Inilah rasanya kali pertama penulis mengikuti “bengkel penulisan”. Sangat memberangsangkan. Lagi-lagi dengan kehadiran penulis-penulis hebat di rantau asia ini.

Habibburrahman el-Shirazy, Helvy Tiana Rosa, Asma Nadia, Fatimah Syarha dan Syed Alawi Alatas.

Bukan senang untuk berjumpa dengan mereka. Manusia yang sentiasa membaca, berfikir dan menulis. SERUMPUN 2011 sememangnya menemukan empat mata dengan penulis-penulis “Best Seller” ini.

Pak Habib (Habibburrahman el-Shirazy) dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Semenjak Ayat-Ayat Cinta (AAC) menjadi fenomena baharu dunia cinta anak muda-mudi terutama di Malaysia. Masih ingat lagi penangan AAC ini, teman-teman penulis mulai mengimpikan calon orang rumah mereka seperti ‘Aisyah.

Tak kurang juga teman-teman penulis yang perempuan. Sangat meminati suami ‘Aisyah.

Pak Habib segera mengasak kami di dalam bengkel dengan beberapa falsafah “Dakwah bi-Hal” ini. Berdakwah di dalam filem. Tentunya kita tahu cerita-cerita Pak Habib yang difilemkan. KCB terutamanya. Boleh penulis katakan hebat dan berpengaruh KCB ini.

KCB dimulai dengan disiplin yang sangat kuat. Disiplin menterjemah kefahaman cinta Islami oleh Pak Habib ke dalam sebuah filem. Disiplin pelakon-pelakonnya. Disiplin mualamah pelakon-pelakon. Subhanallah.

Siap rujuk para alim ulama lagi tentang intipati filem-filem Islami Pak Habib. Penulis sarankan pengarah-pengarah industri filem Malaysia buat rujukan dengan para alim ulama di Malaysia. Mufti pun ramai. Penulis yakin, industri perfileman Malaysia akan menjadi medium mempromosi kehidupan yang lebih baik kepada anak muda-mudi Malaysia kembali kepada Islam.

Islam sebagai cara hidup (ad-din).

“Power” betul industri filem ini. KCB pernah diikuti 1.8 juta rakyat Indonesia. Bayangkanlah jika ia berlaku di Malaysia. Jika separuh bilangan rakyat Malaysia dibandingkan dengan jumlah yang menonton KCB tadi (2.9 juta rakyat Malaysia) bakal terkesan. Terkesan dengan keseluruhan KCB itu. Baik gaya hidup, gaya fesyen, semangat mengenal Islam, hidup dalam pandangan Islam dan sebagainya.

Bayangkan, belum tentu lagi jika penulis menjadi ustaz yang mengajar di masjid seluruh Malaysia dapat mempengaruhi 2.9 juta rakyat Malaysia. Maklumlah, kebanyakkan masjid seperti untuk orang lama dan pencen.

“Dakwah bi-Filem” ini satu usaha. Membuka jalan kepada mereka yang tegar dengan TV. Sinetron Bawang Putih dan Merah pernah mengigaukan rakyat Malaysia. Igauan ini luar biasa. Penulis bersetuju dengan Pak Habib (saranan dan pandangannya) bahawa Pak Habib dan teman-teman sepertinya memberi inisiatif yang positif kepada mereka yang sesat lama. Jahil lama. Keliru lama. Tak pernah kenal indahnya Islam itu.

Jadi, sebelah pihak lagi seperti Pak Ustaz meluruskan niat perubahan mereka mengenal Islam yang sebenar itu. Tolong-menolonglah dalam amal kebajikan.

Cukuplah disini. Penulis teruja dengan SERUMPUN 2011 ini.

Penulis berharap ia diterima amal soleh dan memberi inspirasi yang hebat dalam “cita-cita menulis” ini. Menulis bukan untuk hari ini, untuk hari esok.

“Satu Buku Sebelum Mati”, cabaran penceramah. “Bisa… (Insya Allah)”, sahut penulis dan teman-teman sebengkel.

Wallahua’lam.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.